Monday, May 31, 2010

PAS sambut seruan Hamas bangkit bantah Yahudi

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 31 Mei: PAS menyambut seruan Hamas supaya dunia Islam bangkit bagi menyatakan bantahan terhadap serangan ganas tentera rejim zionis Yahudi terhadap Konvoi Bantuan Kemanusiaan Antarabangsa Gaza, pagi ini.

Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa berkata, parti itu akan sentiasa bersama dengan masyarakat antarabangsa yang inginkan keamanan supaya mengadakan tindakan susulan yang sesuai terhadap kekejaman yang dilakukan oleh tentera rejim tersebut.

Jurucakap Hamas, Sami Abu Zuhri, hari ini menyeru rakyat Arab dan umat Islam supaya ‘berhimpun’ di kedutaan-kedutaan Israel di seluruh dunia bagi membantah serangan maut rejim itu terhadap kapal-kapal yang membawa bantuan kemanusiaan ke Genting Gaza yang mengorbankan sekurang-kurangnya 16 aktivis dan mencederakan lebih 30 yang lain.

Sementara itu, Perdana Menteri Hamas, Ismail Haniyeh dalam satu kenyatan di Gaza mengecam seranga tersebut dan turut meminta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melindungi aktivis kemanusiaan mengikuti konvoi bantuan kemanusiaan itu.

“Kami menghubungi rakan-rakan di Timur Tengah untuk mendapatkan perkembangan terkini berhubung serangan ganas itu,” ujar Nasharudin.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bachok turut menggesa PAS kawasan dan cawangan seluruh negara mengadakan solat hajat dan membaca qunut nazilah memohon kepada Allah agar situasi yang berlaku itu selesai secara aman dan melindungi anggota rombongan kemanusiaan ke Gaza itu.

Menurutnya, apa yang berlaku itu membuktikan bahawa keganasan zionis Yahudi tidak pernah padam terhadap umat Islam.

Beliau juga menyeru seluruh rakyat Malaysia agar melakukan sesuatu yang perlu bagi memastikan kekejaman dan kezaliman tentera rejim zionis Yahudi itu mendapat pembalasan yang setimpal.

Sementara itu, Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pula mengecam keras tindakan rejim haram Israel menyerang konvoi tersebut.

Menututnya, tindakan biadap dan kejam itu diharap membuka mata pemimpin dunia khususnya Amerika dan sekutunya di Barat.

PAS, tegasnya melihat tindakan tidak bermoral itu mencerminkan sikap angkuh rejim Yahudi kerana adanya Amerika dan negara Barat yang sentiasa melindunginya.

Sehubungan itu, beliau menggesa seluruh negara Islam memutuskan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan rejim tersebut.

Katanya, tindakan kerajaan menggunakan APCO juga mesti ditentang dan PAS mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membatalkan segera perjanjian itu.

“PAS memohon seluruh ahli mengadakan solat hajat seluruh negara dan membaca qunut nazilah agar Allah menghancurkan Yahudi laknatullah dan memelihara semua anggota konvoi.

“PAS juga merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa kekejaman Yahudi, semoga gugurnya para pejuang ini menyemarakkan usaha membebaskan saudara kita di Gaza,” ujarnya.

Tuesday, May 25, 2010

Presiden PAS hadiri sidang ulama antarabangsa di Turki



KUALA LUMPUR, 25 Mei - Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang malam tadi berlepas ke Istanbul, Turki bagi menghadiri persidangan ulama antarabangsa.


Beliau akan menghadiri dua persidangan pada 29 Mei ini iaitu persidangan ekonomi antarabangsa dan persidangan ulama yang dipengerusikan oleh Dr Yusuf Qaradawi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang dijangka membentangkan kertas kerja berkaitan krisis ekonomi yang melanda dunia dan penyelesaiannya di kalangan dunia Islam.


