Saturday, April 17, 2010

Baru kami sedar, BN tidak minat bela rakyat

KOTA KINABALU, 18 April: “Sekarang kami baru sedar, BN memang tidak berminat untuk membela rakyat. Kami tertipu dan ditipu oleh para pemimpin BN,” kata seorang anak muda di Kampung Bakau, Likas yang mahu dikenali sebagai Jaidin.

Sehubungan itu, beliau mahu pengundi di kawasan Parlimen Hulu Selangor menolak BN dan menyokong Pakatan Rakyat agar peristiwa yang menyayat hati di kampung itu baru-baru ini tidak berulang di Hulu Selangor.

Ini ekoran tindakan kejam Kerajaan Barisan Nasional (BN) negeri meroboh rumah-rumah penduduk setinggan di kampung itu yang amat menyayat hati dan tidak akan dilupakan sampai bila-bila oleh penduduk.

Tanpa belas kasihan, para pekerja Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bersama anggota Rela meroboh satu demi satu rumah penduduk yang rata-ratanya miskin dan daif bermula 12 April lalu yang dijangka berakhir 24 April ini.

Paling menyedihkan kakitangan DBKK dan Rela tergamak meroboh sebuah rumah ketika penghuninya sedang menikmati juadah makanan mereka.

Tidak cukup dengan itu, orang-orang suruhan kerajaan BN ini telah merosakkan harta benda penduduk seperti barangan elektrik, perabot dan sebagainya.

“Selama ini saya dan keluarga setia menyokong Barisan Nasional tetapi kenapa ini balasan yang kami terima? Saya ada sembilan orang anak dan enam orang masih bersekolah. Rumah saya diroboh dan sekarang kami tidak tahu mahu tinggal di mana,” kata Nasron yang tinggal bersama keluarga di sebuah pondok sempit dan usang. (Gambar bawah)

Dengan nada sebak Nasron memberitahu: “Kami ini seperti tiada harga, dibuat macam binatang. Lebih teruk lagi daripada Yahudi. Kami dihalau tanpa bayaran pampasan satu sen pun. Saya disuruh ke Telipok Ria (perumahan rakyat) tetapi saya perlu membayar wang deposit sebanyak RM700.

“Itu belum campur kos pendawaian elektrik yang lebih kurang kosnya RM2,000. Manakala anak saya bersekolah di Kampung Likas, tambang seorang menjadi RM80 sebulan. Maka dengan enam orang anak kos tambang sekolah sudah mencecah RM480 yang mana saya sendiri tidak mampu sediakan semua itu”.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kampung Bakau, Nasir Ahid penduduk telah mendiami di situ selama 30 tahun iaitu awal tahun 1980-an lagi.

Pada waktu itu, katanya penduduk yang berasal dari Semporna, Kudat dan Kota Marudu telah datang meneroka dan membina perkampungan di tanah paya seluas 23 ekar. Kesemua mereka Bumiputera malahan pengundi Kampung Bakau saja berjumlah 3,000 orang.

“Pada masa itu, salah seorang ahli JKKK telah mempelawa saya membina rumah di sini dengan keluasan 30 x 40 kaki. Kebenaran yang diberikan membolehkan saya membina rumah untuk kami sekeluarga menumpang teduh dan meneruskan kehidupan,” kata seorang pesara polis yang tidak mahu dikenali.

Kini beliau telah bersara manakala isterinya bekerja sebagai tukang sapu dengan gaji sebanyak RM17 sehari.

“Apabila kerajaan mahu meroboh rumah kami, saya tidak tahu mahu ke mana kerana saya tidak mempunyai tanah dan wang,” katanya.

Salah seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Radin memberitahu: “Saya membuat panggilan kepada Ketua Umno Bahagian Sepanggar, Jumat Idris untuk memohon bantuan kerana penduduk Kampung Bakau hidup kegelapan setelah pihak SESB memotong bekalan elektrik sejak Isnin lagi. Lantas Jumat menjawab ada baiknya juga hidup dalam kegelapan,” katanya yang tidak berpuas hati dengan lagak sombong pemimpin Umno itu.

Robohnya rumah-rumah Kampung Bakau itu diiringi dengan tangisan dan hancur berkecainya harapan penduduk untuk terus menikmati kehidupan yang aman dan damai.

Suatu ketika dahulu, apabila menjelang pilihan raya, wakil rakyat Dun Karambunai sekarang, Jainab Ahmad telah memberi jaminan bahawa nasib penduduk kampung itu akan dibela dan dipertahankan.

Namun apabila rumah-rumah mereka telah ranap diroboh, wakil rakyat tidak muncul-muncul. Kini semuanya itu ternyata hanya janji-janji kosong belaka.

Sumber: HarakahDaily


No comments:

Post a Comment