Monday, March 8, 2010

Mufti Perak Terlibat Politik Dengan Jubah Seorang Mufti

Terkilan saya apabila Mufti Perak, Sahibus Samahah Tan Sri Harussani Zakaria menyebut nama saya secara terbuka di khalayak. Samada di dalam mesyuarat atau persidangan dewan, menyebut nama seseorang dalam ucapan secara terbuka biarlah dengan kehadiran tuan punya badan.

Sekurang-kurangnya, bolehlah kata-kata tersebut disahkan atau dinafikan. Mufti bukan orang politik yang terdedah dengan kaedah menyerang atau diserang. Mengaitkan nama saya dalam kenyataan politik seorang yang bukan tokoh politik merupakan satu tingkah laku yang tidak beretika. Justeru, apabila mufti mengambil tindakan melagukan nama saya dengan irama politik, saya harus memberikan jawapannya.

Adil juga jika saya menukilkan dahulu sebahagian ucapan beliau di program Dialog Za’ba, Perpaduan Melayu: Cabaran dan Realiti di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), minggu lepas. Antaranya beliau berkata,

“Kenapa Pas tidak boleh bergabung untuk membentuk kerajaan yang sudah pasti akan memperoleh majoriti 100 peratus Melayu memerintah.

“Saya telah berjumpa dengan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kelantan dan berbincang hampir dua jam, pada awalnya beliau tidak bersetuju tetapi akhirnya dia kata idea itu bagus tetapi tidak dapat memberi keputusan kerana ia bergantung kepada Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Saya maklumkan bahawa tidak berapa rapat dengan Hadi, jadi jika cadangan itu baik saya minta beliau (Nik Aziz) maklumkan kepada Hadi. Semasa dalam perjalanan balik iaitu berada di Cameron Highlands, Hadi telah hubungi saya dan bersetuju dengan cadangan itu.

“Tetapi Hadi kata dia tidak boleh buat keputusan kerana ia bergantung pada negeri iaitu Pesuruhjaya Pas Negeri (Ahmad). Saya juga telah hubungi Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din dan dia juga bersetuju,”

Saya ingin menyentuh berkaitan kenyataan yang menyebut beliau datang ke rumah saya. Benar atau tidak, terserahlah kepada khalayak. Bagi saya, ini di antara beliau dan saya. Cuma pertanyaan saya, tidakkah itu satu keterlibatan dengan politik? Sedarkah beliau bahawa kerajaan Perak yang dirampas dari tangan rakyat hari ini didokong oleh UMNO, sebuah parti yang meyakini bahawa politik dan agama tidak boleh bercampur? Dalam bahasa mudahnya, politik suku agama suku.

Jika mufti sendiri sanggup turun melaksanakan urusan berkaitan politik, ertinya beliau beranggapan tugasnya sebagai mufti meliputi tugas politik. Adakah bagi beliau, politik dan agama mesti selari, tidak boleh berpisah? Jika demikian,beliau telah mengiktiraf perjuangan PAS adalah benar. Jika tidak, kenapa libatkan diri dengan politik? Bukankah itu salah mengikut akidah UMNO?

Inilah yang diperjuangkan oleh PAS. Tegak berdirinya PAS dengan perjuangan menjadikan Islam sebaagai cara hidup. Tidakkah al-Quran sebuah kitab yang syumul? Isinya bukan sahaja akidah, bahkan soal ekonomi, politik, rumahtangga, psikologi dan kaunseling, semuanya ada di dalam al-Quran. Tidakkah ini merupakan tiang seri perjuangan PAS sejak sekian lama? Jika mufti Perak beranggapan politik dan Islam perlu selari, selangkah kaki beliau sepatutnya sudah berada di dalam PAS!

Jika beliau tidak berpandangan Islam dan politik perlu selari, tetapi terus terlibat dengan politik dengan jubah seorang mufti, maka dengan sendirinya beliau telah menjadi ejen. Dalam kes ini, beliau telah menjadi ejen UMNO. Hilang luruh kemuliaan seorang mufti kalau merelakan diri menjadi ejen. Apatah lagi menjadi ejen sebuah parti politik sekular.

Saya kira, jika seorang mufti yang menjadi ejen parti politik sekular, itu bukanlah lagi al-mufti (yang memberikan fatwa) tetapi al-mufta (yang diberikan fatwa). Cukuplah sekadar itu respon balas saya terhadap kenyataan beliau.

NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT


Sumber: http://www.sabahdaily.com


Sunday, March 7, 2010

MP keluar parti berasas ratib palsu




Hafiz Irwan

KOTA BARU, 7 Mac: Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan wakil-wakil rakyat yang keluar parti sekadar meratib palsu bagi menghalalkan tindakan mereka.

