Monday, January 31, 2011

Cikgu Mala digesa terus turun padang


LABIS, 31 Jan: PAS kawasan Labis khususnya calonnya di Tenang, Cikgu Normala Sudirman diseru supaya terus turun padang bagi memberikan khidmat terbaik untuk masyarakat walaupun kalah dalam pilihan raya kecil baru-baru ini.

"Asas yang sangat baik telah dibina untuk Dun Tenang. PAS kawasan Labis, khususnya Cikgu Mala mesti terus turun padang," kata Mazlan Aliman AJK PAS Pusat yang juga Ketua Penerangan jentera PAS di PRK Tenang.

Menurut beliau, PAS menghormati keputusan pengundi walaupun jelas sekali dalam pilihan raya ini sebagaimana biasa PAS bertanding melawan jentera kerajaan pusat dan negeri Johor bukannya BN dan Umno.

"Adalah jelas PAS bertanding melawan jentera kerajaan (Pusat dan Johor)," katanya.

Sebagai parti politik, katanya, Umno dan BN tiada kekuatan apa-apa.

"Projek segera jutaan ringgit, sogokan dan propaganda media pro BN telah digunakan sepenuhnya (dalam kempen mereka)," kata beliau.

Mazlan juga berjanji, Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan (Anak) pimpinan beliau akan terus memperkasa gerakkerja sesuai dengan mottonya menarajui perubahan.

Beliau juga, bagi pihak jentera penerangan PRK ini, mengucapkan ribuan terima kasih kepada pimpinan Pakatan Rakyat, petugas parti, dermawan, pengamal media dan sukarelawan yang datang dari seluruh negara bagi membantu jentera PAS dan Pakatan dalam pilihan raya kecil ini.

Sumber: HarakahDaily

Saturday, January 29, 2011

Jangan Sia-siakan Peluang Martabatkan Wanita dan Guru


LABIS, Jan 29: Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyeru pengundi-pengundi wanita dan guru di Tenang tidak mensia-siakan peluang bagi mengangkat martabat kaum hawa untuk menjadi jurubicara mereka di Dewan Undangan Negeri Johor.

“Pencalonan Cikgu Mala, seorang tokoh yang tegas dan mempunyai karisma sebagai pimpinan, serta pengorbanan beliau dalam meletakkan jawatan sebagai guru dan kehilangan segala pencen diharap akan menambah simpati pengundi kepada beliau,” kata Tuan Ibrahim dalam satu kenyataannya ke Harakahdaily hari ini.

Tuan Ibrahim, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berkata perkara yang menarik di pilihanraya kecil Tenang kali ini ialah kekalutan yang menimpa Wanita dan Puteri Umno yang dilihat kurang menyerlah apabila pemimpin yang diwar-warkan mereka, iaitu Ketua Wanita Umno Labis tidak dipilih sebagai calon.

“Wanita dan Puteri Umno kurang menyerlah, tidak sebagaimana kebiasaannya dalam PRK, hal ini banyak dikaitkan dengan kekecewaan Ketua Wanita Umno Labis tidak dicalonkan, sedangkan nama, gambar serta gempar-gempur beliau akan jadi calon telah diisytiharkan lebih awal, dan antara yang jelas kecewa ialah Ketua Wanita UMNO Sharizat Jalil,” ujar Tuan Ibrahim.

Profesyen perguruan juga agak tertinggal sejak kebelakangan ini terutama apabila golongan guru tidak lagi mendapat tempat dalam politik negara. Kalau dahulu guru menjadi tokoh pilihan untuk menjadi calon dalam Umnio, kini tidak lagi apabila ahli perniagaan pula yang mendapat tempat.

Di PRK Tenang, Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat sedang mencuba saranan terbarunya dalam memilih calon PRK iaitu “BN akan memilih calon yang boleh menang (winnable candidate) yang tidak semestinya yang mempunyai jawatan dalam parti” dengan memilih Mohd Azahar Ibrahim, bekas ADO Rengit yang tidak mempunyai sebarang jawatan dalam parti sebagai calonnya.

"OK itu tidak ada masalah tetapi yang akan menjadi masalah nanti adalah dalam menghadapi pilihan raya umum ke 13. Apakah faktor ini akan menjadi kriteria Najib?

