Monday, November 1, 2010

Kajian dapati Pengundi Muda Sokong PAS di Galas


GUA MUSANG, 1 Nov: Kebanyakan pengundi muda yang ditemubual menerusi panggilan telefon oleh sebuah badan penyelidikan bebas berkata mereka akan mengundi PAS dalam pilihanraya kecil DUN Galas yang akan berlangsung 4 November ini.



Dapatan ini dikeluarkan oleh badan penyelidikan bebas Ilham Centre, yang sentiasa mengikuti perkembangan pilihanraya-pilihanraya kecil selepas pilihanraya umum ke 12 yang lalu.

“Kami membuat panggilan telefon semalam dan hari ini kepada 2150 pengundi muda dalam kawasan DUN Galas dan 320 melayan dengan baik dan member I kerjasama,” kata Pengarah Eksekutif Ilham, Muhamad Hisommudin Bakar di sini petang ini.

Mereka yang ditelefon mewakili semua daerah-daerah mengundi di Galas dan berumur antara 21 hingga 40 tahun.

Daripada jumlah itu beliau berkata 168 responden mengaku akan mengundi calon PAS, 41 akan mengundi calon BN manakala 112 lagi belum membuat keputusan.

Ilham turut mengadakan kajian lapangan dalam tempoh kempen pilihanraya kecil ini dengan menurunkan 50 pembanci dan satu gambaran menyeluruh akan dikeluarkan kepada pihak media sebelum hari mengundi.

Sejak pilihan raya kecil Kuala Terengganu, Ilham telah membuat kajian lapangan menjelang sesuatu pilihan raya kecil.

Sehingga kini, kesemua hasil kajian Ilham adalah tepat dengan keputusan pilihan raya sebenarnya termasuk yang terakhir di Bgan Pinang di mana sejak dari awal lagi kajian Ilham menunjukkan sokongan terhadap PAS lemah di kawasan pilihan raya itu.

Sumber: HarakahDaily

Monday, October 25, 2010

Isu Tanah: Umno BN Mesti ditumbangkan

SANDAKAN, 25 Okt: Kekejaman dan ketidakadilan dalam urus tadbir tanah di Sabah menjadi satu bukti kukuh mengapa Umno dan Barisan Nasional (BN) mesti ditumbangkan.

Umno BN yang menjanjikan "Sabah Baru" dan membawa perubahan dalam tempoh 100 hari melalui manifesto yang mereka canangkan pada pilihanraya lalu berubah menjadi mimpi ngeri yang tidak pernah dibayangkan oleh rakyat di negeri ini.

Rumah penduduk pribumi dibakar, kampung halaman dimusnahkan dan tanah yang telah diusahakan puluhan tahun dirampas.

Inilah menjadi sebab utama Himpunan Isu Tanah Rakyat Sabah (HEMPAS) berjaya menarik ribuan rakyat Sabah hadir di Dewan Hakka Sandakan, semalam.

Program yang dianjurkan oleh Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat dan Badan Perhubungan PAS Sabah telah dirasmikan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

“Mengikut Islam, kerajaan adalah pemegang amanah bukan pemilik tanah kerana dalam Islam yang memiliki tanah hanya Allah SWT ,” katanya dalam ucapan perasmian.

Menurutnya, di dalam Islam, barangsiapa yang meneroka, membuka tanah, sama ada mendirikan rumah kediaman, kedai atau bercucuk tanam, maka wajib kerajaan memberikan geran tanah kepada mereka.

Kecuali, katanya kalau ada kepentingan umum seperti mahu dibina jalan raya atau membina hospital dan sebagainya, maka bolehlah ianya diambil dan digantikan dengan yang tanah lain atau nilai yang setimpal.

“PAS akan melaksana hukum ini dan meminta parti parti lain dalam Pakatan Rakyat mengikut hukum ini jikalau dapat memerintah negara kelak,” ujarnya.

AJK PAS Pusat yang juga Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat, Mazlan Aliman pula berkata: Kita berhimpun pada hari ini untuk menyalurkan maklumat dan memberi kesedaran kepada rakyat Sabah agar bangun berjuang untuk menuntut hak dan membuktikan komitmen PAS dan Pakatan Rakyat dalam membela nasib rakyat Sabah dalam menuntut hak dan keadilan buat semua yang telah teraniaya”.

Katanya, jkalau majoriti rakyat Sabah berani untuk berjuang, kerajaan yang zalim akan dapat ditumbangkan dalam pilihan raya umum ke-13 nanti.

Tambahnya lagi, Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman yang menjangkakan himpunan itu tidak akan berjaya dan kononnya hanya akan dihadiri sekitar 200 orang.

“Rakyat Sabah buktikan sebaliknya dengan kehadiran memeranjatkan dari seluruh Sabah sebagai tanda sokongan dan perjuangan mereka menentang kerajaan yang zalim,” ujarnya.

Dari Sandakan hingga ke Nabawan, dari Tawau hingga ke Pensiangan, penduduk pribumi diperlakukan seperti makhluk yang tiada nilai dan status kemanusiaan.

Di Sandakan, Kampung BDC yang diasaskan oleh Pertubuhan Islam (USIA) yang dahulunya dipenuhi hutan paya bakau akhirnya berkembang menjadi sebuah penempatan penduduk pribumi dengan keluasan melebihi 100 ekar dengan jumlah penduduk dianggarkan tidak kurang 20,000 orang telah dimusnahkan sekelip mata oleh kerajaan Umno BN pada tahun 2002.

Tanah yang telah diusahakan berpuluh tahun sejak tahun 80-an di Ulu Landau dan Cenderamata Merotai Tawau dirampas pada awal tahun ini.

Turut dimusnahkan ialah Kg Lupak Meluas, Kg Sundang, Kg Gas, Kg Koyah di Kinabatangan, perkampungan penduduk pribumi di Semporna, Kunak, Lahad Datu, Beluran, Ranau, Kg Labuan dan Kg Wakap di Kota Belud, Kg Bakau dan Kg Telipok di Kota Kinabalu.

Ini merupakan sebahagian kes yang pernah berlaku di Sabah.

Sehubungan itu, perhimpunan itu telah mencatatkan sejarah yang gemilang dan berjaya membuka mata rakyat Sabah diharap dapat menjadi senjata ampuh dalam menghadapi pilihan raya kecil Batu Sapi pada 4 November nanti dan pilihanraya umum ke-13 yang akan datang.

Sumber : HarakahDaily

Friday, October 22, 2010

Dr Zulkefli Calon PAS di Galas

GUA MUSANG, 21 Okt: Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Gua Musang, Dr Zulkefli Mohamad diumumkan sebagai calon PAS mewakili Pakatan Rakyat bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) N.45 Dun Galas.

Pengumuman itu dibuat Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada majlis pengisytiharan calon di Dataran Ilmu, di sini sekitar jam 11.54 malam ini.

“Inilah pemimpin yang PAS pilih sebagai ‘Calon Kita’ bagi Pilihan Raya Kecil N.45 Dun Galas. Beliau adalah Dr Zulkefli

Mohamad,” umumnya yang juga Menteri Besar Kelantan.