Pada Mei tahun lepas, Abdul Hadi telah menghadiri Kongres Antarabangsa Komuniti Muslim ke-18 (18th International Congress of Muslim Communities) yang dianjurkan oleh Ekonomik ve Sosyal Arastirmalar Merkezi (Pusat Kajian Ekonomi dan Sosial – ESAM) juga di Istanbul.


Beliau diberi peluang menyampaikan ucapan dalam sesi protokol, bersama dengan Presiden Saadat Party, Prof Dr Numan Kurtulmus dan mantan Presiden Afghanistan, Prof Dr Burhanuddin Rabbani.


Judi bola: Pemuda PAS cabar Perkasa debat terbuka


KUALA LUMPUR, 25 Mei: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) mencabar Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) berdebat secara terbuka mengenai isu lesen judi bola sepak Piala Dunia 2010 yang diluluskan oleh Kerajaan Umno BN.

Ketuanya, Nasrudin Hassan (gambar) berkata, tajuk yang dicadangkan ialah ‘Kemungkaran Judi Bertambah Dalam Negara: Tanggungjawab Siapa?’.

Beliau berkata, DPPP bersiap sedia untuk berdebat dengan Perkasa dan menyerahkan kepada mereka untuk menentukan tempat dan tarikh asalkan tidak melibatkan tarikh muktamar PAS pada Jun ini.

"Saya cabar Perkasa untuk mengatur satu sesi debat perdana secara terbuka antara Perkasa dengan Dewan Pemuda PAS.

"DPPP bersedia di stadium mana, padang atau dewan mana. Tarikh, DPPP serahkan kepada Perkasa asalkan jangan jatuh pada hari PAS melangsungkan muktamar tahunannya pada 9 hingga 13 Jun ini," katanya dalam satu khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Harakahdaily.

Perkasa yang dipengerusikan Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali sebelum ini mencabar DPPP mendesak Pakatan Rakyat menghapuskan lesen judi di negeri yang ditadbirnya.

Bagaimanapun, DPPP berkata, soal pemberian dan kelulusan lesen judi adalah di bawah bidang kuasa kerajaan Pusat menerusi Kementerian Kewangan.

DPPP, ujarnya terus konsisten membantah tindakan kerajaan meluluskan lesen judi bola sepak Piala Dunia yang akan bermula Jun ini.

Sehubungan itu, DPPP akan mengadakan himpunan besar-besaran bagi membantah tindakan itu.

Satu memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong juga akan diserahkan pada himpunan tersebut.

Jumaat lepas, DPP setiap negeri mengadakan bantahan di negeri masing-masing selepas solat Jumaat sebagai protes terhadap kerajaan yang meluluskan judi bola sepak itu.


Sumber: HarakahDaily


Friday, May 14, 2010

Bantah judi dan Pitbull, seorang peserta himpunan ditahan

Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 14 Mei: Perhimpunan aman bagi mebantah tindakan kerajaan meluluskan lesen judi bolasepak dan konsert 12 jam Pitbull di Masjid Jamek Kg. Baru sebentar tadi menyaksikan seorang peserta ditangkap.

Pemuda yang belum dapat dipastikan namanya itu ditahan polis ketika cuba mempertahankan pembesar suara yang diguna penganjur dari dirampas.

Terdahulu, himpunan anjuran Dewan Pemuda PAS itu diarah bersurai oleh pihak polis sejurus beberapa peminpin pemuda sempat berucap.

Namun selepas perbincangan, penganjur hanya dibenarkan berhimpun selama lima minit oleh polis.

Belum sempat menyambung ucapan, polis didakwa menyerbu dan merampas pembesar suara sehingga berlaku pergelutan.

Difahamkan pemuda tersebut kemudiannya dilepaskan dan perhimpunan kini bersurai.


Sumber: HarakahDaily

Monday, May 10, 2010

Sabah : Gejala maksiat remaja meruncing?

GEJALA maksiat di kalangan remaja perempuan dan lelaki yang membabitkan penuntut-penuntut beragama Islam di beberapa buah sekolah menengah daerah Sandakan, termasuk orang dewasa semakin meruncing.

