UMAT Islam Kinabatangan terubat setelah terbinanya Masjid Daerah yang telah dijanji dan dinantikan sekian lama. Masjid daerah yang dibina di atas bukit, di antara Pejabat Pentadbiran Daerah dan Hospital Kinabatangan itu telah menelan belanja RM 1.9 juta tidak termasuk kos pagar masjid yang baru didirikan.
“Namun seperti mengharapkan panas hingga ke petang rupanya hujan di tengahari, begitulah perumpamaan terhadap nasib umat Islam di Kinabatangan, apabila masjid yang dibina oleh Firuz Enterprise yang berasal dari Kudat terpaksa diterima dalam keadaan yang tidak sempurna. Tandas, pintu tandas, bekalan air yang terputus dan tersumbat, jubin yang pecah dan serba kekurangan masjid ditelan begitu sahaja,” ujar Mantan Ketua Daerah Kinabatangan, Haji Ahdah Haji Sulaiman ketika menghubungi Sabahkini.net.
Menurut Haji Ahdah, masjid yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah, Abdul Latif Kandok yang juga berasal dari Kudat telah beroperasi pada Ramadhan tahun lalu terpaksa diterima tanpa rela Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sabah (JHAEINS) Kinabatangan.
“Apa yang mendukacitakan, sudahlah masjid belum diserah secara rasmi kepada pengurusan JHAEINS, kawasan yang telah diwartakan untuk bangunan masjid sahaja dalam plan perancang Bandar telah dicerobohi dengan projek rumah kedai,” tegas Haji Ahdah lagi.
Kata Haji Ahdah lagi, tanah-tanah bukit masjid dikorek. Usaha ini ditentang penduduk Kinabatangan dan warga JHAEINS, namun ianya bagaikan anjing menyalak bukit dan jelas bukit terus dikorek dengan rakusnya.
Selepas hujan lebat dan banjir yang melanda Kinabatangan pertengahan januari lalu, kata Haji Ahdah menara masjid dilihat condong dan akan tumbang pada bila-bila masa kerana faundasinya tidak lagi stabil.
“Bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini, kanvas, zing dan palstik digunakan bagi mengelak hakisan dan menara tumbang ke arah masjid daerah yang diagungkan penduduk Kinabatangan itu,” ujar Haji Ahdah yang mempersoalkan, kenapa projek rumah kedai hendak didirikan di kawasan tersebut?
Tambahnya, masjid memerlukan tempat letak kereta yang luas untuk memberi keselesaan kepada jemaah menunaikan ibadat khususnya solat jumaat.
Tempat letak kereta yang sedia ada, kata Haji Ahdah, terlalu sempit dan tidak mencukupi serta jauh dengan jalan raya. Ini menjadikan Masjid Daerah agak terasing sedangkan masjid berada di tepi jalan raya.
“Agak menghairankan juga, masih terlalu banyak tanah kerajaan dalam pekan Kinabatangan yang tidak dibangunkan, kenapa kawasan masjid dan menaranya menjadi pertaruhan pihak Pejabat Daerah?,” tanya Haji Ahdah.
Haji Ahdah mempersoalkan di manakah keprihatinan Pengerusi Badan Dakwah, Abdul Latif Kandok terhadap sensitiviti tempat ibadah umat Islam seolah-olah Sabah masih dijajah Komunis? Ahli parlimen Kinabatangan, yang diberitakan beberapa kali turun kawasan, namun kenapa membiarkan sahaja isu ini?
“Inilah jiwa yang tidak bersalut iman akan mengutamakan kepentingan material melebihi maruah Islam dan penganutnya,” tegas Haji Ahdah yang kecewa kerana umat Islam semakin dizalimi di Sabah.
Oleh: OMAR QAYYUM (sabahkini)
No comments:
Post a Comment