Menurut Tuan Guru Nik Aziz, Zulkefli dipilih kerana diyakini mampu meneruskan kerja cemerlang yang telah diusahakan wakil rakyat sebelum ini, Allahyarham Chek Hashim Sulaima.

Hadir sama pada majlis tersebut, semua pimpinan utama PAS Pusat termasuk Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan timbalannya, Nasharudin Mat Isa. Turut serta ialah Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Setiausaha Agung DAP, Datuk Ngeh Koo Ham.

Biodata Dr Zulkefli

Beliau merupakan anak kepada seorang pemimpin PAS, Mohamad Awang yang pernah dinobatkan sebagai Tokoh Penerangan PAS Kelantan tahun 1996.

Bapanya juga adalah bekas Adun Guchil, Kuala Krai tahun 1974-1978.

Ibunya pula, Ramelah Mat Jusoh seorang yang gigih mendidik 10 orang anak.

Hasilnya, calon PAS ini adalah anak yang ketujuh, seorang yang benar-benar mewarisi bakat perjuangan ayahnya.

Dr Zulkefli dilahirkan pada tanggal 16 Januari 1966 bertempat di Guchil 3, Kuala Krai.

Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Banggol Guchil, Kuala Krai. Kemudian meneruskan pengajian di peringkat menengah di Sekolah Menengah Sultan Yahya Petra.

Kecemerlangannya dalam pelajaran terbukti apabila mendapat tawaran belajar di Universiti Malaya dan dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Sarjana Muda Pembedahan tahun 1992.

Pengalamannya sebagai seorang doktor kerajaan di Hospital Taiping, Perak (1992) kemudian berpindah ke Hospital Besar Kota Bharu (1993) dan Pusat Kesihatan Ciku 3 Gua Musang; telah mendidik beliau menyayangi masyarakat dan memahami kesusahan hidup rakyat.

Justeru itu, beliau mengambil keputusan membuka klinik sendiri di Ciku 3, Gua Musang sebagai meneruskan khidmat dan merapatkan lagi hubungannya dengan rakyat.

Dr Zulkefli mula aktif dalam PAS apabila terlibat dengan cawangan ketika berkhidmat di Ciku 3, sehinggalah beliau terpilih untuk jawatan Yang Dipertua PAS Kawasan Gua Musang.

Beliau juga pernah bertanding dalam pilihan raya umum 2004 di Dun Galas dan pilihan raya umum 2008 bagi Parlimen Gua Musang.

Meskipun begitu, beliau menyedari bertanding di kubu kuat Tengku Razaleigh bukanlah mudah untuk mencapai kemenangan, namun dengan kegigihan dan kesungguhan, beliau tetap menghadapinya dan sedia memikul tanggungjawab parti.

Justeru, masyarakat dan parti menilainya sebagai seorang pemimpin yang ikhlas, taat dan rela berkorban demi perjuangan Islam.

Sumber: HarakahDaily


Saturday, October 16, 2010

PAS turunkan calon berkualiti di Galas

Dengan hanya tinggal beberapa hari saja lagi hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil Dun Galas pada 26 November sementara hari mengundi 4 November suasana sekitar Dun Galas dalam Parlimen Gua Musang semakin sibuk.

Suruhanjaya Pilihan Raya juga memutuskan hari yang sama penamaan calon dan hari mengundi bagi pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi, Sabah.

Kerancakan menjelang pilihan raya di Dun Galas semakin bertambah di mana pemimpin PAS dan Umno/BN semakin kerap mengadakan perbincangan di kalangan parti masing-masing.

Di samping itu, bendera PAS dan Umno/BN sudah berkibar di sana sini, khususnya di tempat strategik – di simpang empat, jalan masuk ke kampung, tempat lapang, berdekatan dewan, tempat orang ramai biasanya berkumpul dan tidak kurang rancaknya berdekatan pasar malam dan pasar harian. Pelbagai petak jualan sekitar Dun Galas, membawa ke Gua Musang, malah hampir sampai ke Merapoh sudah kelihatan banyak yang ditandai, malah ada yang sudah didirikan.


Dengan pengalaman panjangnya menghadapi pilihan raya umum dan kecil sejak lebih 40 tahun, PAS sudah menduga, seperti kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad bahawa dalam mana-mana pilihan raya juga sama, Umno/BN hanya ada satu modul iaitu menggunakan sumber kewangan dan menabur pelbagai janji, termasuk janji membina satu jambatan baru di Manek Urai.

Jambatan dua lorong dianggarkan bernilai RM7 hingga RM10 juta itu diumumkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kempen pilihan raya kecil tersebut, bagi menggantikan satu jambatan merentasi Sungai sedia ada di kawasan itu.

"Kita akan dedahkan balik janji-janji ini di Galas," kata Idris lagi kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun kini Umno/BN sudah mula menimbulkan masalah air bersih di Kelantan, termasuk di Gua Musang dan ini nampaknya antara permulaan siri ‘serangan’nya terhadap pemerintahan PAS Kelantan. Tentu saja PAS akan menjawab isu ini dalam kempennya nanti.

Rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat – PKR dan DAP dijangka akan datang membantu sepenuhnya seperti dalam mana-mana pilihan raya. Sudah tentu DAP dan PKR akan menumpukan perhatian kepada pengundi Cina di Dun tersebut. Malah undi Orang Asli juga akan menjadi perhatian dan kedua-dua pihak akan berusaha menarik mereka.

Kita yakin dengan pengalaman PAS yang panjang dan telah terbukti selama ini hingga mampu memerintah Kelantan lebih 20 tahun, PAS akan mengatur kempennya berdasarkan pengalaman ini. Sekali lagi kita akan melihat kemampuan PAS Kelantan, dibantu oleh PAS negeri-negeri dan pendukung PKR, DAP membuktikan kemampuannya untuk mempertahankan Galas. Dewan Muslimat pula akan mengerahkan Briged Muslimatnya yang baru ditubuh untuk membantu kempen tersebut. Sementara Dewan Ulama, Pemuda, Muslimat, malah Dewan Himppunan Penyokong PAS juga akan turun padang berhabis-habisan untuk kempen tersebut.

Dalam Pilihan Raya Umum Dun Galas pada 2008 dulu, Chek Hashim Sulaima telah menang majoriti 646 mengalahkan calon BN Mohamad Saufi Deraman, sementara dalam Pilihan Raya umum 2004, calon BN, Mohd Saufi Deraman mengalahkan calon PAS Chek Hashim Sulaima juga dengan majoriti 1,729.

Perlu diingat dalam PRU ke-12 dulu, Tengku Razaleigh kalah 316 undi di Dun Galas, walaupun beliau menang di Dun lain dalam parlimen tersebut.

Dun ini mempunyai pengundi 65.4 peratus Melayu, 22.3 (Cina), 1.8 (India), sementara lain-lain 10.5 peratus. PAS tentu tidak sukar untuk menawan pengundi Cina memandangkan sokongan yang diberi oleh mereka dalam banyak pilihan raya sejak PRU 12 dulu. Namun PAS tentunya bekerja lebih keras lagi untuk menawan pengundi India dan Orang Asli.

