Tuesday, March 1, 2011

Seruan untuk pengundi Merlimau dan Kerdau


Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia, Bersama PAS-Pakatan Rakyat

Salam Sejahtera.

“Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” (Maksud Al-Quran, al-An’am 6:162)

Sesungguhnya, segala puji-pujian kepada Allah, Tuhan yang mencipta dan mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam untuk junjungan besar Nabi Muhammad SAW, Pesuruh Allah pengakhir zaman.

Didoakan kepada semua pengundi, sanak-saudara dan kaum keluarga warga Dun Merlimau dan Dun Kerdau berada dalam selamat dan sejahtera dengan izin Allah, Tuhan Yang Maha Esa.
Tuan-puan dan Saudara-saudari yang dihormati sekalian.

Bersempena dengan pilihan raya kecil N.27 Merlimau, Melaka dan N.28 Dun Kerdau, Pahang ini, saya dengan ini mengambil kesempatan untuk menyampaikan seruan ingatan kepada diri saya dan pengundi sekalian yang berkebetulan berlaku dalam bulan sambutan Maulidur Rasul 1432H. Maka, ambillah pengajaran daripada sejarah perjuangan Nabi Muhammad SAW yang membawa rahmat bukannya laknat kepada sekalian alam. Mengamalkan ajaran Nabi baik dari segi ibadatnya, mahu pun segenap urusan hidup (mauamalat) adalah pelengkap kepada mencapai keberkatan di akhirat nanti. Oleh kerana itu, kita kena bergantung kepada Islam di dalam segala-gala segi perjuangan hidup. Ajaran Nabi Muhammad SAW sendiri tidak menerima perjuangan atas nama bangsa Arab, yang diterima hanyalah perjuangan atas nama keimanan yang hakiki terhadap Allah, Rasul dan hari akhirat. Selari dengan firman Allah:

“Adakah kamu sifatkan hanya perbuatan memberi minum kepada orang-orang yang mengerjakan Haji dan (hanya perbuatan) memakmurkan Masjidilharam itu sama seperti orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta berjihad pada jalan Allah? Mereka (yang bersifat demikian) tidak sama di sisi Allah dan Allah tidak memberikan hidayat petunjuk kepada kaum yang zalim.” (Maksud Al-Quran, At-Taubah 9:19)

Justeru Islam mengutamakan iman bukannya perbuatan. Atas kebenaran ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW inilah, maka setiap apa yang kita buat hendaklah berserta dengan niat yang tulus di atas dasar keimanan.

Oleh itu, menghadapi pilihan raya kecil ini, saya mengajak para pengundi sekalian tetapkan niat dan iman semasa menggunakan hak mengundi “untuk ubah nasib hidup kita, demi menegakkan kebenaran dan keadilan serta kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat.”
Sesuai dengan niat tersebut, maka ubahlah kepercayaan kita dari mempercayai hanya Umno sahaja yang boleh memerintah dan membawa pembangunan, kepada memberi kepercayaan kepada PAS-Pakatan Rakyat yang juga boleh memerintah dan membawa pembangunan kepada bangsa, agama dan tanah air. Ini kerana parti Islam PAS sudah lebih 20 tahun berjaya sebagai sebuah kerajaan yang memerintah dan membangunkan rakyat dan negeri di Kelantan.
Dan kini kejayaan itu turut berlaku di Kedah, Pulau Pinang dan Selangor.

Bagi PAS di Kelantan, kejayaannya adalah kerana mengamalkan dasar pentadbiran Islam berteraskan prinsip ubudiah (keyakinan kepada Tuhan), mas’uliah (penuh tanggungjawab mengikut kehendak agama) dan itqan (melakukan yang terbaik) yang selari dengan kehendak syariat. Justeru itu, Kerajaan Negeri Kelantan berjaya dengan rekod bersih, tiada amalan rasuah, berintegriti, bebas dari riba dan subur dengan hasil mahsul anugerah Tuhan. Malah berkat pentadbiran Islam, semua lapisan kaum hidup dengan aman, damai dan sejahtera berpandukan agama.

