Saturday, February 26, 2011

Hadapi pilihanraya dengan akhlak Islami


Oleh: Nasrudin bin Hassan

1. Kita adalah mewakili Gerakan Islam yang menyertai politik berpilihanraya dalam negara yang mengamalkan sistem demokrasi. Biarpun ruang demokrasi itu kian sempit namun perjuangan untuk meloloskan Islam dari kepungan jahiliyah moden hari ini mesti diteruskan walau dengan apa cara sekalipun selama mana cara dan kaedah itu diizinkan oleh syara' .

2. Justeru itu, penyertaan dan penglibatan kita dalam pilihanraya bukanlah didorong oleh rasa ingin berpilihanraya semata atau didesak keinginan untuk mendapatkan kuasa dan pengaruh semata, sebaliknya ia adalah didokong oleh prinsip untuk menjulang Islam dan segala syariatnya agar menempati ruang yang selayaknya sebagai cara hidup [ way of life ] pula mengatasi kedudukan ideologi ciptaan manusia.

3. Bertolak dari nokhtah ini, partisipasi kita dalam seluruh kegiatan politik tanahair hari ini adalah satu ibadah atau pengabdian diri kita kepada Allah swt. Justeru itulah, kita bertanggungjawab pula untuk memastikan setiap langkah kita dalam sebarang aktiviti politik ini, samaada dalam aspek menggaris matlamat, melakar objektif, merencana strategi dan mengurus operasi, segalanya mestilah berlandaskan syariat dan akhlak Islami.

4. Tindakan yang dihambat emosi, dihasut nafsu dan dirasuk dendam adalah suatu yang mesti dielakkan dalam gerak langkah kita berkempen dan mencari sokongan politik. Bahkan apa yang wajar dan sayugianya ialah setiap pimpinan dan ahli PAS mempamerkan qudwah yang unggul dan uswah yang luhurmencerminkan bayangan akhlak terpuji didikan Rasul saw.

5. Jauhkan diri dari politik maki hamun dan caci nista biapun saat mendepani provokasi luarbiasa dari pihak lawan. Kekalkan rentak berakhlak sekalipun dilatari kebingitan melampau yang mencabar rasa dan cita kita sepanjang tempoh perjuangan, khasnya di saat mendepani detik pilihanraya umum atau kecil.

6. Bukankah Allah swt mewahyukannya kepada kita semua :

فبما رحمة من الله لنت لهم ولو كنت فظا غليظ القلب لانفضوا من حولك فاعف عنهم و استغفر لهم و شاورهم في الأمر فإذا عزمت فتوكل على الله إن الله يحب المتوكلين

Maka dengan sebab Rahmat [yang melimpah] dari Allah swt [kepadamu Wahai Muhammad], Engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka [sahabat-sahabat dan pengikutmu], dan kalaulah Engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka [mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu], dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah Dengan mereka dalam urusan [peperangan dan hal-hal keduniaan] itu. kemudian apabila Engkau telah berazam [Sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu] maka bertawakalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.

Surah Aali Imran : 159

7. Ayat ini sebahagian dari strategi penting yang perlu dilaksana dan dihayati untuk menghasilkan kesan mendalam dalam urusan kempen kita sepanjang tempoh pilihanraya. Sementara umum mengetahui bahawa pilihanraya adalah berkait dengan undi yang ingin diperolehi dari rakyat atau pengundi. Maka ia memerlukan satu pendekatan yang lunak dan meyakinkan pengundi untuk mereka hampir dengan kita lalu memberikan undinya kepada kita.

8. Pilihanraya bukan medan peperangan untuk menghunus senjata tajam seumpama pedang guna memenggal leher lawan dan menebas betis penghalang, tetapi pilihanraya adalah gelanggang untuk memenangani hati pengundi agar memberi peluang serta kepercayaan kepada kita untuk memimpin dan mewakili mereka dalam satu - satu kawasan pilihanraya yang ditandingi.

9. Akhlak menjadi senjata berkesan di medan pilihanraya justeru ia berkait dengan usaha konsisten untuk memenangi hati pengundi. Memenangi pilihanraya, kita perlukan undi dari semua pihak sekalipun bukan dari kalangan kita. Maka hal ini hanya boleh dicapai apabila kita berjaya memenangi hati dan meyakinkan mereka untuk memberi sokongan kepada kita. Hanya akhlak mulia [ Islami ] yang boleh memenangi hati manusia. Caci nista pula menjauhkan kita dari mereka dan menjarakkan mereka dari kita.

10. Kawal diri dan kekang emosi terutama saat berdepan provokasi. Marilah kita bina suasana politik baru yang berteraskan politik Rasulullah saw. Terutama pada hari perarakan penamaan calon dan hari akhir sewaktu merayu undi, sekali lagi saya seru agar elakkan diri dari melontarkan kalimah dan slogan yang tidak mencerminkan ketinggian budi dan akhlak muslim. Berwatak matanglah dalam memimpin slogan serta aksi tanpa mencemuh pihak lain. Pilih slogan yang boleh menaikkan semangat juang dengan penuh hemah.

Murnikan Perjuangan Maknakan Kemenangan

Nasrudin bin Hassan

Ketua DPP Malaysia

Tidak mustahil berlaku kejutan di Merlimau


JASIN, 26 Feb: PAS tidak akan menyerah kalah meskipun di kubu kuat Umno BN sebaliknya akan terus menggunakan peluang yang ada untuk mengajak rakyat membuat perubahan.

Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa berkata, PAS bertanding di Merlimau untuk menang dan yakin mampu menghadapi persaingan sengit dengan pihak lawan.

"Mahathir pernah kalah kepada calon PAS di kubu kuat BN jadi kita lawan dulu. Kita bagitahu kepada rakyat tawaran kita dan keburukan yang sedang dilakukan BN di negeri ini dan kita serah kepada rakyat untuk membuat pilihan. Kalau kalah, pilihan raya akan datang kita masuk lagi.

"PAS masuk pilihan raya untuk menang. Di mana sahaja tempat yang kita boleh bagi tentangan (kepada BN) kita akan bagi kerana PAS nak pastikan risalah perjuangan kami diterima rakyat dan perubahan dalam negara ini dapat dilakukan," katanya.

Nada yang sama turut disuarakan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.

Beliau berkata, berdasarkan kesungguhan dan kerjasama ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat, tidak mustahil kubu itu dapat dipecahkan.

"Kita kena akui Merlimau ini kubu kuat Umno dan bukan perkara yang mudah untuk kita menghadapinya.

"Kita kena anggap ini bukan perkara yang mudah. Walaubagaimanapun dengan seluruh tenaga yang ada dan kita bersatu, sudah nampak tanda-tanda penerimaan rakyat itu dan bukan perkara yang mustahil kita boleh buat kejutan di Merlimau ini," katanya.

Ini juga ditambah dengan faktor calon yang merupakan anak tempatan dan diyakini memahami selok-belok dan masalah pengundi di Dun berkenaan.

"Yuhaizad calon terbaik yang kita pilih berdasarkan kajian setelah melalui proses tapisan daripada senarai nama yang diterima. Ada beberapa calon yang berpotensi tapi Yuhaizad lebih layak dan sesuai," katanya.

Mustafa juga mengingatkan Umno BN tidak berterusan menggunakan kemudahan jentera kerajaan termasuk SPR untuk kemenangan mereka.

"Kita ada masa beberapa hari untuk bekerja keras dan kita mengharapkan SPR memainkan peranan mereka dengan betul, soal ketelusan yang kita bincang selama ini.

"Kita ingatkan Umno jangan berterusan menggunakan segala kemudahan termasuk SPR untuk menang," katanya.

Sementara itu, Nasharudin berkata, Pakatan Rakyat khususnya PAS sudah bersedia dengan isu-isu tempatan dan nasional termasuk isu antarabangsa untuk digunakan sewaktu kempen.

"Kita akan dedahkan beberapa isu tempatan yang berkaitan negeri Melaka, berkaitan isu tempatan dan antarabangsa.

"Gabungan isu ini akan kita jadikan bahan kempen untuk mengajak rakyat bersama kita," katanya yang juga Ahli Parlimen Bachok.

Friday, February 25, 2011

Yuhaizad di Merlimau, Hassanuddin di Kerdau

KUALA LUMPUR, 24 Feb: PAS malam ini memilih Yuhaizad Abdullah, 38, sebagai calon pada pilihan raya kecil (PRK) Dun Merlimau dan Hassanuddin Salim, 43, bagi PRK Kerdau.

Kedua-dua PRK itu diadakan serentak pada 6 Mac ini sementara penamaan calon pada 26 Februari.

Di JASIN, pemilihan Yuhaizad (kanan) selaku Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Jasin diumumkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada jam 11.25 malam ini di hadapan lebih 6,000 penyokong PAS dan Pakatan Rakyat di Dataran Markas PAS Dun Merlimau.

Turut hadir ialah Setiausaha Agung PAS dan PKR, Datuk Mustafa Ali dan Saifuddin Nasution Ismail, Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Salleh, Ketua AMK dan Dapsy Pusat, Shamsul Iskandar Md Akin dan Loke Siew Fook serta Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman.

Berusia 38 tahun, Yuhaizad adalah juga Ahli Badan Perhubungan PAS Negeri Melaka dan Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS negeri.

Pemilihan anak jati Kampung Chinchin yang terletak di dalam Dun Merlimau yang berkelulusan Diploma Tasawur Islam itu dipercayai mampu memberikan tentangan sengit kepada BN yang sememangnya begitu yakin dapat mempertahankan kerusi Merlimau.

Kerusi Dun Merlimau kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Hidhir Abu Hassan, 58, dari BN pada awal Februari lalu.

Pada pilihan raya umum 2008, Hidhir menewaskan calon PAS, Mejar (B) Jasme Tompang dengan majoriti 2,154 undi.

Beliau pernah bekerja sebagai juruteknik Siemens Semiconductor pada 1994 hingga 1998, Pegawai Tadbir Koperasi Hak Anak Melaka (Kohamas) pada 1998 hingga 2000, Pegawai Tadbir Borneo Security Melaka (2001-2003), Pengurus Projek Kontraktor Penyelenggaraan di MISC Menara Dayabumi (2003-2007) dan Pengurus Projek Kontraktor Penyelenggaraan di Universiti Multimedia pada tahun lepas.

Di TEMERLOH, pengumuman Hassanuddin (kiri) sebagai calon PAS telah disempurnakan oleh Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada jam 10.46 malam dalam majlis yang diadakan di tapak Kompleks PAS Kerdau.

Turut berucap ialah Timbalan Presiden PAS dan PKR, Ustaz Nasharudin Mat Isa dan Mohamed Azmin Ali, Naib Presiden dan AJK PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Mohamad Sabu.

Hadir sama ialah Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan, Dr Tan Seng Giaw, Naib Presiden PKR, Fuziah Salleh, Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan, Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad dan Pengerusi PKR Pahang, Datuk Fauzi Abdul Rahman.

Hassanuddin yang dilahirkan di Kampung Loyang, Sanggang, Temerloh pernah bertanding di Dun Kerdau pada pilihan raya umum lalu.

Beliau adalah Ketua Penerangan PAS Pahang yang berkelulusan Diploma Ukur dari UiTM, Shah Alam mempunyai seorang isteri dan tujuh orang anak.

Hassanuddin berpengalaman dalam kerja-kerja pembinaan berskala besar seperti pembinaan infrastruktur Hospital Temerloh di samping pernah berkhidmat di Sudan dalam industri minyak dan gas.

Beliau yang mempunyai pengalaman dalam industri dan ukur selama 15 tahun juga aktif dengan aktiviti kemasyarakatan.

Sumber: HarakahDaily

Tuesday, February 22, 2011

PRK : Mee Segera Hingga Bila-bila


PENGUMUMAN projek baru dan pemberian berbagai perkara oleh kerajaan Barisan Nasional berlakudalam setiap pilihan raya umum dan pilihan raya kecil sejak selepas merdeka.

Hadiah rasuah politik itu kini dikenali sebagai projek mee segera. Tetapi ia tidak pernah dikenali sebagai projek mee segera hinggalah berlangsungnya Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terangganu yang dimenangi calon PAS, Mohamad Abdul Wahid Endut tidak lama selepas Pilihan Raya Umum yang lalu.
Dalam kempen di Kuala Terengganu itu, Datuk Seri Najib, masih lagi Timbalan Perdana Menteri masa itu
mengisytiharkan, tiada lagi projek mee segera dibuat melalui kempen pilihan raya.

Pengumuman tentang mee segera oleh Datuk Najib itu, secara berani mengakui adanya amalan pemberian mee segera dalam setiap pilihan raya sebelum itu.

Tanpa menyatakan ia adalah satu perbuatan tidak bermaruah dalam pilihan raya, ia adalah untuk menyatakan bahawa perbuatan itu adalah tidak bermaruah, melanggar susila budaya pilihan raya dan ia adalah bersemangat rasuah.

Jika selama ini dibiar jalan di kampung berlubang dan berlopak, tetapi sebaik mati wakil rakyat jalan pun bertar – baru dan licin jalannya. Selama ini dibiarkan kantin sekolah dengan keadaan yang uzur, maka pada kempen PRK dikeluarkan bantuan segera membaharui bangunan kempen.
Dalam tahun 60an dulu ada kampung yang tidak ada bekalan air dan api dihantar alat-alat bagi membina projek itu menjelang pilihan raya atau sebaik bermula kempen pilihan raya. Orang dapat melihat berlonggok-longgok peralatan itu di tepi jalan.

Ada tempatnya bahan itu terus berlonggok di situ sehingga lama selepas pilihan raya, projek itu tidak pernah tiba. Dan ada pula di kawasan yang calon parti kerajaan kalah, bahan yang dilonggokkan itu dipunggah dibawa balik ke tempat asalnya. Projek mee segera itu tidak jadi dilaksanakan kerana pengundi kononnya tak mahu projek itu. Itulah sebabnya mereka tidak mengundi calon parti kerajaan.

Sehinggalah dalam kempen PRK di Kuala Terangganu yang Datuk Najib berkempen di kawasan yang ibu saudaranya – adik Tun Razak – sebok JKR menurap jalan dan sebagainya bagi menarik sokongan pengundi. Ia tidak dibuat sebelum kempen itu tetapi diadakan secara tiba-tiba bila tiba-tiba ada pilihan raya.
Itulah yang dikatakan projek mee segera. Mee segera itu ialah mee yang boleh diperolehi dan dimakan masa itu juga. Ia bukan mee yang sudah dimasak. Tetapi ramuan mee yang disediakan dalam kotak khas, dibeli dan dituang air panas dan boleh dimakan ketika itu juga.

Kata Najib, projek mee segera itu tidak akan ada lagi.
Orang pun tahu semua pengumuman mengenai projek secara tiba-tiba itu dipanggil projek mee segera. Dan calon BN Kuala Tereangganu itu kalah. Sebelumnya wakil rakyat BN yang mati itu dua kali menang di situ.

Orang pun menyangka seperti hendak bermulalah kempen pilihan raya yang sihat dan akan wujudkan kerajaan yang sihat. Kalau Najib nanti jadi Perdana Menteri, tiada lagilah barang-barang seperti mee segera itu.
Tetapi bila Najib menggantikan Abdullah Badawi, penyakit mee segera menjadi-jadi lebih teruk dari sebelumnya.

Dalam pilihan raya kecil di Manek Urai hampir dua tahun lalu, tidak pernah terfikir penduduk di situ untuk membina jambatan menyambung dua bahagian pekan. Tiba-tiba di tengah kempen itu menteri mengumumkan akan membina jamabatan di situ.

Itulah janji projek mee segera.

Rancangan itu tidak ada. Ia diada-adakan saja. Sehingga ini belum ada apa-apa. Ia baru dikira sebagai satu wawasan. Entah bila hendak diadakan.
Dalam PRK di DUN Tenang baru-baru ini banyaklah kotak mee segera dibawa ke situ dan banyak pengumuman dan pemberian yang tidak pernah dibuat dan diberi kepada penduduk di situ disampaikan.

Makmur sekejap dan makmur segera penduduk kawasan itu oleh limpahan pemberian dan janji projek mee segera.

Sebaik selesai PRK Tenang orang beralih ke DUN Merlimau. Sebelum penamaan calon, mengikut Pengerusi badan pemantau pilihan raya bebas (Mafrel), Syed Ibrahim Syed Noh, jalan-jalan di DUN itu mula diturap belaka. Pengumuman projek baru pun menjadi-jadi, ikut sedap mulut menteri dan Ketua Menteri.

Santa Klaus BN itu bersepah-sepah di Merlimau dan setengahnya berkampung pula di Dun Kerdau, Pahang membawa kotak mee segera dan projek tiba-tiba.
Kata Syed Ibrahim, ia melanggar peraturan pilihan raya. Janji Najib tiada lagi projek mee segera sudah tidak dipedulikannya sendiri. Betullah dia seorang pawang memecah timba. Mee segera ada bila-bila selagi ada Umno dan BN.

Sumber: HarakahDaily


Wednesday, February 16, 2011

PRK Medan Persiap PRU 13


KUALA LUMPUR, 16 Feb: Pilihan raya kecil (PRK) merupakan medan bagi Pakatan Rakyat untuk menyampaikan maklumat kepada rakyat sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-13, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Mengulas mengenai persiapan PAS menghadapi PRK Dun Merlimau, beliau berkata, ianya juga sebagai latihan kepada jentera Pakatan Rakyat dalam menghadapi pilihan raya yang lebih besar.

"Yang penting kita mengambil kesempatan ini untuk menyuntik maklumat-maklumat kepada rakyat dan untuk memobilisasi jentera parti sebagai latihan untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, di sini hari ini.

Sehubungan itu tegasnya, jentera parti tidak harus memikirkan soal kemenangan semata-mata sebaliknya terus memberi fokus untuk menyampaikan maklumat sekaligus mengurangkan majoriti undi BN.

Tambahnya, kemenangan itu bersifat subjektif, tidak tertumpu kepada kemenangan merampas kerusi dari BN sahaja.

"Kita akan bagi penjelasan, kempen kepada masyarakat dan memberi maklumat itu sudah cukup sebagai pencapaian yang baik.

"Kadang-kadang pencapaian ini bukan sahaja untuk menang. Pencapaian mungkin pertambahan undi, pengurangan majoriti.

"Pencapaian kita juga untuk sampaikan maklumat itu kepada masyarakat seterusnya ia menjadi perbualan, bukan hanya difokuskan kepada kawasan pilihan raya tapi juga kawasan lain di seluruh negara," katanya.

Kata ahli parlimen Pokok Sena itu juga, maklumat yang disampaikan sewaktu kempen PRK akan memberi kesan kepada PRU akan datang.

"Strategi kita meluas maksudnya masuk pilihan raya bukan hanya fokus kepada kawasan yang kita masuk tapi untuk kawasan lain juga sebab liputan media akan berlaku di situ dan ini akan membentuk pemikiran masyarakat umum untuk kepentingan pilihan raya umum akan datang," katanya.

Menurut beliau, Pakatan Rakyat akan terus memperkatakan soal integriti kepimpinan negara di Merlimau kerana ianya soal penting yang harus diketahui rakyat khususnya golongan muda yang dilihat sudah menolak kepimpinan yang korup.

"Kita akan terus memperkatakan soal integriti kepimpinan negara dan kepimpinan negeri sebab ini menjadi trend politik dunia.

"Fenomena baru kepada masyarakat sesebuah negara ialah soal integriti. Saya percaya pengundi muda juga mendokong prinsip yang sama iaitu tidak mahu bersekongkol dengan pemimpin yang korup," katanya.

Sumber: HarakahDaily


Friday, February 11, 2011

PAS Akan Turun ke Jalanraya


sekiranya penipuan terus berlaku dalam pilihanraya

KUALA NERUS - PAS memilih jalan demokrasi dan menyertai pilihanraya secara aman dalam berpolitik di negara ini namun sebaliknya akan turun ke jalan raya sekiranya penipuan terus berlaku dalam pilihanraya.


Menurut Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Haji Mohamad Sabu, rakyat akan turun ke jalan-jalan raya dengan kerelaan masing-masing, sekiranya mereka tidak percaya lagi dengan sistem yang diamalkan dinegara ini.

"Kita memilih pilihanraya, himpunan secara aman, (tetapi) sekiranya tidak adtidak perlu disuruh, sekiranya rakyat sudah tidak ada kepercayaan kepada sistem demokrasi yang diamal (lagi) kepercayaan kepada pilihanraya, tidak perlu disuruh, rakyat akan turun ke jalan raya,"tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan motivasinya disebelah pagi, dalam program Himpunan Pemuda Islam Terengganu (HIMPIT) 2011 yang diadakan di padang bola, Pekan Batu Enam, disini Jumaat 11 Februari.
Mohamad Sabu turut memberi peringatan, Malaysia akan menerima nasib seperti Tunisia dan Mesir apabila rakyat telah kecewa dan berputus asa.

Sehubungan itu, Setiausaha Dewan Pemuda PAS Terengganu, Wan Faizul Abas berkata, Himpit 2011 berbeza dengan himpunan pemuda yang dadakan seumpamanya yang diadakan sebelum ini.

"Himpunan kali ini sangat berlainan daripada yang diadakan pada sesi-sesi lalu kerana ia bertemakan ‘Masa Untuk Berubah, PAS Ganti Umno’,"katanya ketika ditemui.

Menurutnya selain hanya diadakan sehari suntuk sahaja, tema yang dipilih oleh pemuda PAS adalah bagi meneruskan semangat kebangkitan rakyat dari program yang dianjurkan Badan Perhubungan PAS 15 Januari, 2011.

"Pemuda (PAS) menyambut dengan penuh semangat program Himpunan Kebangkitan Rakyat anjuran Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu pada 15 Januari 2011 yang lalu di Dataran Tok Guru Geliga Kemaman,

"Oleh itu, kita memlih tema tersebut,"jelasnya

Sumber: http://www.buletinonline.net/i