PAS sedang meneliti calonnya di peringkat akhir di mana dari nama-nama yang tersenarai pendek, PAS mempunyai tokoh berkaliber baik dari kalangan berlatarbelakangkan ilmu agama dan professional. Ini kelebihan PAS selama ini yang tidak sukar mencari calon berkaliber yang mampu memenuhi cita rasa rakyat.

PAS memiliki kalangan ulama, professional dan amilin yang berwibawa, yang terbukti selama ini berdasarkan gerak kerja mereka, perbahasan mereka yang bermutu di parlimen dan di Dun-Dun.

Lebih dari itu para tokoh PAS setakat ini bersih dari pelbagai amalan buruk seperti rasuah, penyelwengan, penipuan dan sebagainya. Rekod mereka selama ini telah membuktikan selama ini.

Adalah difahamkan, PAS negeri dan kawasan seluruh negara sedang membuat persiapan terakhir untuk menghimpunkan seluruh tenaganya bagi membantu kempen PAS di Galas, malah di Batu Sapi juga – bersama rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat.

Oleh kerana hari penamaan calon dan hari mengundi yang sama di Galas dan Batu Sapi, tentunya pemimpin Pakatan Rakyat terbahagi dua untuk berada di hari pengumuman calon di dua tempat itu. Belum diketahui.

Sumber : HaeakahDaily

Monday, October 11, 2010

Beri peluang PAS bertanding di Parlimen Batu Sapi

PAS Kawasan Sandakan mengharapkan agar PAS diberi peluang mewakili Pakatan Rakyat dalam pilihanraya kecil yang bakal diadakan di Parlimen Batu Sapi. Kerusi parlimen itu kosong ekoran kematian wakil rakyatnya mendiang Datuk Edmund Chong Ket Wah pada 9 Oktober lalu.
Walaupun pada dasarnya kerusi tersebut diperuntukan untuk PKR, namun track recod daripada siri piliharaya yang lalu menunjukkan PKR gagal. Justeru PAS kawasan Sandakan beranggapan bahawa sudah sampai masanya untuk PAS diberi peluang untuk bertanding di kawasan itu.
Yang Dipertua PAS Sandakan, Sdr. Abd. Wahid menegaskan bahawa peluang untuk Pakatan Rakyat (PR) yang diwakili oleh PAS, menang adalah cerah. Ini kerana, PAS Batu Sapi yang diketuai oleh Tn. Hj. Hamzah Abdullah yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah telah sekian lama menjalankan pelbagai program kemasyarakatan yang memberi kredit kepada PAS. Di samping itu parlimen Batu Sapi mempunyai 60.14% pengundi Bumiputera Islam. Maka dengan imej Islam yang dibawa PAS sudah pasti ia dapat menambat hati pengundi.
"Walau bagaimanapun PAS tetap menghormati keputusan Sekretariat Pakatan Rakyat Sabah untuk memutuskan siapa yang akan mewakili PR di parlimen Batu Sapi. InsyaAllah, PAS Sandakan yang merupakan 'jiran terdekat' Batu Sapi akan mengarahkan seluruh jenteranya untuk membantu Batu Sapi" tegas sdr. Abd. Wahid.

Saturday, October 9, 2010

Pilihan Raya Kecil ke 13 di Batu Sapi


KOTA KINABALU, 9 Okt: Pilihan raya kecil yang ke 13 akan diadakan di negara ini selepas 2008 apabila anggota Parlimen Batu Sapi, Datuk Edmund Chong Ket Wah, 54, meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya.

Beliau meninggal apabila motosikal Kawasaki 750 yang beliau tunggangi berlanggar dengan sebuah kereta Mercedes di jalan Sembulan-Tanjung Aru dekat Kota Kinabalu jam 11.40 pagi tadi.

Chong mula memenangi kawasan itu dalam pilihan raya umum 2004 tanpa bertanding dan menang lagi dalam pilihan raya umum 2008 selepas mengalahkan calon bebas, Chung Kwong Wing.

Chong mendapat 9,479 undi berbanding dengan Chung yang mendapat 5,771 undi.

Chong lahir di Sandakan dan merupakan seorang jurutera mekanikal. Beliau meninggalkan isteri Linda Tsen Thau Lin dan empat anak.

Sumber: HarakahDaily

Siapa pun calon umno, PAS tetap lawan - Nik Aziz


KOTA BHARU, 9 Okt: Seperti pernah beberapa kali dinyatakan sebelum ini, PAS tetap akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Galas biar siapa pun calon dipertaruhkan Umno.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, PAS bertanding pilihan raya bukan menentang individu tertentu, namun menentang dasar perjuangan selain Islam.

"Kita tetap akan menentang Umno, tak kira siapa pun calonnya, sebab kita menentang dasar perjuangan yang dibawa dan bukannya individu tertentu," ujarnya.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan itu berkata demikian ketika diminta mengulas jawapan Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah pagi tadi.

Ku Li dalam penjelasannya berhubung PRK Galas pagi tadi memberitahu menerima tawaran sebagai Pangarah Pilihan Raya namun belum memutuskan untuk menerima tawaran sebagai calon bertanding.

Bagaimanapun menurut Tuan Guru Nik Aziz, PAS akan tetap menyambut baik sebarang keputusan yang akan dibuat Tengku Razaleigh sama ada ingin menerima sebagai calon atau sebaliknya.

Namun katanya, jika Ketua Umno Gua Musang itu menerima tawaran calon tersebut bermakna beliau menerima pihak yang cuba menjatuhkan kedudukannya yang dilihat hanya layak diberi jawatan Perdana Menteri.

Sumber: HarakahDaily


Wednesday, October 6, 2010

Pilihan Raya Kecil Dun Galas 04 Nov

KUALA LUMPUR, 6 Okt: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan 4 November sebagai hari mengundi manakala 26 Oktober tarikh penamaan calon bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar mengumumkan perkara itu selepas SPR mengadakan mesyuarat mengenai PRK Dun Galas di sini, pagi ini.

Kerusi Dun Galas kosong berikutan kematian wakilnya dari PAS, Chek Hashim Sulaiman yang yang menghembuskan nafas terakhir di Hospital Pakar Al-Islam Kampung Baru, Kuala Lumpur pada jam 4.30 petang 21 September lepas.

Allahyarham memenangi kerusi Dun Galas dengan majoriti 646 undi pada pilihan raya umum yang lalu mengalahkan penyandang dari BN, Saufi Deraman. Beliau mendapat 4,399 undi manakala Saufi pula 3,753 undi.

Dalam pilihan raya umum 2004, Che Hashim kalah kepada Saufi dengan 1729 undi.

Sementara itu, dalam mesyuaratnya baru-baru ini, PAS telah melantik Ketua Pengarah Pilihanraya PAS, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman sebagai pengarah pilihan raya ini. Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pula dilantik sebagai Penasihat manakala Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan, Abdul Fatah Harun sebagai Ketua Operasinya.

Di pihak Barisan Nasional (BN) pula, Ukno melantik Ketua Umno Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah ( Ku Li) sebagai pengarah pilihan raya, satu pendekatan luar biasa yang tidak pernah dibuat oleh BN sebelum ini. Ini kerana, menjadi kebiasaan bagi BN melantik Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin sebagai pengarah.