Ia sebagai bukti betapa syariat Islam yang diperjuangkan oleh PAS selama ini berjaya mendidik pentadbir, pemimpin dan rakyat terus berpegang teguh kepada agama. Falsafah ini adalah selari dengan doa iftitah yang kita baca di permulaan sembahyang:

“Sesungguhnya sembahyang ku, ibadat ku, hidup ku dan mati ku adalah kerana Alllah Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam (Lillahi Rabbi ‘alami).”
Maknanya kerajaan Negeri Kelantan tetap jujur dan ikhlas mendidik semua pemimpin dan rakyat untuk mengingati tanggungjawab beragama––bersembahyang dan beribadat, dosa dan pahala serta memikirkan soal hidup dan mati. Inilah natijah perjuangan PAS yang sentiasa mendidik rakyat ke arah kehidupan beragama, berkeamanan dan berharmoni.

Justeru Kerajaan Negeri yang dipimpin oleh PAS sudah berjaya meyakinkan masyarakat semua kaum, bahawa apa yang kita laksanakan di Kelantan adalah yang terbaik, malah lebih baik berbanding dengan apa yang dibuat oleh Umno sebelum ini. Maka, Negeri Kelantan telah mendahului negeri-negeri lain dalam banyak aspek pembangunan berteraskan ajaran Islam. Terbaru sekali ialah penggunaan wang syariah––dinar emas dan dirham (sistem kewangan Islam zaman Nabi Muhammad SAW), dan pemberian beras percuma kepada keluarga miskin di bawah Skim al-It’aam.

Tuan-puan dan saudara-saudari sidang pengundi sekalian.
Islam mengajar kita supaya berlaku adil kepada semua pihak, termasuklah ketika bertanding dalam pilihan raya. Setiap kali PAS bertanding, prinsip yang diamalkan ialah berkempen dengan adil dan bersih, tiada ugut-mengugut dan sogok-menyogok. Sentiasa memberi peluang kepada pengundi untuk menggunakan kebijaksanaan dan kebebasan memilih dan mengundi PAS.
Maka demi masa depan kita, undilah PAS pada kali ini. Ubahlah undi kita, dari undi Umno kepada mengundi PAS.

Sebagaimana masyarakat Kelantan yang sudah menolak perjuangan Umno dan parti Umno bukan lagi parti kerajaan. Masyarakat Kelantan menolak perjuangan kebangsaan Umno adalah kerana dasarnya yang mengasing-asingkan dan membeza-bezakan rakyat mengikut kaum-kaum, dan mengenepikan nilai-nilai keadilan yang diajar oleh Islam. Oleh sebab amalan itulah, Umno telah gagal mewujudkan perpaduan sebenar di kalangan semua kaum dalam negara ini. Kegagalaan itu membuktikan perjuangan Umno tidak selari dengan ajaran Tauhid Islam. Mengikut ajaran

Tauhid, bukan hanya Tuhan itu Satu, tetapi satu segala-galanya. Maksudnya, kita hendaklah menerima Islam dan ke-Esaan Tuhan dengan tulus ikhlas. Hatta manusia yang berbagai-bagai bangsa itupun hendaklah disatukan di bawahsatu keturunan iaitu keturunan Nabi Adam AS. Malangnya, ajaran seperti ini tidak diajar oleh perjuangan sekular dan kebangsaan Umno. Oleh itu, terimalah sistem Islam yang sentiasa benar dan adil untuk semua kaum.

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam–tidak tali kebangsaan) dan janganlah kamu bercerai-berai .”

(Maksud Al-Quran, Ali-Imran 3:102-103),
Sebenarnya Allah SWT tidak menerima segala amalan kita, melainkan kita beramal dengan ajaran Islam yang syumul. Maka, menolak perjuangan Umno-BN adalah satu tindakan betul yang sekaligus menolak perjuangan sekular dan kebangsaan.

Oleh itu, saya penuh yakin bahawa calon PAS-Pakatan Rakyat, Haji Yuhaizad bin Abdullah (Dun Merlimau) dan Hassanuddin bin Salim (Dun Kerdau) adalah calon-calon yang mesra dan rapat dengan semua lapisan pengundi. Mereka berdua cukup berpengalaman selaku pimpinan parti dan masyarakat, maka sudah pasti mereka mampu melaksanakan tugas dan tanggungjawab demi menunaikan harapan rakyat. Dengan ini saya menyeru dan merayu kepada sekalian pengundi, terutamanya pengundi Melayu, Cina danIndia, dan khasnya pengundi peneroka yang budiman lagi bijaksana, bersama-samalah kita mengundi calon PAS-Pakatan Rakyat. Bulatkan hati, dengan lafaz ‘Bismillah...nama Tuhan yang Esa’ undilah Bulan pada hari Ahad, 6 Mac 2011 nanti. Keluarlah beramai-ramai untuk mengundi calon PAS-Pakatan Rakyat dan jangan hiraukan ugutan dan sogokan pihak Umno-BN.

