Monday, March 29, 2010

MPS Anak Tirikan Peniaga Bumiputra?

SUDAH menjadi nasib bumiputera Sandakan menjadi dagang Pak Malau di bumi sendiri. Mereka bagaikan melukut di tepi gantang untuk mencari sesuap rezeki bagi menyara hidup keluarga mereka. Mereka juga hanya mampu meleleh air liur melihat gudang-gudang perniagaan dan kedai-kedai besar menjadi milik peniaga-peniaga Cina.

Sudah beruntung sekiranya mereka dapat berniaga di kaki lima gudang perniagaan atau menyewa sekaki dua kedai dengan harga yang cukup mahal.

Persoalannya, lemah atau naif sangatkah peniaga bumiputera sehingga mereka jauh ketinggalan dalam merebut peluang perniagaan di Sandakan? Barangkali peniaga bumiputera hanya layak berniaga di Pasar Minggu atau di Pasar Ikan sahaja. Itu pun terpaksa bersaing dengan peniaga-peniaga Cina.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, juga Yang Dipertua PAS Kawasan Batu Sapi, Hj Hamzah Abdullah ketika mengulas isu tersebut menyatakan rasa kesalnya terhadap Majlis Perbandaran Sandakan yang menganaktirikan peniaga bumiputera yang rata-rata mereka terdiri daripada peniaga-peniaga kecil.

Menurut beliau lagi, beliau kerap menerima aduan daripada peniaga bumiputera yang sukar untuk mendapat lesen perniagaan dan kebenaran untuk mendirikan gerai-gerai perniagaandi tepi jalan dan di kawasan-kawasan perumahan.

Mereka yang berketurunan Bugis dikatakan paling sukar untuk mendapat peluang perniagaan. Bahkan, lebih malang lagi, peniaga kecil bumiputera selalu dikejar oleh penguatkuasa-penguatkuasa dari bangsa sendiri kerana cuba untuk berniaga.

Hj Hamzah memberi contoh ketidakadilan MPS yang bertindak menyaman para peniaga bumiputera yang menurunkan barang jualan mereka daripada kenderaan di tempat-tempat tertentu.

Akan tetapi peniaga Cina tidak diperlakukan sedemikian. Ketidakadilan ini jika dibiarkan berterusan akan menjadikan bumiputera terus hanyut dalam arus pembangunan Bandar Sandakan yang telah dinobatkan sebagai bandaraya dalam taman.

Malah, lebih malang sekiranya bumiputera Sandakan hanya menjadi kutu rayau dan penjual bahai (beg plastik) sepertimana yang berlaku kepada budak-budak hanyut dari Filipina.

Oleh: FAIZAL OKADAU(sabahkini)

Sumber: http://sabahdaily.blogspot.com/

Sunday, March 28, 2010

Krisis istana: Nik Aziz minta rakyat Kelantan bertenang

M Faqih

MACHANG, 28 Mac: Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar) meminta rakyat bertenang ekoran berlaku krisis membabitkan istana Kelantan sekarang.

Katanya, rakyat hendaklah bertenang dan berdoa kepada Allah Taala meminta supaya krisis yang berlaku sekarang tidak berpanjangan.

“Saya bimbang berulang kembali peristiwa lama iaitu pelantikan raja seperti di Ketereh suatu ketika dahulu, itu memalukan,” katanya ditemui pemberita selepas merasmikan kilang GMP Nutraseutikal di Labok, hari ini.

Kilang itu milik Kilang Biotech Corporation Sdn Bhd anak syarikat milik Perbadanan Menteri Besar Kelantan.

Hadir sama anggota-anggota Exco, Che Abdullah Mat Nawi, Abdul Fattah Mahmood dan Wan Ubaidah Omar.

Selain itu, anggota parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail, Adun Pulai Chondong, Zulkifli Mamat dan Adun Kemuning, Wan Ahmad Lutfi Wan Sulaiman serta Yang Dipertua PAS Machang, Datuk Hassan Muhamad juga hadir.

Khamis lalu, krisis membabitkan istana Kelantan memuncak apabila Tengku Muhammad Faris Petra cuba dilucut jawatannya sebagai Pemangku Raja.

