Monday, April 12, 2010

Israel: Najib digesa jelas pendirian tegas negara kepada Obama


KUALA LUMPUR, 12 April: Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaffar (gambar) menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjelaskan pendirian tegas Malaysia tentang status negara haram zionis-Israel kepada Barack Obama dalam Sidang Kemuncak Nuklear di Washington hari ini dan esok.

Beliau juga menyeru kerajaan memperbaiki kepakaran para diplomat tempatan supaya tugas-tugas diplomatik secara profsional di Washington boleh dilakukan oleh Kementerian Luar Negara sendiri.

"Latihlah para pegawai diplomat kita kalau kita lemah dalam melobi di Washington (supaya) kontrak-kontrak diberikan pada (firma) luar (negara) supaya menguruskan kerja-kerja kementerian luar,” ujarnya di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut beliau, kerajaan tidak perlu menggunakan firma-firma luar yang dikaitkan dengan pengaruh zionis-Israel, seperti Firma Perunding Antarabangsa APCO Worldwide (IAC) untuk memastikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dapat bertemu dengan Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama di Washington.

"Kalau Yang Berhormat Perdana Menteri bertemu dengan Presiden Amerika Syarikat sekalipun, kita tidak perlu pelobi-pelobi luar, khususnya yang ada hubungan dengan Israel."

Ahli Parlimen Indera Mahkota Azan Ismail meminta Kamaruddin menjelaskan sejauh mana aktiviti melobi di Washington penting untuk tanah air.

Menjawab soalan itu Kamaruddin berkata, sewaktu Tun Dr. Ismail Abdul Rahman menjadi duta sulung Malaysia ke Washington, aktiviti melobi tidak berlaku.

Pun begitu, menurut beliau, semua ahli Parlimen perlu mengakui bahawa budaya di Washington menggalakkan aktiviti melobi.

Sebab itu, menurut beliau, para diplomat tempatan perlu diasuh supaya menjadi pelobi profesional bertaraf antarabangsa.


Sumber: http://www.harakahdaily.net


No comments:

Post a Comment