Selamat mengundi. Semoga dengan ‘sepangkah undi,’ tuan-puan dan saudara-saudari sekalian dirahmati Allah Tuhan yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

“Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia, Bersama PAS-Pakatan Rakyat”
*PAS UNTUK SEMUA *

Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat,
Menteri Besar Kelantan
merangkap Mursyidul Am PAS.

Saturday, February 26, 2011

Hadapi pilihanraya dengan akhlak Islami


Oleh: Nasrudin bin Hassan

1. Kita adalah mewakili Gerakan Islam yang menyertai politik berpilihanraya dalam negara yang mengamalkan sistem demokrasi. Biarpun ruang demokrasi itu kian sempit namun perjuangan untuk meloloskan Islam dari kepungan jahiliyah moden hari ini mesti diteruskan walau dengan apa cara sekalipun selama mana cara dan kaedah itu diizinkan oleh syara' .

2. Justeru itu, penyertaan dan penglibatan kita dalam pilihanraya bukanlah didorong oleh rasa ingin berpilihanraya semata atau didesak keinginan untuk mendapatkan kuasa dan pengaruh semata, sebaliknya ia adalah didokong oleh prinsip untuk menjulang Islam dan segala syariatnya agar menempati ruang yang selayaknya sebagai cara hidup [ way of life ] pula mengatasi kedudukan ideologi ciptaan manusia.

3. Bertolak dari nokhtah ini, partisipasi kita dalam seluruh kegiatan politik tanahair hari ini adalah satu ibadah atau pengabdian diri kita kepada Allah swt. Justeru itulah, kita bertanggungjawab pula untuk memastikan setiap langkah kita dalam sebarang aktiviti politik ini, samaada dalam aspek menggaris matlamat, melakar objektif, merencana strategi dan mengurus operasi, segalanya mestilah berlandaskan syariat dan akhlak Islami.

4. Tindakan yang dihambat emosi, dihasut nafsu dan dirasuk dendam adalah suatu yang mesti dielakkan dalam gerak langkah kita berkempen dan mencari sokongan politik. Bahkan apa yang wajar dan sayugianya ialah setiap pimpinan dan ahli PAS mempamerkan qudwah yang unggul dan uswah yang luhurmencerminkan bayangan akhlak terpuji didikan Rasul saw.

5. Jauhkan diri dari politik maki hamun dan caci nista biapun saat mendepani provokasi luarbiasa dari pihak lawan. Kekalkan rentak berakhlak sekalipun dilatari kebingitan melampau yang mencabar rasa dan cita kita sepanjang tempoh perjuangan, khasnya di saat mendepani detik pilihanraya umum atau kecil.

6. Bukankah Allah swt mewahyukannya kepada kita semua :

فبما رحمة من الله لنت لهم ولو كنت فظا غليظ القلب لانفضوا من حولك فاعف عنهم و استغفر لهم و شاورهم في الأمر فإذا عزمت فتوكل على الله إن الله يحب المتوكلين

Maka dengan sebab Rahmat [yang melimpah] dari Allah swt [kepadamu Wahai Muhammad], Engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka [sahabat-sahabat dan pengikutmu], dan kalaulah Engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka [mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu], dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah Dengan mereka dalam urusan [peperangan dan hal-hal keduniaan] itu. kemudian apabila Engkau telah berazam [Sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu] maka bertawakalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.

Surah Aali Imran : 159

7. Ayat ini sebahagian dari strategi penting yang perlu dilaksana dan dihayati untuk menghasilkan kesan mendalam dalam urusan kempen kita sepanjang tempoh pilihanraya. Sementara umum mengetahui bahawa pilihanraya adalah berkait dengan undi yang ingin diperolehi dari rakyat atau pengundi. Maka ia memerlukan satu pendekatan yang lunak dan meyakinkan pengundi untuk mereka hampir dengan kita lalu memberikan undinya kepada kita.

8. Pilihanraya bukan medan peperangan untuk menghunus senjata tajam seumpama pedang guna memenggal leher lawan dan menebas betis penghalang, tetapi pilihanraya adalah gelanggang untuk memenangani hati pengundi agar memberi peluang serta kepercayaan kepada kita untuk memimpin dan mewakili mereka dalam satu - satu kawasan pilihanraya yang ditandingi.

9. Akhlak menjadi senjata berkesan di medan pilihanraya justeru ia berkait dengan usaha konsisten untuk memenangi hati pengundi. Memenangi pilihanraya, kita perlukan undi dari semua pihak sekalipun bukan dari kalangan kita. Maka hal ini hanya boleh dicapai apabila kita berjaya memenangi hati dan meyakinkan mereka untuk memberi sokongan kepada kita. Hanya akhlak mulia [ Islami ] yang boleh memenangi hati manusia. Caci nista pula menjauhkan kita dari mereka dan menjarakkan mereka dari kita.

10. Kawal diri dan kekang emosi terutama saat berdepan provokasi. Marilah kita bina suasana politik baru yang berteraskan politik Rasulullah saw. Terutama pada hari perarakan penamaan calon dan hari akhir sewaktu merayu undi, sekali lagi saya seru agar elakkan diri dari melontarkan kalimah dan slogan yang tidak mencerminkan ketinggian budi dan akhlak muslim. Berwatak matanglah dalam memimpin slogan serta aksi tanpa mencemuh pihak lain. Pilih slogan yang boleh menaikkan semangat juang dengan penuh hemah.

Murnikan Perjuangan Maknakan Kemenangan

Nasrudin bin Hassan

Ketua DPP Malaysia

Tidak mustahil berlaku kejutan di Merlimau


JASIN, 26 Feb: PAS tidak akan menyerah kalah meskipun di kubu kuat Umno BN sebaliknya akan terus menggunakan peluang yang ada untuk mengajak rakyat membuat perubahan.

Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa berkata, PAS bertanding di Merlimau untuk menang dan yakin mampu menghadapi persaingan sengit dengan pihak lawan.

"Mahathir pernah kalah kepada calon PAS di kubu kuat BN jadi kita lawan dulu. Kita bagitahu kepada rakyat tawaran kita dan keburukan yang sedang dilakukan BN di negeri ini dan kita serah kepada rakyat untuk membuat pilihan. Kalau kalah, pilihan raya akan datang kita masuk lagi.

"PAS masuk pilihan raya untuk menang. Di mana sahaja tempat yang kita boleh bagi tentangan (kepada BN) kita akan bagi kerana PAS nak pastikan risalah perjuangan kami diterima rakyat dan perubahan dalam negara ini dapat dilakukan," katanya.

Nada yang sama turut disuarakan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.

Beliau berkata, berdasarkan kesungguhan dan kerjasama ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat, tidak mustahil kubu itu dapat dipecahkan.

"Kita kena akui Merlimau ini kubu kuat Umno dan bukan perkara yang mudah untuk kita menghadapinya.

"Kita kena anggap ini bukan perkara yang mudah. Walaubagaimanapun dengan seluruh tenaga yang ada dan kita bersatu, sudah nampak tanda-tanda penerimaan rakyat itu dan bukan perkara yang mustahil kita boleh buat kejutan di Merlimau ini," katanya.

Ini juga ditambah dengan faktor calon yang merupakan anak tempatan dan diyakini memahami selok-belok dan masalah pengundi di Dun berkenaan.

"Yuhaizad calon terbaik yang kita pilih berdasarkan kajian setelah melalui proses tapisan daripada senarai nama yang diterima. Ada beberapa calon yang berpotensi tapi Yuhaizad lebih layak dan sesuai," katanya.

Mustafa juga mengingatkan Umno BN tidak berterusan menggunakan kemudahan jentera kerajaan termasuk SPR untuk kemenangan mereka.

"Kita ada masa beberapa hari untuk bekerja keras dan kita mengharapkan SPR memainkan peranan mereka dengan betul, soal ketelusan yang kita bincang selama ini.

"Kita ingatkan Umno jangan berterusan menggunakan segala kemudahan termasuk SPR untuk menang," katanya.

Sementara itu, Nasharudin berkata, Pakatan Rakyat khususnya PAS sudah bersedia dengan isu-isu tempatan dan nasional termasuk isu antarabangsa untuk digunakan sewaktu kempen.

"Kita akan dedahkan beberapa isu tempatan yang berkaitan negeri Melaka, berkaitan isu tempatan dan antarabangsa.

"Gabungan isu ini akan kita jadikan bahan kempen untuk mengajak rakyat bersama kita," katanya yang juga Ahli Parlimen Bachok.