Salam Perjuangan...
Segala puji-pujian hanya untuk Allah SWT pencipta, pemilik, penguasa, pemerintah alam semesta... dan hanya kepada-Nya Tuhan yang wajib disembah, digeruni, diibadati dan kepada-Nya segala pergantungan.
Selawat dan salam buat Rasulullah SAW, pembawa cahaya kebenaran menerangi seluruh pelusuk kegelapan dengan cahaya Iman dan Islam. Seterusnya ahli keluarga baginda, para sahabat serta seluruh kaum muslimin dan muslimat pencinta kebenaran.
Pertama dan untuk selamanya... setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Ilahi di atas segala kurniaan-Nya.
Sebagai orang yang diberi amanah dan tanggungjawab untuk membangunkan blog PAS Kawasan Sandakan ini, saya memohon kemaafan atas segala kekurangan dan kelemahan. Namun atas rasa kecintaan pada perjuangan suci ini, saya akan gagahkan diri, kumpulkan segenap kekuatan dan minimakan segala kekangan dan halangan. InsyaAllah.
Amanah yang Tergalas
Pada hujung April yang lalu, PAS Kawasan Sandakan mencatat perubahan yang besar dalam pembentukan pimpinan baru untuk sesi 2009 - 2011. Boleh dikatakan rombakan yang besar dan begitu drastik dengan sebulat suara dan satu tekad.
Saf kepimpinan baru ini walaupun dalam kuantiti dan kualiti yang terbatas, namun ianya tidak sedikit pun menjadi halangan untuk mara ke medan perjuangan. Ini bukan kata-kata takbur, jauh sekali bicara yang penuh dengan kesombongan. Kami berlindung kepada Allah SWT dari itu semua.
Menerima amanah perjuangan khususnya di bumi Sandakan yang tandus dengan benih kesedaran Islam ini, bermakna menggalas tugas yang amat berat, yang memerlukan suatu iltizam yang padu, yang sanggup mengenepikan segala halangan dan ancaman. Memerlukan kesatuan fikrah dan pengorbanan masa, tenaga dan wang ringgit yang tidak kurang sedikitnya.
Kesanggupan ini adalah semata-mata kerana Allah SWT... semata-mata cintakan agama-Nya... semata-mata untuk meninggikan Islam dan meletakkannya di tempat selayak baginya. Dan kita mesti tanamkan dalam jiwa bahawa... ini bukan kerana terpaksa tetapi jika bukan kita yang memilihnya, jika kita tidak bersedia untuk menyahut seruan untuk menolong agama-Nya... ketahuilah nescaya Allah SWT akan memilih golongan lain untuk diberi ganjaran pahala dan ketinggian darjat di sisi-Nya.
Justeru... walaupun dengan segala kekurangan dan kepayahan, biarpun terpaksa merangkak, kami tetap bertekad untuk berada di landasan ini. Bayi yang sedang membesar... yang merangkak lambat laun mampu berdiri dan berlari. Apatah lagi kita yang meletakkan pergantungan yang tinggi kepada-Nya dalam menjadikan kerja-kerja perjuangan Islam yang diasaskan oleh Baginda Junjungan sebagai satu amanah dan kewajipan. InsyaAllah kita akan diberi kekuatan oleh-Nya.
Kami menyeru kepada seluruh pencinta kebenaran, penyokong dan pendokong perjuangan Islam khususnya di bumi Sandakan... bangkitlah.. bantulah... bersamalah kita dalam menegak dan mendaulatkan Islam dengan menjadikan Parti Islam SeMalaysia (PAS) sebagai wadahnya.
Wassalam.
No comments:
Post a Comment