Muhyidin pula dalam satu kenyataannya turut mencadangkan Ku Li sebagai calon BN dalam pilihan raya ini. Bagaimanapun, sehingga kini Ku Li sendiri tidak mengesahkan samada beliau menerima kedua-dua tawaran tersebut. Beliau hanya akan membuat pengumuman 9 Oktober ini di KLIA sebaik sahaja sampai dari luar negara.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung BN, Tengku Adnan Mansor berkata, Ku Li telah menerima tawaran sebagai pengarah pilihan raya itu.


Sumber: HarakahDaily


Monday, September 27, 2010

ADUN Galas Kembali ke Rahmatullah

KUALA LUMPUR, 27 Sept: Adun Galas, Chek Hashim Sulaima, 47, kembali ke rahmatullah di Pusat Rawatan Islam Kampung Baru, di sini, kira-kira jam 4.30 petang ini.

Allahyarham yang mengidap penyakit barah di bahagian paru-paru menjalani rawatan di hospital berkenaan sejak hampir seminggu lalu.

Sebelum itu beliau menjalani rawatan perubatan tradisional Cina di Serdang.

Allahyarham dikesan menghidap penyakit berkenaan sejak dua tahun lalu dan pernah mendapat rawatan beberapa bulan di China.

Pada Ramadan tahun lepas, beliau menjalani rawatan di Orient Hospital Guanzhong. Sebelum itu Chek Hashim mendapat rawatan awal di The First People's Hospital juga di Guanzhong.

Keadaan kesihatannya agak serius sebelum itu. Kepulangannya daripada menjalani rawatan di China tahun lepas disambut wakil-wakil rakyat dan penduduk Gua Musang.

Pada persidangan Dewan Undangan Negeri Mac lalu beliau turut hadir. Bagaimanapun pada persidangan Jun lalu beliau mohon bercuti.

Dan pada Julai lalu, Adun Galas dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pakar Perdana, Kota Bharu.

Beliau dimasukkan ke hospital berkenaan petang 26 Julai lalu selepas tiga hari pulang dari menjalani rawatan kimoterapi di sebuah hospital di China.

Allahyarham meninggalkan dua balu, Che Bongsu Jusoh dengan tujuh orng anak dan Aida Zakaria pula lima orang anak.

Sementara itu, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mewakili seluruh kepimpinan dan ahli PAS seluruh negara merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Almarhum Che Hashim dan rakyat di Dun Galas di atas pemergian Almarhum.

"Sesungguhnya Almarhum adalah seorang yang gigih menjalankan tugas dan komited dengan perjuangan. Marilah sama-sama kita berdoa agar roh beliau dirahmati oleh Allah," ujarnya dalam kenyataan ringkas.

Bagi timbalannya, Ustaz Nasharudin Mat Isa, pemergian Almarhum adalah kehilangan besar bagi rakyat Kelantan.

"Saya difahamkan, perlibatan Almarhum dengan PAS sejak zaman muda lagi, Almarhum banyak berjasa kepada rakyat. Semoga jasanya berkhidmat di Galas, untuk rakyat Kelantan dirahmati Allah. Bagi kita, sumbangannya akan seperti tinta emas dalam perjuangan kita, PAS," ujarnya yang berada di hospital.

Turut memberi penghormatan ialah naib presiden, Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub serta Exco Kerajaan Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan.

Sumber: Harakah Daily

Sunday, September 26, 2010

Masyarakat Majmuk : PAS Tonjol Keindahan Islam

MARANG, 26 Sept: Dalam menjamin keharmonian hidup masyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai kaum, PAS sentiasa mengambil pendekatan seperti dianjur Islam, kata Ustaz Nasharudin Mat Isa.

Timbalan Presiden PAS itu berkata, PAS berpendirian seperti apa yang pernah diungkap sahabat nabi, Saidina Ali iaitu "Orang Islam adalah saudara seiman, orang bukan Islam adalah saudara seinsan".

Beliau berkata demikian ketika berceramah di Kampung Titian Baru, Bukit Payong, malam semalam.

"Itulah keindahan Islam, itulah perjuangan PAS dan itulah beza kita dengan Umno," katanya lagi.

Beliau berkata demikian, sebagai mengulas beberapa isu perkauman yang sedang dimainkan dalam negara.

Tambahnya lagi, PAS sentiasa menghormati kaum lain kerana mereka juga mempunyai jasa terhadap negara.

PAS juga, jelasnya telah membuktikan pengiktirafannya kepada kaum lain dengan menubuhkan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yang dianggotai kaum Cina dan India.

Mengulas dakwaan bahawa Melayu dan Islam lemah jika Pakatan Rakyat memerintah, beliau berkata yang melemahkan Melayu dan Islam adalah Umno.

"Belum pun kita perintah negara, Melayu dan Islam sekarang sudah berada dalam keadaan terancam.

"Ini adalah akibat kegagalan Umno kerana tidak termaktub pun dekat mana-mana bahawa perjuangan mereka adalah memperjuangkan agama Allah," katanya.

Berbeza dengan Umno, PAS katanya lagi menakrifkan politik sebagai mengurus dan membawa rakyat lebih dekat dengan kebaikan.


Sumber: Harakah Daily


Friday, September 10, 2010

Perutusan Hari Raya Presiden PAS

Allahuakbar, Allahukbar, Allahuakbar…
Lailaha Hilallah Wallahu Akbar,
Allahuakbar Walillahil Hamd.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Dengan Nama Allah Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Penyayang;

Saya bagi pihak Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengucapkan kepada seluruh muslimin dan muslimat. Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri, hari raya kurnia Allah SWT bersempena dengan kita menunaikan ibadat puasa di bulan Ramadan. Menjadi kelaziman selepas menunaikan ibadat-ibadat yang besar. Allah Ta’ala, mengurniakan hari yang besar. Bagi sembahyang lima waktu dikurniakan hari Jumaat, bagi puasa Ramadan dikurniakan Hari Raya Aidilfitri dan bagi ibadat Haji dikurniakan Hari Raya Korban (Aidiladha).

Hari Raya Aidlifitri mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Setelah umat Islam dididik, ditarbiyyah dengan mengerjakan ibadat puasa di bulan Ramadan, supaya menjadi orang-orang yang bertaqwa kepada Allah SWT. Adalah juga menjadi suatu hikmah yang besar apabila Allah SWT memilih di bulan Ramadan ini berlakunya peristiwa al-Quran Karim diturunkan dan peristiwa peperangan Badar. Peristiwa pembukaan Mekah, diikuti dengan bulan Rejab, bulan Syawal dengan peristiwa Ahzab.

Ini menunjukkan bahawa kemuncak kepada taqwa yang ditarbiyyahkan melalui puasa Ramadan. Orang-orang yang beriman hendaklah menerima al-Quran Karim, satu-satunya petunjuk yang benar kerana ia (al-Quran) daripada Allah SWT. Setelah Allah SWT menyatakan tujuan ibadat puasa itu, supaya kamu (manusia) bertaqwa kepada Allah SWT.

Allah SWT juga menegaskan, “Kitab (al-Quran) ini tidak syak lagi memberi Petunjuk kepada orang-orang yang bertaqwa”. Dan hanya orang-orang yang bertaqwa yang menjadikan al-Quran Karim sebagai Petunjuk. Marilah kita mempelajari daripada menafsirkan al-Quran Karim secara praktikal atau amali yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Apabila beramal dengan al-Quran bukan sahaja mengaku menjadi seorang Islam yang mengucap dua kalimah syahadah. Tetapi, disertakan dengan keimanan yang sungguh-sungguh dan dalam masa yang sama menegakkan al-Quran itu menjadi Petunjuk dalam seluruh cara hidup individu, keluarga dan masyarakat.

Apabila Rasulullah SAW berusaha untuk mendirikan sebuah negara atau amalan politik. Ini menunjukkan bahawa seluruh al-Quran Karim tidak boleh dilaksanakan melainkan dengan adanya amalan (kuasa) politik yang menjadi syarat, kerana hukum-hukum yang ada dalam al-Quran Karim mensyaratkan adanya negara yang didirikan. Negara yang dilandaskan al-Quran Karim itu dan Petunjuk yang diajar oleh Rasulullah SAW supaya hukum-hukumnya diamalkan.

Para ulama’ mengatakan, “Apa yang tidak sempurna dari perkara yang wajib melainkan dengannya, maka ia (perkara itu) menjadi wajib”. Bagi mendirikan sembahyang syaratnya mestilah berwudhuk, maka berwudhuk untuk sembahyang yang wajib hukumnya wajib. Bagi menutup aurat yang wajib mestilah mempunyai pakaian yang lengkap bagi menutup aurat. Maka, mencari pakaian yang lengkap bagi menutup aurat hukumnya adalah wajib. Bagi melaksanakan seluruh perintah-perintah al-Quran Karim memerlukan amalan politik bagi mendirikan negara yang mendaulatkan Syariat (hukum) Allah. Maka, berpolitik mendirikan negara adalah wajib. Inilah yang dilakukan oleh Nabi SAW. Apabila di sana terdapat di kalangan manusia yang tidak boleh menerima petunjuk al-Quran Karim. Ini kerana, al-Quran itu menghalang hawa nafsu mereka untuk memerintah secara zalim dan diktator. Untuk mereka melakukan cara yang melampau dalam menyalahgunakan kuasa, menyalahgunakan nikmat harta negara yang diberi oleh Allah SWT. Meneguhkan kuasa menyebabkan seseorang itu boleh membuat apa sahaja.

Apabila al-Quran Karim menghalang kelakuan yang haram dan buruk itu, menyebabkan kumpulan-kumpulan yang mahu melakukan amalan itu menentang usaha Nabi SAW untuk mendirikan negara Islam. Maka, berlakulah pertembungan antara haq dan batil, di antara benar dan salah, di antara adil dan zalim. Inilah yang menimbulkan peristiwa Badar, yang menimbulkan pembukaan Mekah, yang menimbulkan peristiwa Ahzab.

Apa yang menarik, peristiwa-peristiwa ini melibatkan bangsa Arab, melibatkan orang-orang Yahudi Ahlil Kitab. Ini menunjukkan bahawa pertembungan yang melahirkan Furqan, yang membezakan haq dan batil, bukan di atas asas kebangsaan, bukan di atas asas ke negerian. Tetapi di atas asas prinsip aqidah Islam yang benar, yang menegakkan iman, yang menolak kufur, yang menegakkan Islam, yang menolak jahiliah, yang menegakkan adil yang menolak kezaliman.

Inilah semangat yang perlu dilahirkan dari Ramadan, semangat yang diperlukan lahir dari hari raya. Di sinilah hikmatnya, mengapa tiap-tiap hari raya kita bertakbir membesarkan Allah SWT dengan menyebut ‘Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar’ dan Allah sahaja Yang Maha Besar. Dan bagi Allah sahaja kepujian dan kita menyebut (maksudnya): “Tidak ada Tuhan yang sebenar melainkan Allah, Esa-Nya dan tidak ada sekutu bagi-Nya, yang menolong hamba-Nya, yang berjuang untuk menegakkan Islam, yang menghancurkan bala tentera Ahzab. Yang menentang usaha bagi menegakkan Islam itu”.

Inilah semangat hari raya yang perlu disambut. Dalam masa yang sama, kita hendaklah mengukuhkan saf umat Islam itu sendiri. Khususnya, di kalangan mereka yang menegakkan Islam dengan mengeratkan hubungan persaudaraan di antara satu sama lain. Dan mereka yang terlanjur melakukan kesilapan hendaklah sedar dan insaf serta kembali ke pangkal jalan. Sebagaimana yang ditunjuk oleh generasi awal umat Islam yang membawa mereka kepada kemuliaan. Kemuliaan yang diberi oleh Islam sebagaimana yang dinyatakan oleh Khalifah Umar al-Khatab, “Kita adalah umat yang diberi kemuliaan oleh Allah dengan Islam, sekiranya kita mencari kemuliaan yang lain dari Islam, nescaya kita akan menerima penghinaan daripada Allah”.

Cukuplah, kehinaan yang menimpa umat Islam hari ini mereka diratah oleh kaum yang lain. Mereka sepatutnya menjadi contoh kepada umat yang lain, tiba-tiba mereka terpengaruh dengan umat yang lain. Marilah, kita kembali dengan semangat Ramadan, dengan semangat hari raya melahirkan umat yang dinyatakan oleh Allah (bermaksud): “Kamu adalah umat yang dijadikan oleh Allah untuk dikeluarkan kepada manusia, untuk menjadi contoh, untuk memimpin manusia, dengan ciri-ciri dan sifat-sifat kamu menyuruh kepada yang baik dan kamu mencegah kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah”.

Dan mudah-mudahan kita dapat melaksanakan kewajipan ini dengan penuh mendapat rahmat dan pertolongan dari Allah SWT sebagaimana yang dijanjikan (bermaksud): “Allah berjanji kepada orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh, bahawa Allah yang menjadikan mereka itu golongan yang berkuasa, dan memerintah negara di atas muka bumi ini sebagaimana dikurniakan kepada umat yang terdahulu dan Allah menjadikan keadaan yang berubah, agama yang diredha ialah Islam ini berkuasa memerintah. Keadaan yang menakutkan bertukar menjadi keamanan. Mereka itu mengabdikan diri kepada Aku yakni Allah, dan mereka tidak menyengutui Aku yakni Allah dengan sesuatu yang lain. Dan sesiapa yang kufur selepas itu mereka itulah orang-orang yang fasiq.

Sekian.

Salam Hormat,

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang,
Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS)

Wednesday, September 8, 2010

Salam Aidil Fitri 1431H






PAS Kawasan Sandaklan mengucapkan Selamat Menyambut Aidil Fitri 1431H dengan penuh kegembiraan dan keimanan kepada Allah.

Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin.

Tuesday, August 31, 2010

KUALA LUMPUR, 31 Ogos: Seluruh rakyat negara ini diseru memberikan kepercayaan penuh kepada PAS menggantikan Umno

untuk memimpin mereka dengan lebih adil.

Menurut Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Umno tidak boleh lagi diberi kepercayaan kerana mereka mengelirukan masyarakat dengan memutar-belit ajaran Islam sebenar dan menggunakan isu perkauman utuk kelangsungan politik mereka.


"Kita menyeru kepada masyarakat Islam untuk memberikan kepercayaan kepada PAS sebagai alternatif yang memimpin mereka dan mengajak masyarakat yang bukan Islam supaya tidak memgambil contoh yang buruk yang ditunjukkan oleh Umno berhubung dengan Islam," kata Presiden PAS itu dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Keadilan PAS jelasnya boleh dilihat sendiri oleh masyarakat bukan Islam semasa pemerintahan mereka di Kelantan, Terengganu dan negeri-negeri Pakatan Rakyat di ketika ini, bahkan terus istiqamah dengan prinsip Islam semasa dalam kerajaan pada tahun 70-an.

Menurutnya lagi, punca kepada kecelaruan yang berlaku hari ini adalah kerana kefahaman salah yang ditunjukkan oleh Umno selama puluhan tahun berkuasa di bumi Malaysia ini.

Sejak sekian lama, Umno katanya tidak pernah puas menjadikan isu agama dan perkauman sebagai senjata ampuh mereka menarik sokongan masyarakat.

Paling teruk apabila tindakan Umno tersebut sering digambarkan kepada masyarakat khususnya Melayu sebagai menepati ajaran Islam yang sebenar.

"Mereka telah mencampur adukkan sentimen perkauman sempit dan mengaitkannya seolah-olah tindakan mereka adalah dari ajaran Islam yang sebenar," jelasnya lagi.

Tindakan Umno itu pula jelasnya disambut dan diangkat oleh media Umno sehingga mereka cuba menggambarkan seolah-olahnya hubungan antara kaum dalam negara kita ini berada dalam tahap yang paling buruk.

Masyarakat Islam jelasnya lagi dikelirukan dari segi fahaman agama yang sebenar, manakala masyarakat bukan Islam pula diadu-domba dengan api perkauman dan ketegangan hubungan kaum.

"Saya ingin memberikan nasihat kepada pihak media yang menggunakan isu agama ini untuk menghentikan tindakan mereka, kerana sebenarnya mereka telah mengelirukan umat Islam dengan kegagalan mereka merujuk kepada Al-Quran dan As-Sunnah yang menjadi sumber rujukan umat Islam sejak zaman berzaman," katanya.

Sehubungan itu beliau juga menyeru agar umat Islam meneliti setiap maklumat yang disebarkan supaya tidak diperangkap oleh sesuatu maklumat yang salah.

PAS juga menurutnya sentiasa konsisten dengan prinsip Islam dan bersedia untuk berdepan dengan semua pihak termasuk Majlis Fatwa Kebangsaan, untuk menjelaskan garispanduan yang sebenar dalam semua perkara yang berkait dengan umat Islam.


Sumber: HarakahDaily


Monday, August 9, 2010

Kenyataan Rasmi : Tinggalkan UMNO-BN

Kenyataan Rasmi : Tinggalkan UMNO-BN

8 Ogos 2010


Parti Islam SeMalaysia (PAS) ingin mengajak seluruh rakyat Malaysia supaya memahami hakikat sebenar bahawa berlakunya salah urus dan penyelewengan oleh Umno-BN sejak sekian lama terhadap kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera sebagaimana yang dimaktubkan dalam perlembagaan negara. Kegagalan Umno inilah yang menyebabkan berlakunya ketirisan dan ketidakadilan, sehingga yang menjadi mangsa adalah orang Melayu dan Bumiputera sendiri. Inilah persoalannya yang menghantui rakyat dalam negara kita selama puluhan tahun sejak negara mencapai kemerdekaan, di mana Umno telah bertindak menjadikan kedudukan istimewa orang Melayu sebagai senjata untuk mereka mempertahankan Umno dan merobek harta negara di atas nama hak keistimewaan orang Melayu dan kaum Bumiputra.


Kepada orang Melayu di seluruh negara yang masih bersama Umno, sampailah masanya kini untuk mereka membuat keputusan yang sangat penting kepada masa depan generasi yang akan datang untuk bersama dengan PAS bagi melakukan perubahan yang lebih adil, sesuai dengan keadilan Islam untuk semua.

Cukuplah kecelaruan kefahaman dan ketidakadilan yang dilakukan oleh Umno terhadap orang Melayu, dengan berlakunya pelbagai diskriminasi politik terhadap orang Melayu sendiri. Sebagai contohnya, kita tidak sekali-kali lupa terhadap tindakan merampas royalti minyak pada masa pemerintahan Kerajaan PAS di Terengganu, dan kini di Kelantan, di mana ianya adalah keputusan diskriminasi jahat yang dibuat dalam Perhimpunan Agung Umno di ketika itu terhadap penduduk negeri yang lebih dari 95% terdiri dari orang Melayu beragama Islam.

Parti Islam SeMalaysia (PAS) ingin menegaskan bahawa kedudukan orang Melayu dan kaum Bumiputera dalam perlembagaan negara sekarang perlu dipertimbangkan dalam pelaksanaan sesuatu dasar, dengan syarat ianya tidak sekali-kali berlaku zalim kepada kaum-kaum lain yang menjadi rakyat dalam negara kita ini. Inilah juga yang dipersetujui dalam Konvensyen Pertama Pakatan Rakyat pada tahun yang lalu.

Kepada seluruh rakyat dalam negara kita ini, marilah terus bersama dengan PAS dan Pakatan Rakyat untuk melakukan suatu perubahan dan keluar dari politik peras ugut, untuk kita sama-sama merubah sistem kehakiman, kebebasan media, sistem pilihanraya, keselamatan negara, dan sebagainya untuk melahirkan iklim politik yang lebih adil dan aman di Malaysia.

Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS

Sunday, August 8, 2010

Penyatuan: PAS Bukan Ego, Umno kena Muhasabah, Kata Hadi

Oleh G. Manimaran

KUALA LUMPUR, 8 Ogos — Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata parti Islam itu tidak ego dalam soal perbincangan ke arah penyatuan orang

Melayu tetapi tidak mahu Umno menggunakan pihaknya untuk “meringankan beban” akibat pentadbirannya selama ini. Sehubungan itu Hadi juga memberitahu Umno juga perlu muhasabah dalam memperlihatkan keikhlasannya jika mahu menjalin kerjasama dengan PAS.Hadi menjelaskan, PAS bersedia untuk menjalin kerjasama dalam soal-soal kebajikan, antara memerangi dan menghapuskan gejala sosial dan jenayah.
“Tetapi kerjasama untuk memikul beban dengan masalah mereka (Umno) dengan penyakit yang memarakkan rakyat seperti rasuah, dia (Umno) ajak kita

(PAS) berkawan semata-mata untuk meringankan beban dia, ini kita minta maaf.
“Kita bukan ego, tapi kita pertahan prinsip yang dianjurkan Islam dalam bersatu dan bekerjasama,” kata beliau dalam temu bual terbaru disiarkan edisi baru Harakah.
Isu penyatuan Umno-PAS menjadi tumpuan sekali lagi sepanjang bulan bulan lalu, antara lain Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria mengatakan sedia menjadi orang tengah ekoran permintaan beberapa pemimpin dari Umno dan PAS.
Sementara Umno mengalu-alukan langkah ke arah itu, PAS berdasarkan pengalaman masa lalu, menolak ajakan tersebut.
Misalnya Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan parti itu tidak mahu digigit buat kali kedua dengan merujuk peristiwa 1978.
PAS menyertai Barisan Nasional pada 1974 dan keluar empat tahun kemudian.


Kini ia menganggotai Pakatan Rakyat bersama PKR dan DAP. Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, PAS mempunyai konsep yang konsisten untuk meneguhkan parti itu yang menurutnya bersikap terbuka.

“PAS setia dengan kawan kita, dan beradap dengan lawan kita seperti Umno-BN.
“Islam mengajar umatnya untuk tolong-menolong dalam perkara kebaikan dan ketaqwaan, dan bukannya tolong-menolong dalam perkara mungkar,” katanya.
Jelas beliau, sekiranya perkara baik dan taqwa seperti isu-isu bersama kekejaman Israel, Bosnia, Afghanistan dan isu-isu kemanusiaan yang lain.
“PAS tak ada masalah untuk bekerjasama. Bukan sahaja PAS boleh baca sajak bersama, bukan sahaja PAS ada sumbangan, Umno juga.
“Ini kita akui. Di sini kita tidak boleh bertelingkah,” katanya lagi.
Mengenai soalan bahawa Hadi memberi signal yang PAS menolak ajakan Umno untuk bersatu atau bekerjasama, presiden itu menjelaskan, “Islam mengajar ada perkara yang wajib bersatu dan ada perkara haram untuk kita bersatu.”
Katanya, wajib bagi PAS menolong mencegah masalah tetapi haram jika menyokong ke arah kemungkaran.
“Waktu PAS hendak melaksanakan hukum hudud di Kelantan, kita diberikan surat amaran, jika buat kerajaan pusat akan bertindak.
“Jika begitu bagaimana hendak bekerjasama dengan parti macam ini?” katanya.
Hadi menambah, PAS juga mengambil kira tanda keikhlasan dalam soal ini.
“Kita pernah memerintah dua buah kerajaan negeri sebelum ini iaitu Kelantan dan Terengganu. Apa yang Umno-BN tak buat pada PAS?
“Boleh disenaraikan. Apa yang Umno buat pada kerajaan Sabah sewaktu PBS menang?” kata beliau sambil menambah, “pemimpin-pemimpin Umno perlu muhasabah balik.”
“Anak-anak kita di universiti dinafikan biasiswa, pensyarah pula ada yang ditukar, dibuang daerah.
“Saya guna istilah buang daerah kerana Umno memang begitu. Hal ini amat menyentuh ahli biasa PAS,”


Sumber: RAKYAT MARHAEN


Bukan nak jaga Melayu, tapi jaga Umno

BACHOK, 8 Ogos: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, dakwaan kononnya Umno sebagai parti pembela Melayu hanya retorik setelah merasai semakin terhimpit.
"Par

ti sekular jaga Malaysia ni hampir 60 tahun dah. Akhirnya bila dia tua sekarang ini dia minta tolong kita pula jaga dia. Dia baik sangat nak jaga perpaduan Melayu, bukan nak jaga Melayu, tapi nak jaga Umno."Jaga Melayu lain, jaga Umno lain. Kelantan diduduki oleh orang Melayu, tapi apa dia buat? Dia buat JPP (Jabatan Pembangunan Persekutuan) di Kelantan sebagai tempat tadah duit daripada pusat."Kalu betul dia nak jaga Melayu dia salur terus ke kerajaan. Kerajaan PAS Kelantan ini pun orang Melayu, bukan orang lain, bukan Korea, bukan Yahudi atau sebagainya," katanya.

Mengulas lanjut, Menteri Besar itu mendakwa tuduhan kerajaan Islam tidak mampu membawa kemajuan sengaja dicetuskan oleh golongan sekular bagi mengancam kepada proses pengembangan Islam secara keseluruhan.
Beliau berkata, bahkan itulah juga antara punca menyebabkan orang bukan Islam terasa jauh dengan Islam.
“Apa tidaknya, apabila mereka cuba hendak rapat dengan Islam, dikatakan Islam mundur, Islam tidak dapat membawa kemajuan.
"Benda-benda begini telah menimbulkan masalah dalam masyarakat hasil daripada ajaran sesat golongan sekular terhadap Islam," ujarnya.
Beliau juga menjelaskan tidak berminat untuk melayan mana-mana individu mencabarnya untuk berdebat dalam sesuatu isu khususnya tentang Islam kecuali ia membabitkan pemimpin dari kalangan Umno.
“Saya lawan umno. Saya tak lawan individu tertentu. Bukan kerja saya lawan budak-budak kampung,” katanya semasa ditemui selepas menyempurnakan akad nikah anak Setiausaha PAS kawasan, Huzaimi Che Hussien, semalam.
Beliau diminta mengulas kenyataan pengasas pondok Geting, Tumpat, Abdullah Sa’amah yang mencabar berdebat sekiranya apa yang didakwanya adalah tidak benar.
Abdullah kerap mengkritik Mursyidul Am PAS itu kerana berpendapat telah mengeluarkan kenyataan yang seringkali menyebabkan timbulnya kekeliruan di kalangan umat Islam.
Mengulas lanjut, Tuan Guru Nik Abdul Aziz mengibaratkan tindakan Abdullah tidak ubah seperti individu yang hanya “menumpang semangkuk” dan tidak perlu dilayan.
“Ikut dialah, saya nak debat dengan Umno. Umno lawan saya.
"Ibarat kalau kata Joe Frazier nak lawan Muhammad Ali, dia (Muhammad Ali) akan terima, tapi kalau Muhammad Ali nak lawan orang macam saya dia akan kata menang awaklah.
“Begitulah juga saya, ambil ke dialah (Abdullah). Dia hanya nak tumpang semangkuk,” katanya.
Tuan guru Mursyidul Am menyempurnakan akad nikah anak kedua Huzaimi di Masjid Muhammadi Bachok yang turut dihadiri Yang Dipertua PAS kawasan, Datuk Omar Mohamed.

Sumber: RAKYAT MARHAEN


Monday, August 2, 2010

Islam Adil Untuk Semua

Oleh:Ust Nasrudin Hassan at-Tantawi

1. Kebelakangan ini negara kita dan sebahagian rakyatnya sedang memerhati isu yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Yb. Tony Pua berkait dengan diskaun bumiputera dalam pembelian rumah bagi hartanah yang bernilai RM 500,000 ke atas .


2. Ada beberapa perkara yang perlu terlebih dahulu saya tegaskan di sini berkait isu yang timbul sebelum saya mengulas lanjut .

Pertama : Yb. Tony Pua sewajarnya tidak mendahului Majlis Mesyuarat PAKATAN Rakyat dalam membuat kenyataan yang boleh mencetus kontraversiseperti ini sementelah menyentuh kepentingan bumiputera . Sedang Majlis Mesyuarat PAKATAN Rakyat adalah mekanisme terbaik untuk membincang dan membuat keputusan berkait isu seperti ini .