Perbuatan mereka ini bukan sekadar menjatuhkan maruah dan martabat Islam, bahkan telah mencemarkan nama baik kesucian Agama Islam.

Terdapat beberapa taman peranginan yang telah dikenal pasti dan dicap sebagai tumpuan sarang maksiat tempat mereka melakukan zina dan sebagainya dengan pasangan masing-masing di siang hari mahupun sebelah malam.

Antaranya ialah Taman Chong Thien Vun Bukit Bendera, Taman Peranginan Indah Jaya, Taman Grand View, Taman Tun Razak, Tembok Jalan Pantai termasuk Taman Tangga Seribu,” kata Hj Awang Japar @ Omar Naib Ketua Bahagian USIA Sandakan.

“Yang menghairankan, kenapa para ibubapa mereka begitu mudah melepaskan anak-anak gadis mereka bekeliaran pada siang dan malam hari tanpa rasa bimbang kalau anak-anak gadis mereka diapa-apakan seperti dirogol dan diperkosa oleh lelaki yang tidak bertanggungjawab,” kata Hj Awang yang kecewa dengan sikap ibu bapa yang gagal mendidik anak mereka sehingga terjemak dengan amalan yang kurang sihat.

Kata Haji Awang, beliau malu dengan bangsa lain yang tidak seagama dengannya, sewaktu mereka melakukan perkara yang tidak senonoh secara terang-terang tanpa berselindung bercumbu-cumbuan di khalayak ramai seperti yang terdapat di tembok Jalan Pantai sekarang ini.

“Boleh dikatakan saban petang dan saban malam mereka tidak lagi mengenal mahgrib mahupun malam jumaat mereka melakukan maksiat dengan sewenang-wenangnya sahaja tanpa rasa segan silu dengan perpakaian menutup aurat bertudung kepala pula tetapi perangai masha Allah, Nahuzubllah Minzalik,” ujar Hj Awang lagi.

Sesiapa sahaja tidak dapat menafikan sambung Hj Awang kerana Daerah Sandakan kini seolah-olah seperti negara barat terutama apabila anak-anak gadis remaja berpakaian menjolok mata, dedah sana, dedah sini sehingga mengghairahkan lelaki apabila melihat cara mereka berpakaian itu.

Sebagai hamba Allah dan umat Islam, Haji Awang saya mengecam dan mengutuk perbuatan di kalangan remaja Islam yang telah mencemarkan nama baik dan kesucian Agamah Islam

Kata Hj Awang lagi, adalah mustahil pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah (JHEAINS) Sandakan tidak mengetahui langsung atau sengaja membuta tuli tentang hal ini, sedangkan salah satu tempat dan lubuk terbesar di mana tempat para remaja melakukan maksiat terang-terang di hadapan mata iaitu di tembok sepanjang jalan pantai, dan termasuk di lorong-lorong belakang bangunan Gentingmas Mall di pusat bandar ini.

Katanya lagi, bagi para remaja lelaki yang tergolong daripada anak orang berada, mereka membawa pasangan masing-masing untuk melakukan zina di hotel-hotel berhampiran.

Sementara itu, kata Hj Awang lagi, bagi remaja lelaki golongan miskin yang tidak berkemampuan menyewa hotel atau rumah tumpangan mereka juga berpeluang membawa pasangan masing-masing di tepi-tepi hutan belukar yang beralaskan surat khabar di taman-taman bunga berhampiran.

“Masyarakat Islam di daerah ini sering bertanya-tanya dan ingin tahu dengan terperinci apa kah fungsi-fungsi sebenar jabatan agama khususnya JHEAINS itu, bukankah JHEAINS kini mempunyai anggota unit penguatkuasa pencegah maksiat, mana sudah perginya semua unit-unit itu? Persoalan sebegini yang sering diluahkan oleh masyarakat Islam setempat di sini,” jelasnya

“Hampir 90 peratus perbuatan maksiat di daerah ini adalah melibatkan kalangan remaja Islam seperti yang saya katakan awal-awal tadi, mereka melakukan perbuatan yang terkutuk ini di khalayak ramai mereka tidak malu dengan orang yang ada disekeliling mereka,” tegas Haji Awang lagi.