"Andaikatalah Azahar benar-benar dibuktikan sebagai winnable candidate dalam pilihan raya kecil ini. Beliau mendapat undi yang besar bahkan lebih dari sasaran BN iaitu melebihi 5,000 undi majoriti.
"Apakah sebenarnya akan terjadi kepada kesemua pemegang jawatan dalam Umno sekarang di seluruh negara.

"Apakah mereka juga termasuk dalam senarai winnable candidate atau pimpinan Umno tidak lagi melihat mereka sebagai calon-calon yang berpotensi untuk menang,” tulis Zulkifli Sulong, Ketua Pengarang Harakahdaily di kolumnya dalam The Malaysian Insider.
Ada juga pemerhati politik yang berpendapat bahawa Umno-Barisan Nasional sedang melayan pengundi-pengundi di Tenang sebagai anak tiri berbanding dengan pilihanraya-pilihanraya kecil yang lain dengan jumlah wang yang ditaburkan jauh lebih sedikit dan ketiadaan janji-janji projek besar seperti kawasan lain.

Bahkan sepanjang kempen, Najib juga tidak berapa kelihatan di Tenang kerana yakin bahawa pengundi-pengundi yang marah di kubu kuat mereka tetap akan mengundi calon Barisan Nasional.
Berdasarkan pengamatan tersebut, Tuan Ibrahim menyeru pengundi di Tenang untuk membuat perubahan bagi menaikkan taraf mereka kepada status anak kandung Umno-Barisan Nasional dengan memberikan undi ke calon PAS bagi mencatatkan sejarah politik di Johor esok.

Tempoh berkempen bagi DUN Tenang akan berakhir jam 12 malam ini dan pengundi akan mula membuang undi bermula jam 8 pagi besok.

Sumber: HarakahDaily


Thursday, January 27, 2011

Mala Layak Jaga Bumi Allah bukan Johor saja


LABIS, 27 Jan: "Beliau (Cikgu Mala) nampak hebat dan layak untuk menjaga bumi Allah, bukan Johor (sahaja)," kata Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam ceramah pertamanya di Tenang malam tadi.

Nik Aziz mengaku beliau tidak mengenali calon PAS itu dari dekat namun kehebatan bekas guru itu jelas kelihatan, antaranya melalui laporan temuramahnya dengan akhbar.

"Cara dia menggunakan bahasa (dalam temuramah) nampak hebat," kata Nik Aziz dalam ceramahnya di Dataran Air Panas, Labis.

(GAMBAR: Nik Aziz serta Cikgu Mala mendengar dengan serius apa yang dinyatakan oleh seorang pemimpin tempatan ini)

Pengundi dan orang tempatan di Air Panas malam semalam ternanti-nanti untuk mendengar ceramah sulung Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sempena pilihan raya kecil DUN Tenang.

Cuaca lembab akibat hujan sepanjang hari semalam di daerah mengundi itu tidak menghalang orang ramai hadir mendengar ceramah yang diadakan di Dataran Air Panas.

Dalam ceramahnya, menteri besar Kelantan itu meminta pengundi memberikan sokongan penuh kepada calon PAS Normala Sudirman ketika pilihan raya 30 Januari ini.

Sebelum itu, Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa yang berkongsi pentas sama berkata, Normala mempunyai rekod yang cemerlang dan bukannya hanya calon yang "dikutip di tepi jalan".

Katanya, Normala yang lebih dikenali sebagai Cikgu Mala pernah dinobatkan sebagai guru cemerlang oleh Kementeri Pelajaran sendiri.

"(Guru cemerlang) bukan PAS yang bagi, bukan kerajaan Johor yang beri, yang bagi adalah Kementerian Pelajaran Malaysia, kerajaan pusat," katanya.

Antaranya yang hadir menyampaikan ceramah adalah Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar, ADUN PKR Simpang Pulai Chang Ming Kai dan peguam Hassan Karim.

Daripada 200 peserta yang hadir, kebanyakannya penduduk tempatan.

Suasana penuh warna-warni dengan adanya penyokong wanita yang menghampar tikar di bawah kanopi ceramah.
Malah ada berdiri di kiri dan kanan menghadap dataran dan kanopi itu.

Malah juga yang asyik mendengar ceramah daripada gerai bihun sup atau sambil membelek barang-barang di gerai-gerai jualan sepanjang Jalan Sawah Baru, lapor Malaysiakini.

Sebelum itu, Nik Aziz yang tiba dengan tongkatnya seperti biasa kira-kira jam 11.00 malam disambut dengan laungan takbir.

Kawasan yang becak akibat hujan sebelum itu menyebabkan beliau dibantu dua orang yang memegangnya dan menyuluh ke tanah untuk ke pentas ceramah.

Ketibaan beliau menyebabkan orang ramai yang pada mulanya tidak ramai berbondong-bondong merapati kanopi untuk mendengar ucapan dan menatapi wajah Nik Aziz dengan lebih jelas.

Bukan sahaja masyarakat Melayu, kelihatan juga pengundi kaum Cina.

Bagaimanapun, terdapat juga yang 'mengintainya' dari jauh, di atas motosikal dekat jalan raya, tanpa memasuki kawasan tersebut.

Sumber: HarakahDaily

Wednesday, January 26, 2011

Umno BN tak jangka dapat tentangan hebat


LABIS, 26 Jan: Umno BN tidak pernah menjangka akan mendapat tentangan hebat pada pilihan raya kecil (PRK) Dun Tenang, kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.

Ekoran itu, katanya Umno BN menggunakan isu yang remeh-temeh bagi menarik sokongan pengundi.

Menurutnya, berdasarkan tinjauan yang dibuat, tentangan yang dihadapi oleh Umno BN pada PRK Tenang adalah di luar jangkaan.

Ini, ujarnya kerana Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PAS, PKR dan DAP telah menunjukkan kerjasama yang erat menyebabkan Umno BN menggunakan politik perkauman dan kebencian semasa berkempen.

“Apabila pergi ke kawasan Cina, mereka kata DAP ikut telunjuk PAS, bika pergi ke kawasan Melayu, mereka kata PAS jadi tunggangan DAP,” ujarnya pada sidang media di Pusat Media PAS PRK Tenang di sini, pagi ini.

Tambahnya lagi, pemimpin Umno BN menggunakan politik kebencian itu di dalam kempen mereka sama ada secara senyap atau terbuka.

Justeru, beliau menyeru pemimpin Umno BN supaya menghentikan daripada terus menggunakan politik kebencian pada kempen PRK Tenang.

Mengenai isu pelaksanaan hukum hudud sebagaimana yang ditimbulkan oleh Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, beliau berkata ia menjadi keliru kerana tidak mendapat penjelasan yang sebenarnya mengenai undang-undang jenayah Islam.

Jelasnya, mana-mana negara yang mahu melaksanakan undang-undang tersebut mesti mempunyai prasyarat, antaranya wujud keadilan ekonomi.

Justeru, beliau menegaskan bahawa PAS tidak berganjak dengan dasarnya adalah Islam tetapi masalah hukum hudud bukanlah agenda Pakatan Rakyat.

Sumber: HarakahDaily


Tuesday, January 25, 2011

Tangan Cikgu Mala Menggoncang Ketenangan BN

Oleh : Nasrudin Hassan

1. Pertama kali saya menyampaikan ceramah di Felda Tenang bersama Cikgu Normala Sudirman, calon PAS mewakili Pakatan Rakyat di N 05 Tenang, saya tertarik dengan ucapan bertenaga dan menyakinkan dari Cikgu Mala dengan ungkapan " .... tangan yang menghayun buaian ini insyaallah akan menggoncangkan dunia ...."

2. Ternyata Cikgu Mala tidak perlu menunggu lama, hari kedua beliau turun berkempen sempena pilihanraya kecil N 05 Tenang ini sebagai calon pilihan, tangan beliau telah menggoncangkan ketenangan UMNO dan BN di Tenang. Kelam kabut sekutu rapat UMNO dalam BN iaitu MCA melalui Presidennya mempersoalkan kenapa Cikgu Mala tidak bersalam dengan lelaki ajnabi [ yang bukan mahramnya ]

3. Biasanya sesuatu isu ditimbulkan dalam musim pilihanraya kerana isu tersebut menggugat. bagi pihak PAS malah DAP dan PKR yang berkawan dengan PAS sangat maklum situasi ini. Sememangnya muslimat PAS tidak akan bersalaman dengan kaum lelaki yang halal nikah dengan mereka kerana ia adalah suatu larangan dalam agama Islam yang diperjuangkan oleh PAS. Namun ia dilihat asing oleh Presiden MCA.Mungkin berdua - duaan dengan pasangan yang tidak sah di dalam bilik hotel lalu melakukan hubungan sulit itu lebih bermoral dan normal bagi Presiden MCA berbanding sikap Cikgu Normala yang tidak bersalam dengan lelaki.

4. Tidak bersalaman oleh seorang perempuan yang teguh agamanya dengan seorang lelaki yang sah nikah dengannya bukanlah suatu perkara ganjil dalam negara ini yang majoriti penduduknya adalam muslim. Bahkan tidak sepatutnya ia menjadi isu. Justeru ia bukanlah satu tindakan yang boleh merosakkan kemesraan dan hubungan dengan masyarakat. Sebaliknya masih banyak elemen lain yang lebih penting untuk membentuk kemesraan dan hubungan dengan masyarakat tanpa "salam tangan" antara lelaki dan perempuan seperti ziarah, kebajikan, bertanya khabar dan lain - lain.

5. Sungguhpun tanpa "salam tangan", calon pilihan ini tidak menang tangan dan senyuman untuk bertemu dengan pelbagai lapisan masyarakat tanpa pula mengira latar belakang kaum dan jantina. Lebih menarik apabila masyarakat menilai bahawa Cikgu Mala adalah seorang yang teguh peribadi dan berprinsip sementara itulah kriteria seorang pemimpin yang diperlukan oleh rakyat.

6. DAP dan PKR cepat memahami situasi ini lantas mengambil langkah mempertahankan tindakan Cikgu Mala malah sangat menghormatinya apabila mengetahui bahawa ini adalah prinsip agama. Sedang prinsip agama inilah menjadikan PAS sebuah parti yang teguh dan berdisiplin. Malang MCA gagal pula memahami situasi ini biarpun sekian lama berselimut dengan UMNO di dalam BN.

7. Jawapan mudahnya kerana MCA tidak melihat prinsip ini wujud di dalam UMNO. Pemimpin wanita mereka bukan sahaja boleh bersalaman sesuka hati malah boleh berlaga pipi, boleh berpelukan dan sebagainya. Akhirnya Presiden MCA sendiri keliru angkara UMNO yang tidak mempertahankan prinsip beragama. Inilah fitnah besar dari kegagalan UMNO menjalani kehidupan sebagai sebuah parti yang patuh pada suruhan agama .

8. Selama ini UMNO berhujjah kononnya DAP anti Islam, kafir harbi dan macam - macam tuduhan lalu mempersoalkan kenapa PAS bekerjasama dengan DAP ? Kini Allah swt mendedahkan siapa pula MCA di sisi UMNO ? secara terbuka kini MCA melalui Presidennya menghina Islam dan mempersendakan ummat Islam yang beramal dan berpegang teguh dengan amalan Islam itu. Sementara DAP pula semakin hari semakin lunak dan memahami asas Islam yang diperjuangkan oleh PAS.

9. Terbaru melalui perubahan sikap yang ditunjukkan oleh Pengerusi DAP karpal Sigh mengenai negara Islam yang ditentang oleh beliau sejak dulu. Beliau tidak lagi keras menolak negara Islam seperti dulu sebaliknya menganggap isu ini boleh dibincangkan. Ia satu perkembangan yang positif berbanding sikap MCA yang terus kekal dalam kejahilan sejak lama dulu sehingga sekarang.

10. Saya ucapkan syabas kepada Cikgu Mala dan mengharapkan beliau terus thabat [teguh] pendirian dan usah gundah dengan provokasi musuh. Allah bersama dengan insan yang sabar menghadapi ujian perjuangan ini. Ubah sekarang Selamatkan Malaysia !

Murnikan Perjuangan Maknakan Kemenangan

Nasrudin bin Hassan
* Penulis adalah Ketua Pemuda PAS Pusat

Sumber: HarakahDaily

Saturday, January 22, 2011

Cikgu Mala sedia bawa suara rakyat ke Dun Johor


LABIS, 22 Jan: Calon PAS pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Tenang, Normala Sudirman berazam untuk membawa suara wanita ke Dun Johor dan mengajak para guru untuk membuat perubahan.

Normala yang lebih mesra dengan panggilan Cikgu Mala yakin pengundi di Tenang sudah berani membuat perubahan dengan memberi undi kepadanya seterusnya menambahkan kerusi Pakatan Rakyat di Dun Johor.

"Saya yakin pengundi mampu dan berani membuat anjakan paradigma dan sebenarnya pencalonan ini satu pengiktirafan yang diberikan kepada golongan wanita khususnya dan mewakili seluruh golongan pendidik di Malaysia.

"30 Januari ini pengundi di Dun Tenang akan membuat satu kejutan dan perubahan demi kelangsungan masa depan anak bangsa dan membawa permasalahan mereka ke Dun Johor dan menjadikan tujuh kerusi untuk Pakatan Rakyat di Dun Johor," kata beliau pada sidang media selepas selesai proses penamaan calon di Dewan Majlis Daerah Labis, dekat sini hari ini.

Normala juga berkata, beliau sudah bersedia untuk memikul amanah dalam memberikan khidmat kepada rakyat khusunya di Dun Tenang.

"Alhamdulillah, Allah bagi satu keberanian untuk saya membuat satu perubahan kerana saya telah iltizamkan dalam diri saya perjuangan ini untuk mencari keredhaan Allah," katanya tenang.

Justeru, bekas guru itu menyerahkan kepada pengundi untuk membuat pilihan terbaik pada 30 Januari nanti.

"Saya sangat optimis dan berkeyakinan mandat itu akan diberikan dan saya percaya pengundi di Dun Tenang mampu membuat pilihan terbaik.

"Pengundi sudah bijak untuk membuat pilihan dan saya serahkan kepada mereka pada 30 Januari ini," katanya.

Turut bersama pada sidang media itu, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Sumber: HarakahDaily

Gambar Sekitar Penamaan Calon PRK Dun Tenang







Thursday, January 20, 2011

Pengundi Tenang diajak tinggalkan Umno BN

KOTA BHARU, 20 Jan: Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mengajak pengundi Tenang meninggalkan Umno dan BN pada pilihan raya kecil Dun itu 30 Januari ini.

Menurutnya, walaupun Johor adalah kubu Umno, namun tidak bererti perubahan tidak boleh dilakukan demi untuk perjuangan Islam.

Katanya, sewaktu PAS bergabung dengan Umno lagi negeri itu telah kuat dengan parti itu sehinggakan tidak memberi peluang pada calon PAS untuk bertanding sedangkan negeri lain dibenarkan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di pejabatnya kelmarin ketika ketika diminta mengulas pilihan raya kecil Dun berkenaan.

Beliau yang akan turun ke Tenang bagi membantu calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat, Normala Sudirman seterusnya berkata, Saidina Omar yang terkenal dengan berangnya memusuhi Islam akhirnya menerima Islam dengan kehendak Allah.

“Begitu juga Panglima Perang, Khalid Ibni Walid, juga menerima Islam dengan kehendak Allah, jadi tidak mustahil pengundi Dun Tenang akan melakukan perubahan,” ujarnya.

Kerana itu, sambungnya pengundi diminta mengundi calon Pakatan di Tenang dan meninggalkan Umno.

Sehubungan itu, Tuan Guru turut memaklumkan beliau akan berkempen bagi membantu calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat sebaik sahaja selepas penamaan calon.

Menurutnya, beliau akan membawa kebenaran perjuangan Islam sebagaimana yang terkandung dalam al-Quran 30 juzuk.

“Saya akan bawa di sana Islam al-Quran 30 juzuk dan gurunya Rasulullah s.a.w., yang membawa kebenaran itu.

Sumber: HarakahDaily


Normala Dapat Sokongan Akar Umbi


PAS meletakkan calon wanita dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Tenang kerana mendapati wujudnya keperluan untuk membawa suara wanita di negeri Johor.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira pandangan PAS Johor mengenai keperluan meletakkan calon wanita dan ianya mendapat sokongan akar umbi parti.

"Ini keperluan bagi negeri Johor dan kita melihat pandangan PAS Johor dan kita melihat golongan wanita juga adalah pengundi, bukan sahaja lelaki. Jadi mereka juga perlu suara di Dewan Rakyat dan Dun.

"Kita lakukan kaji selidik di peringkat bawah dan kita dapati calon kita mendapat sokongan akar umbi parti di samping mempunyai pengaruh kerana pernah berkhidmat di kawasan Dun Tenang," kata beliau dalam sidang media selepas mengumumkan calon PAS di Dataran Wayang Pacak, dekat sini malam tadi.