Katanya, bermacam-macam alasan diberi mereka untuk meninggalkan parti kononnya demi kepentingan agama, bangsa dan negara.

“Namun ia hanyalah ratib palsu. Langsung tidak logik alasan mereka demi menjaga kepentingan agama dan bangsa tiba-tiba menyerahkan diri kepada Umno.

“Sedangkan Umno sebuah parti yang tidak pernah menjaga agama dan bangsa,” katanya pada kenyataan media di sini semalam.

Baru-baru ini tiga anggota parlimen (MP) Parti Keadilan Rakyat iaitu Datuk Seri Zahrain Mohamad Hashim (Bayam Baru), Tan Tee Beng (Nibung Tebal) dan Mohsin Fadzli Samsuri (Bagan Serai) mengumumkan keluar parti.

Manakala anggota parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin dipecat kerana melanggar disiplin parti.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, wakil-wakil rakyat terbabit enggan meletak jawatan untuk bertanding semula dengan dengan kekuatan peribadi sendiri.

“Jika persoalan bertanding semula menjadi isu, ini bermakna pemimpin terbabit hanya memikirkan kepentingan diri dan bukannya kepentingan rakyat.

“Bimbang sangat jika tidak dapat bertanding. Jelas dan terang mereka hanya menjaga kepentingan diri. Syak saya dan juga orang lain semakin kuat, apatah lagi jika benar didorong oleh imbuhan berjuta-juta,” katanya.

Beliau juga berharap PKR tidak mudah berputus asa dengan perkembangan yang berlaku sekarang memandangkan parti itu masih lagi muda dalam gelanggang politik negara.

Menurutnya, PAS sewaktu zaman mudanya dulu juga diancam amalan lompat parti.

Beliau berkata, di Terengganu pernah PAS tersungkur kerana ada yang melompat parti.

“Di zaman Allahyarham Daud Samad dan Allahyarham Datuk Asri Muda, berlaku juga kes lompat parti. Hari ini, PAS sudah dewasa dan matang, tidak lagi kedengaran pimpinan yang melompat seperti dahulu.

“Bahkan Kelantan pernah diperintah dengan kelebihan satu kerusi dengan dua undi. Alhamdulillah, tidak ada yang melompat,” katanya.


Sumber: HarakahDaily.Net


Friday, March 5, 2010

PAS NEKAD BANTAH GST

Pengurangan cukai pendapatan hanya untungkan orang kaya
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) membantah cadangan Kerajaan
Barisan Nasional
yang nekad melaksanakan Cukai Perkhidmatan dan Barangan (GST) dilaksanakan menjelang pertengahan 2011

bagi mengantikan cukai perkhidmatan dan jualan sediaada

Pada masa ini kedua-dua cukai itu masing-masing berada 10 peratus dan lima peratus, tetapi hanya meliputi barang mewah sahaja dan bukannya barangan keperluan utama. Walaupun GST hanya 4 peratus tetapi ia akan melibatkan ke semua jenis barang termasuk barangan keperluan utama yang dikawal.

Strategi Kerajaan yang mahu mengurangkan cukai pendapatan dan korporat secara beransur-ansur bagi mengurangkan beban pengguna ini juga dilihat tidak logik kerana pembayar cukai pendapatan dan syarikat hanya melibatkan mereka yang berkemampuan, sedangkan cukai GST akan melibatkan semua lapisan rakyat termasuk mereka yang tidak berkemampuan.

GST akan menyusahkan ibubapa yang mahu membeli susu untuk anak-anak mereka, peniaga restoran juga terpaksa menaikan harga makanan jika beras, ikan, daging, ayam dan sayuran dikenakan cukai. Mereka yang hidup diluar bandar pasti akan lebih terasa kerana barangan keperluan yang dihasilkan dikilang akan meningkat dalam pasaran.

PAS juga melihat pembatalan cadangan penstrukturan semula subsidi Petroleum tidak memberi apa-apa makna, kerana bila GST 4 peratus dilaksanakan, kemungkinan harga minyak bercukai ini akan naik sebanyak 10 sen seliter atau lebih dari itu.

Harga tambang perkhidmatan juga kemungkinan akan berubah dengan peningkatan sebanyak 4 peratus. Bayangkanlah nasib pengguna perkhidmatan Komuter, LRT, Bas dan kapal terbang dimasa depan dengan cukai ini.

Bagi barangan yang dihasilkan dalam kilang pengguna berkemungkinan menerima cukai GST 8 peratus kerana 4 peratus dikenakan oleh pengilang dan 4 peratus dikenakan melalui pemborong atau penjual dipasaran.

Rakyat harus membuka mata terhadap isu ini dan PAS nekad membantah dasar GST demi kepentingan rakyat keseluruhannya.

Ust Idris Ahmad

Ketua Penerangan PAS Pusat

Sumber: Buletin Online