Dalam hal ini, kata Haji Awang, beliau tidak boleh menyalahkan ibubapa semata-mata kerana anak-anak perempuan mereka yang masih belajar di sekolah menengah cukup bijak menipu ibupaba mereka

Misalnya, kalau anak-anak gadis mereka yang hendak berjumpa dengan teman lelaki di satu-satu tempat, mereka beri alasan kepada kedua ibubapa kononnya pergi ke Perpustakaan untuk ulang kaji pelajaran. Sebenarnya ini satu tipu muslihat sahaja yang sebenarnya mereka pergi ke taman-taman berasmara dengan pasangan masing-masing.

“Saya berani mengatakan dalam empat buah taman yang telah dikenal pasti sebagai tumpuan sarang maksiat kalau dihitung air mani mereka yang bertaburan di taman-taman tersebut, kalau dikumpul mungkin ada empat baldi dalam satu malam,” jelas Hj Awang yang jengkel dengan sikap remaja Islam.

Ini terbukti kata Hj Awang, para pekerja yang menjaga taman-taman tersebut saban hari marah dan melenting akibat perbuatan para remaja yang melakukan zina di kawasan-kawasan taman tersebut kerana bukan saja kondom-kondom yang bertaburan, bahkan termasuk kertas-kertas tisu bertaburan di sana sini

Dalam konteks ini para ibubapa harus memainkan peranan penting mendidik anak-anak gadis mereka jangan terlalu memanjakan sangat, didik mereka dengan sempurna dalam pendidikan agama dengan secukupnya agar mereka tidak mudah terjebak perkara-perkara yang dimurkai oleh Allah.

“Pastikan ke mana arah tuju anak-anak kita sebab mereka adalah aset kepada negara, bagi mereka yang berakhlak mulia mereka pasti di suatu hari nanti kelak akan menjadi dan bakal mengganti pemimpin negara yang ada sekarang,” tegas Haji Awang.

Sementara itu, Hj Awang menegaskan, jika kakitangan JHEAINS tidak mencukupi untuk Menguatkuasa Undang-Undang atau Mencegah Maksiat, jabatan tersebut boleh melantik beberapa orang yang berkebolehan untuk menjadi anggota unit tersebut secara sambilan untuk membantu memantau dan membanteras gejala ini.

Kata Hj Awang lagi, pihak JHEAINS hanya aktif dan sibuk membuat tangkapan di sana sini hanya musim bulan Ramadan sahaja itu memang tidak dapat dinafikan contohnya makan di khalayak ramai, berkalwat, perjudian itu saja lepas hari raya lenyap begitu saja.

Oleh: SHAIMON S JUMADI (sabahkini)


Sumber: http://www.sabahdaily.com/


Saturday, May 8, 2010

UMNO MAHU JADIKAN MALAYSIA SERAMBI LAS VEGAS

KENYATAAN MEDIA
UMNO MAHU JADIKAN MALAYSIA SERAMBI LAS VEGAS

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kesal dengan tindakan pemimpin Umno melalui Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussein yang mahu menimbangkan sekali lagi cadangan meluluskan lesen judi Bolapsepak Piala Dunia 2010.


Hal ini sudah jelas mendapat tentangan rakyat sejak cadangan pertamanya tahun lepas. Namun kali ini ia berbangkit lagi dengan alasan bahawa kerajaan gagal membanteras aktiviti sindiket perjudian haram. Alasan ini dengan sendirinya membuktikan kelemahan sistem pentadbiran dan penguatkuasaan kerajaan. Bila sudah gagal mereka keluarkan lesen untuk menghalalkan pula.