Normala Sudirman, 38, (gambar) dipilih sebagai calon mewakili Pakatan Rakyat untuk bertanding di Dun Tenang, 30 Januari ini.

Berucap dalam majlis pengisytiharan calon sebelum itu, Abdul Hadi berkata, PAS memilih Normala sebagai calon kerana yakin dengan kemampuan beliau berkhidmat kepada masyarakat di kawasan tersebut selain kesungguhan yang ditunjukkan untuk berkhidmat kepada parti.

"Puan Normala tak minta jadi calon tapi kami (PAS) yang minta beliau jadi calon.

"Beliau telah meletakkan jawatan bukan kerana nak jadi calon tapi letak jawatan guru kerana nak aktif sepenuhnya dalam parti dan masyarakat.

"Ini merupakan kesungguhan beliau untuk bersama dalam perjuangan," katanya di hadapan lebih 1,000 rakyat yang hadir bagi mengetahui siapakah calon yang dipilih PAS.

Abdul Hadi juga berkata, ini bukan kali pertama PAS meletakkan wanita sebagai calon setelah mendapati sejarah pemerintahan Islam sendiri mengiktiraf wanita sebagai pemimpin.

"Mengapa PAS pilih calon wanita? Sejarah Islam menunjukkan permulaan membina negara pada awal 1470 tahun dulu.

"Apabila Nabi Muhammad s.a.w mengajak pemimpin-pemimpin Aus dan Khazraj yang datang dari Madinah untuk mengadakan bai'ah janji setia bagi menguatkan sebuah pemerintahan yang adil, di antara yang diminta melafazkan janji setia ialah dua orang wanita.

Menurutnya juga, dalam al-Quran sendiri ada menyebut hak wanita untuk terlibat dalam urusan pemerintahan negara.

"Islam telah memulakannya seribu tahun dahulu. Kalau kita membaca sejarah, penglibatan dalam menegur dan menasihati pemerintah bukan sahaja melibatkan lelaki tapi juga wanita.

"Apabila khalifah Umar Al-Khatab menyampaikan ucapan yang dipandang oleh wanita sebagai ucapan yang memperkecilkan mereka, seorang wanita bangun di dalam majlis dan menegur Umar.

"Allah bagi hak kepada wanita di dalam al-Quran tetapi berani ketua negara membatalkan hak menyebabkan Umar menarik balik apa yang diucapkan," katanya.

Katanya, PAS juga pernah menghantar calon wanita pertama ke Parlimen, Khatijah Sidek pada tahun 1960.

"Dalam sejarah PAS, PAS telah menghantar ahli Parlimen yang pertama selepas merdeka pada tahun 1960 dan berjaya memenangkan calon ketua muslimat, Khatijah Sidek. Jadi ini bukan kali pertama kita letak calon muslimat," katanya yang juga ahli Parlimen Marang.

Sementara itu, beliau juga menyeru seluruh petugas Pakatan Rakyat agar bertugas dengan berhemah sepanjang proses pilihan raya berlangsung dan tidak terpengaruh dengab sebarang provokasi pihak lawan.

"Dalam menghadapi pilihan raya Dun Tenang, saya menyeru kepada petugas Pakatan Rakyat supaya bekerja dengan tenang, jangan gelojoh, jangan melampau, menjaga keamanan, menjaga ketenteraman dan menjaga perturan pilihan raya dengan baik," katanya.

Tambahnya, Pakatan Rakyat perlu menerima hakikat bahawa pilihan raya sering kali berlangsung dalam suasan yang tidak adil, dengan Umno BN mendapat segala kelebihan untuk berkempen.

"Bukan senang nak menang kerana kita menghadapi pilihan raya dalam lapangan yang tidak sama rata. BN akan guna media perdana, stesen televisyen, radio untuk berkempen ke setiap rumah.

"Ini pilihan raya yang berbeza dengan amalan demokrasi moden dan pilihan raya yang tidak adil. Kita diberi peluang yang terhad, ceramah yang terhad dan penerangan yang terhad," katanya.

Namun beliau meminta petugas parti tidak cepat berputus asa kerana Pakatan Rakyat sudah beberapa kali menang dalam siri pilihan raya kecil sebelum ini.

"Jangan risau kerana kita telah buktikan kita boleh menang dalam beberapa pilihan raya kecil sebelum ini dan kita percaya kita boleh lakukan kali ini," katanya.

Sumber: HarakahDaily