Friday, January 29, 2010

Kalimah Allah: Presiden PAS anjur dialog dengan NGO Islam

KUALA LUMPUR, 29 Jan: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang akan mengadakan satu dialog dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam berhubung isu penggunaan kalimah Allah oleh penganut aga Kristian di negara ini.

Majlis tersebut akan diadakan pada hari Ahad ini 31 Januari bertempat di Ibu Pejabat PAS Jalan Raja Laut di ibu negara dan akan bermula jam 9 malam.

Setiausaha politiknya, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar memberitahu penganjuran tersebut bagi melihat peranan yang boleh dimainkan oleh NGO Islam dalam menangani permasalah ini.

Isu penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama Kristian di Malaysia katanya telah menjadi satu topik hangat yang mengundang pelbagai reaksi masyarakat Islam dalam negara kita.

"Selain dari wacana ilmiah yang dianjurkan oleh pelbagai pihak dalam merungkai persoalan ini, beberapa rentetan peristiwa yang menggusarkan keharmonian masyarakat juga telah berlaku," katanya.

Dalam masa yang sama, PAS beranggapan bahawa kewujudan pelbagai NGO Islam dalam negara ini adalah merupakan suatu petanda yang sangat positif, terutamanya dalam usaha untuk memainkan peranan bagi meninggikan syiar Islam yang sememangnya menjadi tanggungjawab semua pihak.

Sehubungan itu, kepada pihak yang ingin menyertai dialog tersebut diminta menghubungi pejabat PAS di talian 03- 2692 5000 ( Pn Aniza Wahid)


Sumber: HarakahDaily.Net

Saturday, January 23, 2010

Kemangkatan Sultan: Pimpinan dan ahli PAS rafak takziah

KUALA LUMPUR, 23 Jan: PAS merakamkan ucapan takziah kepada kepada kerabat Diraja Johor di atas kemangkatan Sultan Johor, Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail semalam.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan berkata, PAS mendoakan semoga Allah mencucuri rahmat dan menempatkan roh baginda bersama orang-orang yang soleh.


"Seluruh kepimpinan dan ahli Parti Islam Se-Malaysia (PAS) ingin merakamkan ucapan takziah kepada KDYMM Sultan Johor dan kerabat Diraja Johor di atas kemangkatan Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail pada hari Jumaat 22 Januari 2010.

"Patik sekalian berdoa moga-moga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Almarhum dan ditempatkan baginda di kalangan orang-orang yang soleh," katanya.

Di KOTA BHARU, Kerajaan Kelantan mengucapkan takziah kepada kerabat Diraja Johor, di atas kemangkatan Sultan Johor, Sultan Iskandar Ibni Sultan Ismail.

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, siang tadi merafak takziah bagi mewakili kerajaan negeri Kelantan.

Menurutnya, sememangnya sebagai seorang manusia, bila tiba waktunya akan dijemput Allah bila tiba waktunya.

“Saya selaku Menteri Besar Kelantan, mengucapkan takziah kepada semua Diraja Johor di atas kemangkatan baginda.

“Marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT Tuanku diampuni dosa baginda,” ujarnya yang juga Mursyidul Am PAS.

Sehubungan itu, beliau mengharapkan keluarga diraja bertenang menghadapi kehilangan insan yang tersayang.

Tambahnya, apa yang penting umat manusia perlu yakin walaupun begitu lama mereka hidup di dunia dengan pelbagai pangkat dan darjat, namun bila dijemput Allah, semuanya akan kembali.

Selain itu, PAS negeri Johor juga turut merafak takziah kepada kerabat Diraja Johor di atas kemangkatan Almarhum Sultan Iskandar.

"Saya bagi pihak PAS negeri Johor, mengucapkan banyak-banyak takziah kepada keluarga Diraja Al-Marhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor.

"Saya juga memohon doa moga-moga Allah mencucuri rahmat ke atas roh baginda," kata Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Dr Mahfodz Bin Mohamad.