Kempen memerangi dadah masih diteruskan walaupun belum berjaya menghapuskan aktiviti pengedaran dan penagihan dadah. Dadah diistihar sebagai musuh negara. Kenapa selepas bertahun-tahun gagal membasmi dadah hingga ke akar umbi Kerajaan tidak mengeluarkan lesen pengedaran dadah pula.


Kerajaan kata dadah itu merosakan rakyat dan menjadi ancaman kepada negara kerana menyebabkan ketagihan serta dorongan melakukan jenayah. Apakah judi tidak memainkan peranan yang sama. Berapa ramai rakyat Malaysia yang jadi kaki judi mengabaikan keluarga mereka, malah ada yang sanggup jadi penjenayah untuk mendapatkan modal berjudi. Sepatutnya judi diistihar sebagai musuh utama negara juga.


Rakyat Kelatan khususnya pasti bersyukur dengan kekalahan Umno dan Awang Adek dalam pilihanraya lalu dinegeri itu. Jika beliau menang dan Umno rampas kerajaan Kelantan, pastilah beliau yang kononnya mahu diangkat menjadi Menteri Besar akan menjadikan Kelantan sebagai Negeri Serambi Las Vegas bukan lagi Serambi Mekah.


Disebabkan gagal di Kelantan beliau yang mendapat peluang jadi Menteri melalui ehsan Najib mahu jadikan Malaysia pula sebagai serambi Las Vegas. Tak dapat Kelantan, satu negara diperjudikannya.


Mungkin tindakan ini terdorong dek peluang yang dinikmati Singapura yang baru-baru ini mendapat suntikan pelaburan sebanyak USD 5.7 Bilion dari Las Vegas Sand Corp yang mahu membina sebuah Resort Perjudian mewah dinegara itu bagi menyaingi Genting Highland. Projek Marina Bay Sand itu dijangkakan mendatangkan pulangan USD 2 Bilion setahun dan menjadi antara sumber kewangan baru bagi Kerajaan Singapura.


Oleh itu, Awang Adek cuba menunjukan Malaysia lebih terbuka dari Singapura dengan harapan syarikat Perjudian antarabangsa berminat membuka resortnya di Malaysia pada masa akan datang. Krisis kewangan global menjadikan pemimpin Umno buta mata, dan sanggup mengambil apa sahaja peluang untuk mengaut keuntungan bagi membiayai projek-projek politik yang mereka janjikan kepada rakyat sejak PRU-12.


Tahun ini usia Umno 64 tahun, bermakna sudah lebih 64 tahun mereka bergelumang dengan perjudian. Di awal penubuhannya berbondong-bondong Ulama’ dan Ustaz-Ustazah keluar dari Umno menubuhkan PAS kerana kedegilan pemimpin Umno yang tekad menjadikan loteri kebajikan dan pelbagai jenis judi sebagai aktiviti ekonomi mereka hingga ke hari ini.


Hari ini Umno masih bersandarkan hasil judi untuk terus berdiri megah di PWTC. Lihat sahaja senarai pemegang saham dan ahli Lembaga Pengarah beberapa syarikat judi dalam negara. Malah, bila sebut pasal tokoh pelaburan judi dalam Umno rakyat akan terbayang wajah Setiausaha Agung Umno, Tengku Adnan Tengku Mansor.


PAS berharap agar rakyat membuka mata dan bangkit menolak dasar-dasar perjudian yang cuba dihalalkan Umno. PAS yakin, tanpa duit hasil judi, ekonomi negara ini mampu melangkah jauh ke hadapan.


Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat


Friday, May 7, 2010

Lagi Pembunuhan Oleh Polis Didedah?

SEORANG penduduk tempatan berbangsa Sungai, Liliyu Bin Suma, 72, semalam telah membuat dua laporan polis di Balai Polis Sandakan mengadu supaya polis di Malaysia tangkap dan dakwa anggota polis yang telah sesuka hati melepaskan tembakan menggunakan senjata api milik PDRM hingga menyebabkan kematian seorang anak lelakinya bernama Jalih Bin Liliyu (Mykad 760220-12-5991).