Kenyataan itu dibuat bekas Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wan Hashim Wan Daud yang mengaku sebagai Setiausaha Sulit Sultan.

Ekoran itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Aiseri Alias yang juga Setiausaha Majlis Perajaan Negeri (MPN) mengumumkan Pemangku Raja memecat Yang Dipertua MPN, Tengku Abdul Aziz Tengku Hamzah dan diganti dengan Tengku Abdul Halim Sultan Ibrahim.

Peristiwa pelantikan raja di Ketereh berlaku pada 29 April 1993 apabila Tengku Ibrahim Petra disambut besar-besaran pemimpin Umno ketika pulang ke Kelantan.

Menteri Besar turut berdoa mudah-mudahan Pemangku Raja berada di dalam keadaan sihat walafiat dan Tuanku Sultan sihat kembali.

“Keduanya kita kena ingat memerintah negeri ini bukan satu tradisi tetapi terlibat sama dengan agama iaitu ada dosa dan pahala.

“Hendak memerintah negeri dengan sebarangan tidak boleh,” ujarnya.

Beliau juga berkata, krisis itu tidak sukar diselesaikan apabila semua pihak kembali kepada perlembagaan negeri memandangkan tuanku masih lagi gering sekarang.

“Saya telah melawat bersama anggota-anggota Exco dan melihat tuanku berada di atas kerusi roda, kena ada orang di kiri dan kanan baginda sebagai orang tengah.

“Jadi keadaan tuanku ini perlu memakan masa lagi, perlu kepada penjagaan doktor dan tuanku perlu serah kepada anakandanya, Tengku Muhammad Faris untuk mentadbir negeri.

“Insya Allah rakyat Kelantan akan berdoa semoga tuanku sihat walafiat dan anakanda Tengku Mahkota dapat memandu Kelantan secara fizikal dan rohani,” katanya.

Ditanya krisis itu berlaku kerana ada pihak enggan mematuhi undang-undang, beliau tidak mahu ganggu perkara tersebut.

“Saya bukan ahli undang-undang. Yang menjaga perlembagaan ada orangnya iaitu peguam,” ujarnya.

Mengenai cadangan Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) supaya diadakan persidangan khas Dewan Undangan Negeri (Dun) katanya, itu masalah teknikal.

Menurutnya, kalau boleh beliau tidak mahu isu berkenaan dihebohkan, dan apabila ada persidangan Dun tentunya ia menjadi heboh.

Kata beliau, istana merupakan institusi kesayangan orang Melayu, khasnya orang Kelantan.

“Dan apabila timbul sesuatu isu membabitkan istana, kita kena selesai dengan cara bil hikmah. Dan kalau tidak boleh, kita buat kena kembali kepada perlembagaan,” katanya.


Sumber: HarakahDaily


Saturday, March 13, 2010

Mazlan akan saman pengurus Felda, polis

KUALA LUMPUR, 13 Mac: Pengerusi Persatuan Anak-anak Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman bertegas akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pengurus Felda Lembah Klau dan juga pihak polis ekoran tindakan mereka menahannya daripada mengadakan dialog bersama peneroka.

Mazlan yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat berkata, peguamnya, Mohd Harris Abdullah sedang dalam proses memfailkan saman malu terhadap kedua-dua pihak terbabit dan dijangka ianya akan mengambil masa lebih kurang sebulan daripada tarikh beliau ditahan.

"Saya mendapat nasihat daripada peguam saya untuk mengenakan tindakan saman malu terhadap pengurus Felda dan pihak polis kerana telah memalukan dan menjatuhkan maruah saya di hadapan khalayak ramai.

"Peguam saya akan tentukan jumlah saman yang akan dikenakan dan saya berani katakan, jumlahnya melibatkan juta. Saya dilayan seperti seorang penjenayah yang melakukan kesalahan besar sedangkan saya pergi ke Felda Lembah Klau kerana menghadiri jemputan warga Felda," katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, petang ini.

Selasa lepas, Mazlan ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Raub ketika membuat laporan polis berhubung tindakan pihak pengurusan Felda Lembah Krau yang cuba menahannya daripada mengadakan dialog dengan penduduk Felda berkenaan.

Beliau ditahan selama dua malam mengikut Seksyen 441 Kanun Keseksaan yang jika disabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih enam bulan dan didenda tidak lebih RM3,000 atau kedua-duanya sekali.

Insiden itu berlaku selepas Mazlan mengadakan satu majlis dialog di rumah sebuah peneroka di Felda berkenaan lalu ada seorang pegawai Felda datang menghalang kerana kononnya tidak mempunyai permit.

Beliau bagaimanapun dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Raub dengan bon polis RM3,000 dengan seorang penjamin pada Khamis lepas.

Menurut Mazlan, ekoran insiden itu, Felda mengeluarkan satu surat pekeliling yang melarang beliau masuk ke mana-mana Felda untuk mengadakan dialog atau sebagainya.

"Ceramah saya malam ini pun terpaksa dibatalkan kerana pemilik premis terbabit menerima pelbagai ugutan daripada pihak Felda agar tidak membenarkan saya berceramah di situ.

"Mana perginya Fasal 10 Perlembagaan yang mengatakan kita ada hak untuk berhimpun?” soalnya.

Mazlan yang sudah berbelas tahun bergerak aktif dalam memperjuangkan nasib peneroka Felda di seluruh negara bagaimanapun menegaskan tidak akan berganjak daripda perjuangannya membela nasib peneroka yang tertindas sejak sekian lama.

"Saya tidak akan berganjak daripada perjuangan saya membela warga Felda yang hanya menjadi pak turut kepda kerajaan selama ini.

"Sebagai ahli sebuah NGO yang berjuang untuk warga Felda, saya akan terus memberikan maklumat kepda peneroka tentang hak mereka yang dinafikan selama ini, terlalu banyak isu penyelewengan dalam Felda yang disembunyikan kerajaan," tegasnya.

Ditanya mengenai status Anak yang dikatakan haram oleh ketua penerangan Umno, Ahmad Maslan baru-baru ini kerana mendakwa telah ada Majlis Belia Felda yang menguruskan kebajikan peneroka, Mazlan berkata, ianya bukan isu utama sebaliknya apa yang diperjuangkan badan bukan kerajaan itu harus diberi perhatian.

"Saya tidak mahu layan soal status haram atau tidak. Saya pun boleh persoalkan NGO bawah mereka haram atau tidak. Apa yang penting Anak ditubuhkan untuk membela nasib peneroka yang telah lama menjadi mangsa penindasan kerajaan yang pentingkan keuntungan," katanya.


Sumber: HarakahDaily



Monday, March 8, 2010

Mufti Perak Terlibat Politik Dengan Jubah Seorang Mufti

Terkilan saya apabila Mufti Perak, Sahibus Samahah Tan Sri Harussani Zakaria menyebut nama saya secara terbuka di khalayak. Samada di dalam mesyuarat atau persidangan dewan, menyebut nama seseorang dalam ucapan secara terbuka biarlah dengan kehadiran tuan punya badan.

Sekurang-kurangnya, bolehlah kata-kata tersebut disahkan atau dinafikan. Mufti bukan orang politik yang terdedah dengan kaedah menyerang atau diserang. Mengaitkan nama saya dalam kenyataan politik seorang yang bukan tokoh politik merupakan satu tingkah laku yang tidak beretika. Justeru, apabila mufti mengambil tindakan melagukan nama saya dengan irama politik, saya harus memberikan jawapannya.

Adil juga jika saya menukilkan dahulu sebahagian ucapan beliau di program Dialog Za’ba, Perpaduan Melayu: Cabaran dan Realiti di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), minggu lepas. Antaranya beliau berkata,

“Kenapa Pas tidak boleh bergabung untuk membentuk kerajaan yang sudah pasti akan memperoleh majoriti 100 peratus Melayu memerintah.