Beliau berkata demikian sewaktu dihubungi ketika sedang dalam perjalan ke istana untuk memberikan penghormatan terakhir kepada Almarhum pagi tadi.

Pada masa sama, beliau turut merakam ucapan tahniah kepada Tengku Ibrahim Ismail telah dimasyhurkan secara rasminya sebagai Sultan Johor dalam pengumuman yang dibuat oleh Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman di Singgahsana Istana Besar Johor Bahru pada 10.31 pagi tadi.

"PAS Johor juga mengucapkan tahniah kepada Tengku Ibrahim yang telah ditabal sebagai Sultan Johor yang baharu.

"Semoga beliau akan memerintah Johor dengan penuh keadilan, kesaksamaan dan mementingkan kesejahteraan rakyat jelata seperti Almarhum Ayahanda baginda," katanya.

Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail, 77, mangkat pada pukul 7.15 malam tadi di Hospital Pakar Puteri, Johor Bahru selepas dimasukkan ke hospital itu semalam kerana gering.

Kemangkatan baginda diumumkan oleh Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman di sini, malam tadi. Jenazah Almarhum akan dimakamkan di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah pada pukul 2 petang hari ini.

Rakyat jelata boleh memberikan penghormatan terakhir di Istana Besar dari pukul 9 pagi hingga 10.30 pagi sementara orang kenamaan dari pukul 11 pagi hingga petang.


Sumber: HarakahDaily.Net


Friday, January 22, 2010

Ustaz Hadi nafi laporan 'God bukan Allah'




KUALA LUMPUR, 22 Jan: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menjelaskan bahawa Muzakarah Pakar anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) semalam sebenarnya tidak membuat apa-apa resolusi.

Penjelasan tersebut sekaligus dilihat berbeza dengan berita 'God bukan Allah -Ikim' seperti yang dilaporkan akhbar harian bahawa ahli muzakarah sebulat suara bersepakat penggunaan kalimah Allah sebagai terjemahan bagi ganti nama 'God' atau 'Tuhan' adalah tidak tepat.

"Ya, muzakarah itu tidak mempunyai apa-apa resolusi, laporan itu tidak betul," jelasnya ketika dihubungi petang ini.

Pun begitu, beliau menegaskan bahawa kalimah Allah tidak boleh disalah guna untuk mengelirukan umat Islam.

"Penggunaan kalimah Allah oleh umat Islam secara dalaman jelas mengEsakan Allah, penggunaan yang boleh mengelirukan orang Islam tidak dibenarkan sama sekali," jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang turut mengulangi ketetapan PAS seperti yang diputuskan oleh Lajnah Politik dan tulisannya sebelum ini.

"Pandangan kita (PAS) seperti yang saya tulis sebelum ini, seperti yang diputuskan (dalam Lajnah Politik) sebelum ini," jelasnya.

"Kita tidak boleh melarang mereka (penganut agama samawi) menggunakan perkataan Allah di kalangan mereka sendiri walaupun salah maksud dan maknanya yang asal mengikut bahasa kita," dipetik dari kenyataan rasmi Ustaz Abdul Hadi pada 7 Januari lalu.

Dua hari sebelum itu, Lajnah Politik PAS Pusat mengingatkan semua pihak supaya tidak menyalahgunakan nama Allah untuk mengelirukan atau meraih sokongan politik murahan daripada rakyat.

Selain Ustaz Abdul Hadi, muzakarah semalam disertai Ahli Majlis Kepimpinan Tertinggi (MPT) PKR, Dr Mohd Nur Manuty, bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin, Pengarah Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan Ikim Dr Mohd Sani Badron dan Felo Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik Ikim, Md Asham Ahmad.

Muzakarah yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Ikim, Nik Mustapha Nik Hassan itu turut disertai oleh Pengerusi Ikim yang juga bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, pensyarah dari Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Kamar Ainiah Kamaruzzaman, Penasihat Agama kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Dr Abdullah Md. Zain.


Sumber: HarakahDaily.net