Dalam laporannya, diberi nombor daftar SDK/RPT/6639/2010 dan 6640/2010, Liliyu mendakwa pada 22 April 2010, lebih kurang jam 8 malam bertempat di batu 15 Jalan Labuk Sandakan, seorang anaknya bernama Jalih, telah mati akibat terkena tembakan di kepala.

Apabila ditanya mengapa dia mengambil masa begitu lama untuk membuat aduan kepada polis, bapa mangsa berkata dia dalam kebingungan dan tidak tahu apa yang wajib dilakukan.

“Saya bingung kerana nyawa seorang anak saya yang tidak berdosa telah menjadi korban hanya disebabkan dia lari kerana takut ditangkap polis sebab lesen memandunya mati.”

“Oleh kerana saudara saya, OKK Hassnar Haji MP Ebrahim baru sahaja sampai ke Sandakan, maka saya buat laporan polis sebagaimana dinasihatkan olehnya”

Bapa mangsa merasakan menembak mati anaknya hanya kerana enggan berhenti adalah keterlaluan.

Menurut OKK Hassnar, dia telah dimaklumkan tentang kejadian anggota polis menembak hingga mati Allahyarham Jalih sejak 23 April tetapi tidak ingin melibatkan diri berharap pihak polis akan bersikap telus dan jujur menyiasat serta mengambil tindakan terhadap penjenayah terbabit.

Dalam kejadian pada 22 April 2010 seramai 4 orang berada dalam sebuah kereta proton yang dipandu oleh mangsa. Setelah terkena tembakan di kepala kereta mangsa hilang kawalan dan terbabas seterusnya melanggar sebuah pokok mangga di batu 15 Jalan Labuk, Sandakan.

Rakan mangsa, Mohd Ardi Bin Awang yang duduk di hadapan mengalami cedera parah dan masih berada dalam Unit Rawatan Rapi Hospital Duchess Of Kent, Sandakan.

Sementara itu, dua lagi penumpang yang duduk di bahagian belakang berjaya melarikan diri. Bagaimanapun seorang daripada mereka telah berjaya diberkas polis dan kini telah dihantar ke penjara Sibuga, Sandakan.

Beberapa jam selepas disahkan mati, pihak hospital telah membenarkan jenazah mangsa dibawa pulang untuk pengkebumian. Menurut OKK Hassnar, ketika dimandikan, baru diketahui terdapat kesan tembakan peluru yang mengena di bahagian belakang kepala tembus ke bahagian hadapan mata mangsa.

Bapa simati yang turut diiring oleh OKK Hassnar ketika membuat dua laporan polisnya menuntut supaya PDRM mengambil tindakan terhadap Ketua Polis Daerah Sandakan dan Pegawai Pendakwa Jabatan Siasatan Jenayah Sandakan atas tuduhan cuba melindungi dan merahsiakan jenayah anggota polis yang bertanggungjawab melepaskan tembakan hingga menyebabkan kematian mangsa.

Bila ditanya mengapa dia menasihatkan bapa mangsa supaya membuat laporan polis terhadap Ketua Polis Daerah Sandakan, OKK Hassnar berkata;

“Membenarkan jenazah dibawa pulang untuk pengkebumian tanpa post mortem menampakkan ada elemen jenayah yang sengaja hendak dirahsiakan. Kalau Kabinet Malaysia bersetuju menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menyiasat kematian Aminulrasyid Amzah adalah wajar kematian Jalih Bin Liliyu akibat tembakan polis diberi layanan serupa,” ujar OKK Hassnar lagi.

Oleh: ZEILAH A (sabahkini)

Judi Bola: Perangi, bukan bagi lesen

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 7 Mei: Cadangan kerajaan untuk mengeluarkan lesen perjudian semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 dilihat "menghalalkan yang haram, demi keuntungan".