“Saya telah berjumpa dengan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kelantan dan berbincang hampir dua jam, pada awalnya beliau tidak bersetuju tetapi akhirnya dia kata idea itu bagus tetapi tidak dapat memberi keputusan kerana ia bergantung kepada Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Saya maklumkan bahawa tidak berapa rapat dengan Hadi, jadi jika cadangan itu baik saya minta beliau (Nik Aziz) maklumkan kepada Hadi. Semasa dalam perjalanan balik iaitu berada di Cameron Highlands, Hadi telah hubungi saya dan bersetuju dengan cadangan itu.

“Tetapi Hadi kata dia tidak boleh buat keputusan kerana ia bergantung pada negeri iaitu Pesuruhjaya Pas Negeri (Ahmad). Saya juga telah hubungi Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din dan dia juga bersetuju,”

Saya ingin menyentuh berkaitan kenyataan yang menyebut beliau datang ke rumah saya. Benar atau tidak, terserahlah kepada khalayak. Bagi saya, ini di antara beliau dan saya. Cuma pertanyaan saya, tidakkah itu satu keterlibatan dengan politik? Sedarkah beliau bahawa kerajaan Perak yang dirampas dari tangan rakyat hari ini didokong oleh UMNO, sebuah parti yang meyakini bahawa politik dan agama tidak boleh bercampur? Dalam bahasa mudahnya, politik suku agama suku.

Jika mufti sendiri sanggup turun melaksanakan urusan berkaitan politik, ertinya beliau beranggapan tugasnya sebagai mufti meliputi tugas politik. Adakah bagi beliau, politik dan agama mesti selari, tidak boleh berpisah? Jika demikian,beliau telah mengiktiraf perjuangan PAS adalah benar. Jika tidak, kenapa libatkan diri dengan politik? Bukankah itu salah mengikut akidah UMNO?

Inilah yang diperjuangkan oleh PAS. Tegak berdirinya PAS dengan perjuangan menjadikan Islam sebaagai cara hidup. Tidakkah al-Quran sebuah kitab yang syumul? Isinya bukan sahaja akidah, bahkan soal ekonomi, politik, rumahtangga, psikologi dan kaunseling, semuanya ada di dalam al-Quran. Tidakkah ini merupakan tiang seri perjuangan PAS sejak sekian lama? Jika mufti Perak beranggapan politik dan Islam perlu selari, selangkah kaki beliau sepatutnya sudah berada di dalam PAS!

Jika beliau tidak berpandangan Islam dan politik perlu selari, tetapi terus terlibat dengan politik dengan jubah seorang mufti, maka dengan sendirinya beliau telah menjadi ejen. Dalam kes ini, beliau telah menjadi ejen UMNO. Hilang luruh kemuliaan seorang mufti kalau merelakan diri menjadi ejen. Apatah lagi menjadi ejen sebuah parti politik sekular.

Saya kira, jika seorang mufti yang menjadi ejen parti politik sekular, itu bukanlah lagi al-mufti (yang memberikan fatwa) tetapi al-mufta (yang diberikan fatwa). Cukuplah sekadar itu respon balas saya terhadap kenyataan beliau.

NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT


Sumber: http://www.sabahdaily.com


Sunday, March 7, 2010

MP keluar parti berasas ratib palsu




Hafiz Irwan

KOTA BARU, 7 Mac: Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan wakil-wakil rakyat yang keluar parti sekadar meratib palsu bagi menghalalkan tindakan mereka.

Katanya, bermacam-macam alasan diberi mereka untuk meninggalkan parti kononnya demi kepentingan agama, bangsa dan negara.

“Namun ia hanyalah ratib palsu. Langsung tidak logik alasan mereka demi menjaga kepentingan agama dan bangsa tiba-tiba menyerahkan diri kepada Umno.

“Sedangkan Umno sebuah parti yang tidak pernah menjaga agama dan bangsa,” katanya pada kenyataan media di sini semalam.

Baru-baru ini tiga anggota parlimen (MP) Parti Keadilan Rakyat iaitu Datuk Seri Zahrain Mohamad Hashim (Bayam Baru), Tan Tee Beng (Nibung Tebal) dan Mohsin Fadzli Samsuri (Bagan Serai) mengumumkan keluar parti.

Manakala anggota parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin dipecat kerana melanggar disiplin parti.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, wakil-wakil rakyat terbabit enggan meletak jawatan untuk bertanding semula dengan dengan kekuatan peribadi sendiri.

“Jika persoalan bertanding semula menjadi isu, ini bermakna pemimpin terbabit hanya memikirkan kepentingan diri dan bukannya kepentingan rakyat.

“Bimbang sangat jika tidak dapat bertanding. Jelas dan terang mereka hanya menjaga kepentingan diri. Syak saya dan juga orang lain semakin kuat, apatah lagi jika benar didorong oleh imbuhan berjuta-juta,” katanya.

Beliau juga berharap PKR tidak mudah berputus asa dengan perkembangan yang berlaku sekarang memandangkan parti itu masih lagi muda dalam gelanggang politik negara.

Menurutnya, PAS sewaktu zaman mudanya dulu juga diancam amalan lompat parti.

Beliau berkata, di Terengganu pernah PAS tersungkur kerana ada yang melompat parti.

“Di zaman Allahyarham Daud Samad dan Allahyarham Datuk Asri Muda, berlaku juga kes lompat parti. Hari ini, PAS sudah dewasa dan matang, tidak lagi kedengaran pimpinan yang melompat seperti dahulu.

“Bahkan Kelantan pernah diperintah dengan kelebihan satu kerusi dengan dua undi. Alhamdulillah, tidak ada yang melompat,” katanya.


Sumber: HarakahDaily.Net


Friday, March 5, 2010

PAS NEKAD BANTAH GST

Pengurangan cukai pendapatan hanya untungkan orang kaya
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) membantah cadangan Kerajaan
Barisan Nasional
yang nekad melaksanakan Cukai Perkhidmatan dan Barangan (GST) dilaksanakan menjelang pertengahan 2011

bagi mengantikan cukai perkhidmatan dan jualan sediaada

Pada masa ini kedua-dua cukai itu masing-masing berada 10 peratus dan lima peratus, tetapi hanya meliputi barang mewah sahaja dan bukannya barangan keperluan utama. Walaupun GST hanya 4 peratus tetapi ia akan melibatkan ke semua jenis barang termasuk barangan keperluan utama yang dikawal.

Strategi Kerajaan yang mahu mengurangkan cukai pendapatan dan korporat secara beransur-ansur bagi mengurangkan beban pengguna ini juga dilihat tidak logik kerana pembayar cukai pendapatan dan syarikat hanya melibatkan mereka yang berkemampuan, sedangkan cukai GST akan melibatkan semua lapisan rakyat termasuk mereka yang tidak berkemampuan.

GST akan menyusahkan ibubapa yang mahu membeli susu untuk anak-anak mereka, peniaga restoran juga terpaksa menaikan harga makanan jika beras, ikan, daging, ayam dan sayuran dikenakan cukai. Mereka yang hidup diluar bandar pasti akan lebih terasa kerana barangan keperluan yang dihasilkan dikilang akan meningkat dalam pasaran.

PAS juga melihat pembatalan cadangan penstrukturan semula subsidi Petroleum tidak memberi apa-apa makna, kerana bila GST 4 peratus dilaksanakan, kemungkinan harga minyak bercukai ini akan naik sebanyak 10 sen seliter atau lebih dari itu.

Harga tambang perkhidmatan juga kemungkinan akan berubah dengan peningkatan sebanyak 4 peratus. Bayangkanlah nasib pengguna perkhidmatan Komuter, LRT, Bas dan kapal terbang dimasa depan dengan cukai ini.

Bagi barangan yang dihasilkan dalam kilang pengguna berkemungkinan menerima cukai GST 8 peratus kerana 4 peratus dikenakan oleh pengilang dan 4 peratus dikenakan melalui pemborong atau penjual dipasaran.

Rakyat harus membuka mata terhadap isu ini dan PAS nekad membantah dasar GST demi kepentingan rakyat keseluruhannya.

Ust Idris Ahmad

Ketua Penerangan PAS Pusat

Sumber: Buletin Online