Tuesday, July 20, 2010

Pakat Masuk PAS, Bukan Bersatu dengan Umno

Parti Islam Se-Malaysia PAS menolak cadangan Tan Sri Harussani yang hendak menjadi perantaraan antara PAS dan Umno demi perpaduan Melayu di negara ini.

PAS bukan angkuh tetapi itulah hakikat yang berlaku pada hari ini, Umno sudah tidak relevan untuk orang Melayu menjadi tempat berteduh. Parti yang pernah disebut oleh Tun Dr Mahathir sebagai parti yang busuk sampai usus. Sepatutnya Tun kena nasihat supaya ahli Umno keluar beramai-ramai masuk PAS. Apakah logik PAS diseru untuk bersatu dengan Umno, sedangkan mereka mengalami penyakit yang berjangkit iaitu penyakit barah rasuah dalaman parti, penyakit khianat kepada amanah rakyat, tidak bertanggungjawab kepada hasil mahsul negara, penyakit hanya memikirkan kepentingan perut semata-mata, penyakit tidak peduli kepada rakyat dengan menaikkan harga barang.

Apa perlu PAS diajak bersama dengan Umno semata-mata kerana hendak menghulurkan balang oksigen kepada Umno yang semakin kehilangan sokongan terutama Melayu terpelajar dan Melayu yang celik maklumat. PAS memahami tahap sokongan orang-orang Melayu sudah berubah, maka Umno berdendang dengan irama lama iaitu kuasa Melayu terancam. Apabila sudah nyawa di hujung halqum, baru Umno sedar PAS parti Melayu. Sebelumnya Umno tidak pernah memandang PAS, malah angkuh dengan kuasa untuk menindas sesama bangsa.

PAS suka mengingatkan kepada Tan Sri Harussani sebagai seorang mufti, di antara disiplin mufti kena rujuk Al-Quran, hadis, ijmak dan qias dan mengetahui gambaran masalah yang berbangkit barulah boleh keluarkan fatwa. Barulah fatwa yang dikeluarkan itu dihormati oleh orang ramai. Begitu juga dalam hal politik, sebelum beliau hendak mengeluarkan pandangan biarlah buat kajian dahulu, apakah benar kalau PAS dan Umno tidak bersatu kuasa politik melayu terancam.

PAS suka mengingatkan kepada Tan Sri Harussani tolong lihat dulu keputusan pilihanraya 2008, siapa yang khianat kuasa politik Melayu? PAS atau Umno. Macam mana kuasa Melayu boleh hilang kuasa sebab semua kerusi Melayu, PAS akan lawan Umno, kalau Umno kalah, PAS menang, PAS Melayu juga. Mana sifir kuasa Melayu terancam.

Apakah Tan Seri hanya anggap PAS kuda tungangan DAP dan PKR ketika berkongsi kuasa dalam Pakatan Rakyat. Manakah bukti PAS rugi kepada Melayu dan Islam ketika bersama PR. Tapi PAS boleh buktikan banyak tindakan Umno bersama rakan-rakan BN merugikan agama dan bangsa. Tan Seri lupakah yang menutup surau di Seksyen 8 Shah Alam itu dibuat oleh Umno pimpinan Khir Toyo, lupakah Tan Seri yang halau orang melayu di Kg Berembang dan Kg Plentong Pasir Gudang Johor adalah dibawah Umno. Dato Dr Harun Din, Dato Ismail Kamus, al-Marhum Dato Ishak Baharom diburu macam penjenayah kerana hendak menyampaikan ceramah agama ketika Selangor di bawah Umno. Adakah laporan Lim Guan Eng di Pulau Pinang tutup surau sejak memerintah Pulau Pinang

Hakikat yang berlaku Umno yang serah kerusi majoriti melayu kepada bukan melayu. Contohnya Parlimen Bukit Gantang 2004 Dr Lo'lo' PAS lawan Tan Lian Hoe (BN) kemudian tahun 2008 Tan Lian Hoe bertanding di Grik melawan Mohd Noor Abd Rahman Pas, Parlimen Tanjung Malim Mohd Azman Marjohan PKR lawan Ong Ka Chuan (MCA), Dun Pasir Panjang Datuk Seri Haji Nizar Pas lawan Dr S Vasan (MIC). Malah dalam usaha hendak menambah kerusi Melayu bertambah, maka PAS bertanding di kerusi pengundi Melayu kurang daripada 50 peratus di Parlimen Kota Raja yang ditandingi oleh Dr Mariah. Ini adalah sebahagian contoh yang dikhianati oleh parti Umno yang menjadi kekasih Tan Seri Harussani.

PAS menyeru kepada ahli Umno yang ikhlas dan sayangkan agama, bangsa dan negara gunakanlah akal yang Allah berikan untuk buat keputusan supaya keluar Umno dan bersama-sama PAS yang sedang bersama membentuk pemetaan politik baru bersama-sama Pakatan Rakyat.Ingatlah Islam selamat, Melayu selamat, bangsa lain selamat, negara pun selamat. Kalau Melayu selamat belum tentu Islam dan negara akan selamat.

Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusa

Friday, July 16, 2010

PAS seru naikkan kain rentang protes kenaikan


KUALA LUMPUR, 16 Julai: PAS menyeru semua jentera penerangannya menaikkan kain rentang di pelusuk kampung sebagai tanda protes kenaikan harga barangan mengejut tengah malam tadi.
Ketua Penerangan PAS, Idris Ahmad berkata, tindakan itu juga bagi menyedarkan rakyat betapa 'prihatinya' pemimpin Umno kepada rakyat.
" Slogan “Terima kasih kepada kerajaan BN yang menaikkan harga minyak dan gula, “Bahagianya Rakyat Tanpamu BN” hendaklah dinaikkan untuk menanamkan kesedaran sivik dan politik di negara ini," katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu beliau turut menyeru kerajaan Umno BN agar menyerahkan kuasa secara terhormat kepada Pakatan Rakyat untuk mentadbir negara dengan lebih baik.
Pakatan Rakayat di beberapa negeri yang dikuasai katanya, telah menunjukkan kebolehan menjaga rakyat dengan lebih baik berbanding kerajaan Umno.
"Contohnya Kedah yang terpaksa memikul bebanan hutang dan pembaziran di zaman Umno 52 tahun hampir RM3 bilion, masih mampu urus tadbir dengan baik, begitu juga dengan Kelantan yang berjaya mentadbir selama 20 tahun.

"Ketika Kerajaan BN yang hampir lumpuh dari segi kewangan untuk mentadbir negara, tiba-tiba kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor mencari berbagai idea untuk mengagihkan kekayaan negeri kepada rakyat seperti percuma, tusyen percuma, skim Kifalah, Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS), manaka BN pula merancang bagaimana hendak naik tarif air, tol, eletrik," katanya lagi.

Semalam, kerajaan mengumumkan kenaikan harga petrol sebanyak 5 sen menjadikan harga petrol Ron 95 RM1.85 sen dan gula sebanyak 25 sen menjadi RM 1.90 sen.

Menurut Idris lagi, Pas merasa pelik dengan pengumuman dibuat Najib, sedangkan beliau dengan rasa bangga sebelum ini menyatakan pertumbuhan ekonomi sebanyak 10.1 peratus dalam suku pertama 2010, pencapain terbaik dalam dekad ini.

"Sepatutnya sebagai kerajaan, ia perlu memikirkan bagaimana hendak menyenangkan rakyat di bawah jagaan mereka, sebaliknya kerajaan hari ini membebankan rakyat.

"Nampaknya kerajaan BN kontang idea untuk membaiki taraf hidup rakyat, yang mereka fikir naik harga barang dan sama ekor," katanya.

Tambahnya perkara ini dapat dielak jika kerajaan pada hari ini mengatasi masalah rasuah dan kroni.

Sumber : HarakahDaily

Wednesday, July 14, 2010

Pakatan tangguh terbit Harakah, Suara Keadilan, Roket


KUALA LUMPUR, 14 Julai: Pakatan Rakyat hari ini membuat keputusan untuk menangguhkan penerbitan akhbar rasmi ketiga-tiga parti, Harakah, Suara Keadilan dan Roket buat sementara waktu sehingga mendapat penjelasan rasmi daripada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein berhubung permit tiga akhbar tersebut.

Keputusan itu diumumkan pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat di pejabat Ketua Pembangkang, parlimen hari ini.

Hadir sama pada sidang media tersebut, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan ahli pimpinan tertinggi ketiga-tiga parti.