Pemuda PAS Wilayah dalam satu kenyataan memberitahu, alasan kerajaan untuk mengeluarkan lesen kerana pertaruhan haram tetap berlaku, tidak boleh diterima oleh rakyat negara ini.

"Rakyat mahu kerajaan mengharamkan judi dan memerangi industri haram ini hingga ke akar umbi.

"Sepatutnya kerajaan meningkatkan usaha membasminya bukan menghalalkannya untuk mendapatkan keuntungan," kata Timbalan Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Herman Samsudin.

Semalam Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussein dalam satu kenyataan memberitahu kerajaan sedang mempertimbang akan meluluskan lesen judi tersebut.

Beliau memberi alasan, jika kerajaan tidak mengeluarkan lesen kepada pihak yang memohon, aktiviti perjudian dan pertaruhan haram tetap berlaku tanpa kawalan dan pemantauan pihak berkuasa.

Negara Malaysia tambah Herman, tidak boleh disamakan dengan negara Israel yang bebas melakukan apa sahaja termasuk perjudian dan segala kemaksiatan.

Apatah lagi katanya, perjudian adalah haram bagi semua agama di negara ini.

"Tidak ada agama yang menghalalkan tabiat judi yang jelas merugikan kewangan rakyat dan negara," katanya.

Mengulas lanjut Herman berkata, rakyat tidak redha dengan kepimpinan yang ada kerana sanggup mencampur adukan hasil negara dengan sumber yang haram seperti judi dan arak.

Lebih memalukan katanya, apabila yang mahu meluluskan lesen ini adalah kalangan menteri-menteri yang beragama Islam.

Tindakan itu ujarnya dikhuatiri mengundang musibah dan kemurkaan dari Allah s.w.t.

"Menteri Agama dan ustaz-ustaz Umno begitu bangga menyebut didepan rakyat bahawa mereka mahu jadikan Malaysia ini sebagai, Baldhatun toyyibah warabbun ghafur atau negara yang makmur serta mendapat pengampunan dan keredhaan Allah.

"Tetapi dengan dasar dan cara pemerintahan sebegini negara ini akan terus mendapat kemurkaan Allah," tambahnya lagi.

Sehubungan itu beliau menyeru para Ulama, Majlis Fatwa serta rakyat keseluruhannya bangkit menentang tindakan kerajaan yang bertentangan dengan ajaran agama Islam ini.


Wednesday, May 5, 2010

Bekas Hakim India kagumi Nik Aziz

Mohd Nor Yahya

KOTA BHARU, 4 Mei: Kelainan Kelantan yang ditadbir seorang ulama, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berlandaskan dasar Membangun Bersama Islam turut menarik minat cendikiawan dari dunia luar termasuk bekas hakim dari India.

Hari ini, bekas Hakim Mahkamah Tinggi Chennai, Abdul Hadi Miran, 75 mengunjungi hormat Menteri Besar di pejabatnya, di sini.

Turut hadir anak beliau yang juga merupakan seorang peguam di Mahkamah Tinggi Chenai.

Menurut Abdul Hadi, impiannya untuk bersua muka dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz sudah lama dipendamkan dulu kerana ketika itu beliau masih bertugas.

Beliau berkata, peribadi Menteri Besar Kelantan sering menjadi bahan bualan masyarakat Islam di Chennai dan perkembangan di negeri ini turut diketahui masyarakat di sana.

“Saya merakamkan terima kasih di atas kesudian Tuan Guru menerima kunjungan kami. Kenangan ini akan dibawa pulang dan diceritakan kepada masyarakat di Chennai,” kata beliau.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz fasih bercakap dalam bahasa Urdu bersama Abdul Hadi.

Abdul Hadi juga melahirkan rasa kagum di atas kehidupan masyarakat di negeri ini yang berada dalam keadaan aman walaupun pelbagai bangsa dan agama.

Katanya, ia adalah satu cara yang diajar Islam iaitu berbuat baik terhadap sesama manusia.


Sumber: HarakahDaily