Sunday, April 11, 2010

Percambahan masalah sosial akibat mengenepikan Islam


Percambahan masalah sosial pada hari ini merupakan rentetan daripada rentetan masalah sosial yang kurang diambil perhatian oleh pihak yang berwajib. Sejarah masalah sosial sejak 30 tahun yang lalu mendedahkan, isu percambahan kumpulan Rock, dadah, dedah dan aids telah berlaku sepanjang tahun 80an. Kemudian pada 1990an, isu sosial yang mendapat perhatian ialah gejala bohsia dan bohjan, gejala lepak, isu buang bayi dan kemuncaknya ialah isu murtad pada akhir 90an. Menjelang tahun 2000 pula, isu diteruskan dengan Black Metal dan pergaulan terlalu bebas yang menjadi trend pada masa ini. Kebimbangan isteri PM dan Shahrizat Jalil amat dialu-alukan tetapi ia tidak cukup sekadar itu. Kenapakah kini baru bersuara dan adakah mereka baru terperasan. PAS yang komited memperjuangkan Islam sangat prihatin dalam masalah ini dan dengan kemampuan yang ada, PAS telah berusaha memberikan kesedaran kepada masyarakat terutamanya kepada pemuda dan remaja.

Almarhum Ustaz Fadhil Nor pernah menyebutkan kebimbangannya dengan statistik kelahiran anak luarnikah dalam Parlimen, tetapi ia berlalu begitu sahaja. Kini statistik anak luar nikah telah meningkat dengan ketara. Berdasarkan kepada laporan rasmi, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melaporkan terdapat lebih 257,000 sijil kelahiran didaftarkan tanpa catatan nama bapa, sejak tahun 2000 hingga pada bulan Julai 2008. Ini bermakna secara purata, 2,500 kes anak luar nikah direkodkan pada setiap bulan atau 83.3 kes pada setiap hari. Jika diunjurkan lagi, satu kes pendaftaran anak luar nikah berlaku dalam setiap 17 minit 17 saat!

Kesungguhan kerajaan BN menyelesaikan isu ini amat menyedihkan. Dengarlah semua ucapan pemimpin BN-“pembangunan, ekonomi, pelaburan, pelancungan, projek…” itu yang menjadi tema ucapan mereka. Manakala isu kemanusiaan dan pembangunan insan yang memberikan kesan jangka panjang kepada negara tidak dihiraukan sangat. Sungguhpun ada mereka menyebutkan “modal insan” tetapi tumpuan modal insan itu tidak menumpukan kepada aspek pembangunan agama sedangkan Rasulullah telah menyebutkan “Solat Subuh” menjadi pemangkin modal insan yang baik.

Buang bayi berlaku kerana manusia meninggalkan agama. Masyarakat Islam merasa Islam tidak perlu manakala kerajaannya pula mengabaikan persoalan teras Islam seperti solat. Hukum Islam pula diambil secara terpilih, yang mana menguntungkan diambil seperti zakat dan haji manakala yang kurang menguntungkan ditinggalkan seperti hukum hudud dan sebagainya. Sebagai satu agama yang lengkap, keindahan Islam tidak dapat dilihat melainkan apabila semua aspek di dalam Islam itu dapat dilaksanakan.

Kebimbangan isteri PM dan menteri wanita tiada ertinya sedangkan sistem yang BN dokong dan perjuangkan selama lebih 50 tahun adalah sistem yang mengambil Islam secara terpilih. Maka, selama itulah masalah demi masalah akan terus berlaku dan tidak dapat diselesaikan. Marilah kembali kepada sistem yang berasaskan kepada Islam agar kehidupan yang lebih sempurna dapat tercapai.


Sumber: http://ulamak.pas.org.my/

No comments:

Post a Comment