"Kita akan ikut semua proses dan peraturan yang dikehendaki. Parti-parti telah menunjukkan surat tunjuk sebab dan lain-lain yang dikehendaki. Buat sementara waktu, akhbar rasmi ketiga-tiga parti ditangguhkan penerbitannya," kata Anwar.

Anwar yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh juga meminta pertemuan dengan Hishammuddin dipercepatkan bagi membolehkan Pakatan membuat keputusan mengenai langkah yang harus diambil.

"Kita meminta supaya dipercepatkan pertemuan dengan Datuk Hishamuddin. Ini kerana menteri yang bertanggungjawab sepenuhnya dan memberikan pertimbangan yang sewajarnya dan memberi ruang supaya jangan nampak Malaysia ini tidak mengamalkan demokratik dan kebebasan media," katanya lagi.

Tuan Guru Abdul Hadi pula berkata, semua parti bersedia untuk menghantar wakil daripada pihak pengurusan akhbar untuk bertemu dengan Hishammuddin dan bersedia untuk memberikan kerjasama kepada pihak kementerian.

"Kita memberi jawapan kepada semua soalan yang dikemukakan dan semua parti akan menghantar wakil dari pihak pengurusan suratkhabar menemui Kementerian Dalam Negeri untuk memberi penjelasan dan menjawab soalan yang dikemukakan dan lepas itu kita tunggu dan lihat," katanya.

Mengulas pujian KDN kepada kerjasama yang diberikan pihak Harakah, Anwar berkata, KDN sewajarnya membenarkan akhbar tersebut diterbitkan jika pujian itu benar-benar ikhlas.

"Kita ucap tahniah dan kalau betul dia puji berilah kebenaran Harakah bukan sahaja dijual kepada ahli tapi dibenarkan dijual kepada seluruh rakyat. Barulah benar pujian itu. Kalau tidak, pujian itu berniat jahat," katanya.


Sumber: HarakahDaily

Sunday, July 11, 2010

Nik Aziz: Boikot media pro-BN jika permit tidak diperbaharu


KOTA BHARU, 10 Julai: Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memi
nta pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat memboikot semua media pro-BN jika
permit untuk akhbar pro-Pakatan tidak diperbaharui.

“Saya harap permit Harakah dan Suara Keadilan diperbaharui. Bagaimanapun, jika kedua-dua akhbar yang menjadi suara rasmi Pakatan ini tidak diperbaharui, saya cadangkan arahan rasmi dikeluarkan kepada pemimpin dan penyokong Pakatan agar mula memboikot media pro BN," kata beliau melalui laman komuniti Facebook hari ini.

Beliau dipercayai mengulas tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang sehingga kini tidak menyambung permit Harakah dan Suara Keadilan yang telah tamat tempoh.

Turut tamat tempoh adalah permit akhbar Rocket versi Bahasa Inggeris yang dimiliki oleh DAP.

Permit akhbar Harakah tamat pada 7 Julai lepas. Pada 5 Julai, Pemangku Ketua Pengarang Harakah, Taufek Yahya telah dipanggil mengadap lapan pegawai KDN di Putrajaya.

Pada 8 Julai lepas, KDN menghantar satu surat tunjuk sebab kepada Harakah kenapa tindakan tidak boleh dikenakan ke atas akhbar itu.a 9 Julai, Taufek sendiri telah ke pejabat KDN di Putrajaya menghantar jawapan Harakah ke atas surat tunjuk sebab itu. Ia dijawab sendiri oleh Pengarah Urusan Harakah yang juga AJK PAS Pusat, Datuk Kamarudin Jaffar.

Kamarudin dalam kenyataannya berkata, Harakah akan diterbitkan seperti biasa kerana permohonan penyambungan permit sudah dibuat kepada KDN dan Harakah memang menunggu kelulusan permit itu.

Sementara itu, KDN memberikan amaran kepada PKR agar jangan menerbitkan Suara Keadilan kerana pihaknya tidak berpuashati dengan jawapan PKR ke atas isu 'Felda Bankrap".

Dalam kenyataannya, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan meminta KDN atau kerajaan mengambil pendekatan menyaman Harakah jika ada apa-apa kesalahan yang dibuat bukannya membatal atau menarik permit akhbar itu.

"Jika mereka rasa Harakah salah, mereka boleh saman dan memberikan bukti kesalahan Harakah jika ada," katanya.


Sumber: HarakahDaily

Thursday, July 1, 2010

Kenapa rakyat perlu turun 'Kempen Tak Nak Judi'?

http://kentong-suhaizan.blogspot.com/

Setelah rakyat mendapat kejayaan mendesak kerajaan membatalkan lesen judi sukan pada 25hb Jun 2010 maka rakyat perlu pergi ketahap kedua Kempen Tak Nak Judi yang akan dilancarkan pada 3hb Julai 2010 pukul 2 petang di Masjid Negara.

Nama Kempen Tak Nak Judi adalah dicadangkan sendiri oleh seorang yang berbangsa cina bernama Sdr. Ng Yap Hwa daripada Pusat Pembangunan Kebudayaan Lim Lian Geok (LLG).

Dato’ Dr. Toh Kin Woon Bekas Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang daripada Parti Gerakan sekarang ini menjadi Pengerusi Pusat Pembangunan Kebudayaan Lim Lian Geok (LLG) berpendapat judi bukanlah budaya masyarakat cina.

Sdr Thiagarajah Sokalingam daripada Tamil Foundation juga berpendapat judi boleh meruntuhkan masyarakat dan negara. Mr Tom Grey, Presiden Persekutuan Lesen Perjudian Kebangsaan, Amerika telah membuat kajian bahawa jika kerajaan mendapat $1.00 pendapatan daripada judi maka kerajaan kehilangan $1.9 kos pembayar cukai untuk mengatasi masalah yang berlaku kesan daripada judi seperti jenayah, bengkrap, ketagihan, keruntuhan rumah tangga dan lain-lain.
Antara kejayaan kempen pertama Gerakan Rakyat Membantah Judi(GMJ) selain daripada pemansuhan judi sukan adalah semua bangsa dalam negara ini boleh bersetuju bahawa judi adalah suatu nilai yang tidak baik dalam negara.

Dalam menuju sebuah negara yang maju, aman dan damai Malaysia perlu bebas untuk menolak nilai-nilai yang tidak baik seperti rasuah, salahgunakuasa, pembaziran, jenayah, perjudian dan lain-lain lagi.

Tahap kedua Kempen GMJ ini adalah untuk mendidik masyarakat membenci judi melalui Kempen Tak Nak Judi. Oleh kerana telah lebih 50 tahun negara ini menghalalkan judi maka pendekatan berhikmah diperlukan untuk memisahkan judi daripada kehidupan masyarakat yang tegar terhadapnya.

GMJ memahami usaha ini bukanlah sesuatu yang mudah. Ia perlu suatu keazaman yang tinggi daripada semua anggota masyarakat, NGOs, parti politik dan pihak kerajaan. Kita jangan pandang kebelakang lagi dalam mempastikan rakyat dan negara bebas daripada amalan berjudi.

Pemansuhan lesen judi sukan yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri membuktikan adanya persaingan antara kuasa rakyat untuk menghindar diri daripada judi dengan syarikat judi yang mahu mempertahankan perniagaanya.

Kedua-dua pihak mendesak kerajaan menjayakan cita-cita masing-masing. Kerajaan Barisan Nasional(BN) dilihat berpihak kepada siapa yang lebih kuat .

Ini bermakna jika rakyat lemah memperjuangkan pembebasan judi dalam negara maka kesempatan ini akan diambil oleh syarikat judi untuk mengembangkan sayap perniagaanya. Inilah realiti yang harus difahami oleh rakyat Malaysia.

Oleh itu rakyat Malaysia sudah tiada punya pilihan lagi kecuali bersungguh-sungguh menyelamatkan negara ini daripada aktiviti judi.

Maka kehadiran rakyat Malaysia dalam Kempen Tak Nak Judi di Masjid Negara pada hari sabtu 3hb Julai 2010 jam 2 petang adalah sangat penting bagi membuktikan keazaman kita semua.
Janganlah keazaman syarikat judi mempertahankan perniagaannya lebih kuat daripada keazaman rakyat membenci judi.
Kalau kita tiada keazaman ini dikuatiri kita macam menyokong judi dalam negara.


Suhaizan Bin Kaiat,
Setiausaha,
Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ).


Sumber: HarakahDaily