Kedua : Kenyataan Yb. Tony Pua adalah kenyataan peribadi beliau bukanlah mewakili suara atau kenyataan PAKATAN Rakyat . Sama juga seperti kenyataan Yb. Karpal Singh sebelum ini berkait dengan isu negara Islam .

Ketiga : Perkara ini tidak perlu tergesa - gesa melainkan ianya perlu kepada kajian yang mendalam dengan mengambil kira soal hak , keadilan dan kepentingan termasuk mengambil kira soal untung rugi sesuatu tindakan itu dari aspek politik dan masyarakat [ rakyat ] .

3. Sekali lagi saya melihat betapa Islam adalah agama yang indah malah menjadi penyelesai kepada masaalah yang sedang dihadapi oleh ummat manusia termasuk isu tanah dan pemilikan rumah kediaman. Tepat sekali tema ucapan dasar Yb. Dato' Seri Tuan Guru Presiden PAS baru - baru ini ialah Islam Adil Untuk Semua .

4. Selama mana sistem negara masih menerima pakai sistem kapitalis dan menolak sistem Islam, maka selama itulah sebenarnya negara akan terperangkap dalam satu kaedah yang sukar dan dilihat tidak adil kepada semua .

5. Islam mempunyai hukum dan pendekatan tersendiri dalam menyelesaikan masaalah pemilikan hartanah dan ianya tidak menzalimi bangsa , agama dan keturunan seperti

hukum Ihya' al mawat [ memberi hak kepada mereka yang menghidupkan tanah terbiar ] , Iqta' [ memberi hak milik kepada yang tiada kediaman ] dan
garis panduan Hima [ pemiliki tanah secara kuasa ] .

6. Penyelesaian secara cantas atau mengambil perkara cabang sahaja tanpa melihat kepada perubahan secara pokok [ iaitu perubahan dasar dan sistem ] , ianya dilihat tidak akan menyelesaikan masaalah . Sebaliknya mungkin masaalah lain pula akan timbul ekoran masih berpaut pada sistem dan dasar yang salah . Justeru itu , PAS konsisten menyeru masyarakat dalam negara ini khususnya pemimpin agar kembali kepada Islam dan melaksanakan syariatnya.



Tuesday, July 20, 2010

Pakat Masuk PAS, Bukan Bersatu dengan Umno

Parti Islam Se-Malaysia PAS menolak cadangan Tan Sri Harussani yang hendak menjadi perantaraan antara PAS dan Umno demi perpaduan Melayu di negara ini.

PAS bukan angkuh tetapi itulah hakikat yang berlaku pada hari ini, Umno sudah tidak relevan untuk orang Melayu menjadi tempat berteduh. Parti yang pernah disebut oleh Tun Dr Mahathir sebagai parti yang busuk sampai usus. Sepatutnya Tun kena nasihat supaya ahli Umno keluar beramai-ramai masuk PAS. Apakah logik PAS diseru untuk bersatu dengan Umno, sedangkan mereka mengalami penyakit yang berjangkit iaitu penyakit barah rasuah dalaman parti, penyakit khianat kepada amanah rakyat, tidak bertanggungjawab kepada hasil mahsul negara, penyakit hanya memikirkan kepentingan perut semata-mata, penyakit tidak peduli kepada rakyat dengan menaikkan harga barang.

Apa perlu PAS diajak bersama dengan Umno semata-mata kerana hendak menghulurkan balang oksigen kepada Umno yang semakin kehilangan sokongan terutama Melayu terpelajar dan Melayu yang celik maklumat. PAS memahami tahap sokongan orang-orang Melayu sudah berubah, maka Umno berdendang dengan irama lama iaitu kuasa Melayu terancam. Apabila sudah nyawa di hujung halqum, baru Umno sedar PAS parti Melayu. Sebelumnya Umno tidak pernah memandang PAS, malah angkuh dengan kuasa untuk menindas sesama bangsa.

PAS suka mengingatkan kepada Tan Sri Harussani sebagai seorang mufti, di antara disiplin mufti kena rujuk Al-Quran, hadis, ijmak dan qias dan mengetahui gambaran masalah yang berbangkit barulah boleh keluarkan fatwa. Barulah fatwa yang dikeluarkan itu dihormati oleh orang ramai. Begitu juga dalam hal politik, sebelum beliau hendak mengeluarkan pandangan biarlah buat kajian dahulu, apakah benar kalau PAS dan Umno tidak bersatu kuasa politik melayu terancam.

PAS suka mengingatkan kepada Tan Sri Harussani tolong lihat dulu keputusan pilihanraya 2008, siapa yang khianat kuasa politik Melayu? PAS atau Umno. Macam mana kuasa Melayu boleh hilang kuasa sebab semua kerusi Melayu, PAS akan lawan Umno, kalau Umno kalah, PAS menang, PAS Melayu juga. Mana sifir kuasa Melayu terancam.

Apakah Tan Seri hanya anggap PAS kuda tungangan DAP dan PKR ketika berkongsi kuasa dalam Pakatan Rakyat. Manakah bukti PAS rugi kepada Melayu dan Islam ketika bersama PR. Tapi PAS boleh buktikan banyak tindakan Umno bersama rakan-rakan BN merugikan agama dan bangsa. Tan Seri lupakah yang menutup surau di Seksyen 8 Shah Alam itu dibuat oleh Umno pimpinan Khir Toyo, lupakah Tan Seri yang halau orang melayu di Kg Berembang dan Kg Plentong Pasir Gudang Johor adalah dibawah Umno. Dato Dr Harun Din, Dato Ismail Kamus, al-Marhum Dato Ishak Baharom diburu macam penjenayah kerana hendak menyampaikan ceramah agama ketika Selangor di bawah Umno. Adakah laporan Lim Guan Eng di Pulau Pinang tutup surau sejak memerintah Pulau Pinang

Hakikat yang berlaku Umno yang serah kerusi majoriti melayu kepada bukan melayu. Contohnya Parlimen Bukit Gantang 2004 Dr Lo'lo' PAS lawan Tan Lian Hoe (BN) kemudian tahun 2008 Tan Lian Hoe bertanding di Grik melawan Mohd Noor Abd Rahman Pas, Parlimen Tanjung Malim Mohd Azman Marjohan PKR lawan Ong Ka Chuan (MCA), Dun Pasir Panjang Datuk Seri Haji Nizar Pas lawan Dr S Vasan (MIC). Malah dalam usaha hendak menambah kerusi Melayu bertambah, maka PAS bertanding di kerusi pengundi Melayu kurang daripada 50 peratus di Parlimen Kota Raja yang ditandingi oleh Dr Mariah. Ini adalah sebahagian contoh yang dikhianati oleh parti Umno yang menjadi kekasih Tan Seri Harussani.

PAS menyeru kepada ahli Umno yang ikhlas dan sayangkan agama, bangsa dan negara gunakanlah akal yang Allah berikan untuk buat keputusan supaya keluar Umno dan bersama-sama PAS yang sedang bersama membentuk pemetaan politik baru bersama-sama Pakatan Rakyat.Ingatlah Islam selamat, Melayu selamat, bangsa lain selamat, negara pun selamat. Kalau Melayu selamat belum tentu Islam dan negara akan selamat.

Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusa