Monday, May 11, 2009

MUHASABAH SEBAGAI LANGKAH PERTAMA

Oleh : Ketua Penerangan PAS Kawasan Sandakan

Pada hari ini, PAS memainkan peranan yang cukup besar dalam memacu ummah ke arah menghasilkan kehidupan berkualiti yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah.

Dalam menggerakkan perjuangan bagi menggapai matlamat suci ini, sejarah merakamkan perjuangan PAS telah melalui pelbagai pengalaman pahit getir, suka duka, dan tidak kurang juga dengan kemenangan demi kemenangan kurniaan Allah SWT.
Pelbagai kejayaan telah dicapai oleh PAS hatta golongan bukan Islam yang selama ini ditakut-takutkan dengan PAS, kini mula menjinakkan diri dan boleh menerima apa yang dibawa oleh PAS.

Itulah gambaran ringkas perjuangan PAS di Malaysia khususnya di negeri-negeri di Semenanjung.

Cabaran PAS Sandakan

Berbeza di bumi Sabah ini amnya dan Sandakan khususnya… perjuangan PAS masih di peringkat tidak mampu membuka mata masyarakat, apatah lagi masyarakatnya yang tidak menjadikan Islam sebagai cara hidup. Masyarakat yang dilazimkan dengan pelbagai keseronokan dan kelalaian dunia. Masyarakat yang dihidangkan dengan beraneka bentuk hiburan yang melalaikan dan jauh sekali menjadikan Islam sebagai paksi kehidupan.

Kita tidak salahkan mereka yang sudah terbiasa dengan kehidupan sebegitu. Banyak faktor yang mencorakkan kehidupan mereka. Kurangnya gerakan untuk memahamkan umat Islam di Sandakan ini dengan ilmu-ilmu Islam, persekitaran yang bercampur baur antara yang halal dan haram, ditambah lagi dengan pengaruh dan gerakan kristianisasi yang begitu rancak, melambatkan lagi usaha untuk mengembalikan kehidupan mereka ke arah menjadikan Islam sebagai anutan dan rukun hidup.


Namun tidak dinafikan kefahaman dan keinginan untuk kembali kepada kehidupan yang diredhai telah mula bersinar. Kegelapan malam bakal berakhir. Tinggal lagi, kita perlu segera dan tidak berlengah dalam merebut ruang dan peluang yang terbuka. Inilah saatnya pejuang-pejuang Islam yang cintakan keredhaan Allah turun ke medan merancakkan gerak kerja penyebaran dakwah untuk mengukuhkan pegangan dan penghayatan mereka akan nilai-nilai dan hukum Islam dalam kehidupan.

Seterusnya memberi kefahaman yang jelas tentang perjuangan dan intipati politik Islam yang digerakkan oleh PAS.

Kekuatan yang ada

Sebenarnya sudah dua dekad PAS berperanan menyemai benih Islam dalam masyarakat di bumi Sandakan iaitu melalui pendidikan pra-sekolah Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI). Kini PASTI yang beroperasi di Sandakan berjumlah 10 buah cawangan yang saban tahun melahirkan pelajar yang mampu menguasai asas kefahaman dan kecintaan kepada Allah dan Rasul. PASTI berupaya melahirkan generasi al-Quran yang terbina di dalamnya sahsiah dan keperibadian mulia.

Masyarakat di Sandakan ini sudah begitu mengenali PASTI dan kecemerlangannya. PASTI merupakan salah sebuah entiti pendidikan pra sekolah yang cukup diminati di Sandakan. Sambutannya cukup hebat bahkan berjaya menarik minat kaum bukan Islam untuk menghantar anak mereka ke PASTI. Dan setiap kali PASTI mengadakan apa jua program, sudah pasti kehadiran ibu bapa dan masyarakat sekitarnya amat membanggakan walaupun kadang-kadang pandangan zahirnya, penampilan mereka tidak mencerminkan ibu bapa kepada pelajar PASTI.

Begitu juga dengan gerak kerja dan aktiviti yang dilaksanakan oleh Dewan Pemuda PAS Sandakan (DPPKS). Sejak beberapa tahun yang lalu, DPPKS ini telah menyusur di landasan perjuangan dengan pelbagai program dan gerak kerja , sama ada peringkat dalaman mahupun terjun di tengah-tengah masyarakat.

Program pemantapan dan pentarbiyahan pemuda berjalan dengan lancar dan tersusun sepanjang tahun. Usrah dan Qiamullail jama’i merupakan rutin mingguan pemuda. Mereka sudah biasa dengan kerja-kerja amal dan program kemasyarakatan di Sandakan ini, walaupun selama ini banyak program yang diatur berselindung di balik nama NGO.
Tetapi kini sudah tiba masanya untuk mereka menzahirkan diri sebagai pemuda PAS yang disegani. Mereka sudah siap siaga untuk terus berperanan dan berbakti dalam masyarakat.

Fokus PAS Sandakan

Dalam mengorak langkah, bangun dari lena yang panjang... PAS Kawasan Sandakan perlu menyediakan satu kerangka kerja atau frame work bagi menyahut seruan untuk memasyarakatkan PAS di Sandakan. Agar PAS tidak lagi dilihat lesu dan diperlekehkan. Walhal PAS mempunyai kekuatan yang amat besar iaitu Allah dan Rasul, al-Quran dan Sunnah sebagai dasar perjuangan.

Dengan kerangka kerja yang fokus dan tersusun ini, mampu menafikan pandangan sesetengah pihak bahawa PAS tiada ruang dan tenaga untuk beraksi di pentas perjuangan di bumi Sabah ini.

Dengan perubahan kepimpinan di peringkat kawasan baru-baru ini, dan dengan munculnya YDP baru yang berwibawa dan mempunyai iltizam yang tinggi, diharapkan PAS Sandakan mampu memainkan peranan dan bersedia untuk menyemarakkan perjuangan Islam di bumi yang mendapat jolokan little Hong Kong ini.

Antara fokus yang perlu disegerakan ialah ;

1- Agenda pemantapan organisasi
2- Strategi mengumpul dan mendaftarkan keahlian baru
3- Memperbanyakkan program kemasyarakatan.


Jika 3 fokus utama ini berjaya digarap dengan berkesan, InsyaAllah PAS Kawasan Sandakan akan lebih bertenaga untuk terus menyusun langkah-langkah perjuangan sehingga mampu memberi kefahaman agar masyarakat Sandakan memahami perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS.

Sehingga mereka bukan hanya menerima Islam sebagai agama anutan bahkan sebagai cara hidup yang syumul.

Justeru, penerimaan umum atau public accepted adalah suatu perkara yang amat penting. Dan PAS Sandakan perlu berusaha ke arah itu demi mencapai cita-cita tertinggi mendaulatkan Islam di muka bumi ini.

Wallahu a’lam.



ILTIZAM SEMARAKKAN PERJUANGAN

No comments: