Hafiz Irwan |
KOTA BARU, 7 Mac: Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan wakil-wakil rakyat yang keluar parti sekadar meratib palsu bagi menghalalkan tindakan mereka. Katanya, bermacam-macam alasan diberi mereka untuk meninggalkan parti kononnya demi kepentingan agama, bangsa dan negara. “Namun ia hanyalah ratib palsu. Langsung tidak logik alasan mereka demi menjaga kepentingan agama dan bangsa tiba-tiba menyerahkan diri kepada Umno. “Sedangkan Umno sebuah parti yang tidak pernah menjaga agama dan bangsa,” katanya pada kenyataan media di sini semalam. Baru-baru ini tiga anggota parlimen (MP) Parti Keadilan Rakyat iaitu Datuk Seri Zahrain Mohamad Hashim (Bayam Baru), Tan Tee Beng (Nibung Tebal) dan Mohsin Fadzli Samsuri (Bagan Serai) mengumumkan keluar parti. Manakala anggota parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin dipecat kerana melanggar disiplin parti. Menteri Besar Kelantan itu berkata, wakil-wakil rakyat terbabit enggan meletak jawatan untuk bertanding semula dengan dengan kekuatan peribadi sendiri. “Jika persoalan bertanding semula menjadi isu, ini bermakna pemimpin terbabit hanya memikirkan kepentingan diri dan bukannya kepentingan rakyat. “Bimbang sangat jika tidak dapat bertanding. Jelas dan terang mereka hanya menjaga kepentingan diri. Syak saya dan juga orang lain semakin kuat, apatah lagi jika benar didorong oleh imbuhan berjuta-juta,” katanya. Beliau juga berharap PKR tidak mudah berputus asa dengan perkembangan yang berlaku sekarang memandangkan parti itu masih lagi muda dalam gelanggang politik negara. Menurutnya, PAS sewaktu zaman mudanya dulu juga diancam amalan lompat parti. Beliau berkata, di Terengganu pernah PAS tersungkur kerana ada yang melompat parti. “Di zaman Allahyarham Daud Samad dan Allahyarham Datuk Asri Muda, berlaku juga kes lompat parti. Hari ini, PAS sudah dewasa dan matang, tidak lagi kedengaran pimpinan yang melompat seperti dahulu. “Bahkan Kelantan pernah diperintah dengan kelebihan satu kerusi dengan dua undi. Alhamdulillah, tidak ada yang melompat,” katanya. Sumber: HarakahDaily.Net |
Sunday, March 7, 2010
MP keluar parti berasas ratib palsu
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment