SEORANG penduduk tempatan berbangsa Sungai, Liliyu Bin Suma, 72, semalam telah membuat dua laporan polis di Balai Polis Sandakan mengadu supaya polis di Malaysia tangkap dan dakwa anggota polis yang telah sesuka hati melepaskan tembakan menggunakan senjata api milik PDRM hingga menyebabkan kematian seorang anak lelakinya bernama Jalih Bin Liliyu (Mykad 760220-12-5991).
Dalam laporannya, diberi nombor daftar SDK/RPT/6639/2010 dan 6640/2010, Liliyu mendakwa pada 22 April 2010, lebih kurang jam 8 malam bertempat di batu 15 Jalan Labuk Sandakan, seorang anaknya bernama Jalih, telah mati akibat terkena tembakan di kepala.
Apabila ditanya mengapa dia mengambil masa begitu lama untuk membuat aduan kepada polis, bapa mangsa berkata dia dalam kebingungan dan tidak tahu apa yang wajib dilakukan.
“Saya bingung kerana nyawa seorang anak saya yang tidak berdosa telah menjadi korban hanya disebabkan dia lari kerana takut ditangkap polis sebab lesen memandunya mati.”
“Oleh kerana saudara saya, OKK Hassnar Haji MP Ebrahim baru sahaja sampai ke Sandakan, maka saya buat laporan polis sebagaimana dinasihatkan olehnya”
Bapa mangsa merasakan menembak mati anaknya hanya kerana enggan berhenti adalah keterlaluan.
Menurut OKK Hassnar, dia telah dimaklumkan tentang kejadian anggota polis menembak hingga mati Allahyarham Jalih sejak 23 April tetapi tidak ingin melibatkan diri berharap pihak polis akan bersikap telus dan jujur menyiasat serta mengambil tindakan terhadap penjenayah terbabit.
Dalam kejadian pada 22 April 2010 seramai 4 orang berada dalam sebuah kereta proton yang dipandu oleh mangsa. Setelah terkena tembakan di kepala kereta mangsa hilang kawalan dan terbabas seterusnya melanggar sebuah pokok mangga di batu 15 Jalan Labuk, Sandakan.
Rakan mangsa, Mohd Ardi Bin Awang yang duduk di hadapan mengalami cedera parah dan masih berada dalam Unit Rawatan Rapi Hospital Duchess Of Kent, Sandakan.
Sementara itu, dua lagi penumpang yang duduk di bahagian belakang berjaya melarikan diri. Bagaimanapun seorang daripada mereka telah berjaya diberkas polis dan kini telah dihantar ke penjara Sibuga, Sandakan.
Beberapa jam selepas disahkan mati, pihak hospital telah membenarkan jenazah mangsa dibawa pulang untuk pengkebumian. Menurut OKK Hassnar, ketika dimandikan, baru diketahui terdapat kesan tembakan peluru yang mengena di bahagian belakang kepala tembus ke bahagian hadapan mata mangsa.
Bapa simati yang turut diiring oleh OKK Hassnar ketika membuat dua laporan polisnya menuntut supaya PDRM mengambil tindakan terhadap Ketua Polis Daerah Sandakan dan Pegawai Pendakwa Jabatan Siasatan Jenayah Sandakan atas tuduhan cuba melindungi dan merahsiakan jenayah anggota polis yang bertanggungjawab melepaskan tembakan hingga menyebabkan kematian mangsa.
Bila ditanya mengapa dia menasihatkan bapa mangsa supaya membuat laporan polis terhadap Ketua Polis Daerah Sandakan, OKK Hassnar berkata;
“Membenarkan jenazah dibawa pulang untuk pengkebumian tanpa post mortem menampakkan ada elemen jenayah yang sengaja hendak dirahsiakan. Kalau Kabinet Malaysia bersetuju menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menyiasat kematian Aminulrasyid Amzah adalah wajar kematian Jalih Bin Liliyu akibat tembakan polis diberi layanan serupa,” ujar OKK Hassnar lagi.
Oleh: ZEILAH A (sabahkini)
No comments:
Post a Comment