Maka riuhlah seluruh negara akan kemenangan UMNO-BN (UBN) dalam pilihanraya kecil DUN N31 Bagan Pinang yang lepas. Tan Sri Mohd Isa Samad calon UBN diisytiharkan pemenang dengan majoriti 5,435 undi dengan mengalahkan calon PAS, Zulkefly Mohamad bin Omar. Para pemimpin dan penyokong UBN begitu gembira dengan kemenangan yang dikecapi seumpama baru menimang cahaya mata yang pertama. Apa tidaknya setelah melalui 7 pilihanraya kecil di Semenanjung, inilah kemenangan yang pertama diperolehi oleh UBN.
Kemenangan UBN ini juga memberi kita gambaran yang jelas bahawa UBN tidak boleh lari dari rasuah. Slogan-slogan yang diciptakan yang kononnya ingin memerangi rasuah telah dibakul sampahkan. Tahniahlah kepada pengundi-pengundi UBN di Bagan Pinang yang terus bersetuju dan mahu bersama dengan pemimpin yang rasuah dan tidak bermoral. Malulah kita kepada masyarkat Barat yang walaupun tidak Islam tetapi mereka langsung tidak memberi tempat kepada pemimpin yang tidak bermoral.
Bagi kita, penyokong dan pendokong PAS perlu menginsafi bahawa kalah menang dalam perjuangan adalah ketentuan Allah S.W.T. Kita perlu bersyukur dengan apa keadaan sekalipun, susah atau senang, kalah atau menang kerana sudah pastinya disebalik semua itu ada hikmah yang tersembunyi dan hanya Allah S.W.T mengetahuinya.
Kekalahan bukan bermakna perjuangan kita sudah berakhir tetapi jadikanlah ia sebagai satu motivasi untuk kita mengharungi perjalanan yang masih jauh. Jadikan juga kekalahan ini sebagai pengajaran untuk kita mengatur langkah dengan lebih baik lagi.